Showing posts with label Caca merba. Show all posts
Showing posts with label Caca merba. Show all posts

Monday, March 31, 2014

BILAKAN BERAKHIR ... uhuk ... uhuk ...


RIMAS!

Hari-hari lalu jalan sama. Memang ada jalan lain, tapi lebih jauh atau lalu ikut lebuh raya bertol.

Tak ada pilihan.

Entah bilalah agaknya pembinaan MRT ini akan berakhir.

Rimas!

Kiri kanan sepanjang bahu jalan dipasang tembok merah putih itu.

Jalan tiga lorong jadi dua lorong. Yang dua lorong, jadi selorong!

Traffic jam tak payah ceritalah pada waktu puncak. Tapi orang kata, "Biasa ler tu. Mana ada jalan yang tak jam." Adoi! Betullah tu. Tapi manusia ni tahap sabarnya turun naik!

Kalau hari panas terik, debu tak usah ceritalah. Tak guna basuh kereta. Kekadang saya biarkan saja kereta berdebu berhabuk berbulan-bulan.

Terkadang kasihan tengok budak-budak sekolah nak melintas di Jalan Surian sebelum terowong untuk ke sekolah di BU. Mereka menggadai nyawa. Saya terfikir, tak adakah jalan alternatif untuk mereka.
Debuuuuuuu!









Wednesday, September 4, 2013

MURAH 15 SEN

Semalam saya berasa agak pelik. Dalam kekecohan harga petrol dan gas naik, ada juga harga barangan yang turun. Seingat saya, harga barang makanan ini tidak pernah diturunkan atau ada harga promosi seperti mana barang makanan lain.

Yang saya maksudkan ialah roti sandwic putih paling popular dan digemari seluruh rakyat Malaysia iaitu Gardenia. Harganya RM2.40. Di mana pun kedai saya beli roti ini harganya tetap RM2.40. Namun semalam, saya singgah di salah sebuah Speedmart 99 di KD, untuk membeli roti ini.

"Dua ringgit dua puluh lima sen, kak," kata cashier.

Aneh!

RM2.25! Tidak pula saya bertanya, "Mengapa lebih murah pula?" atau "Aik, bukan selalunya dua ringgit empat puluh sen?" atau "Ada diskaun ke hari ni?" Saya tidak bertanya lanjut kerana hari hujan, mahu cepat.

Ketika masuk ke kereta, saya teliti 'tag' harga pada roti yang dibeli, harganya tidak berubah. Tetap RM2.40. Saya lihat pula resit, ya betul seperti yang disebut oleh cashier, harganya hanya RM2.25. Atau adakah saya sahaja yang tidak menyedari harga roti di Speedmart selama ini RM2.25? Atau adakah ia harga hanya untuk hari itu sahaja?

Rotinya masih segar dan lembut. Agak saya, ia stok yang baru tiba dan rotinya siap sehari sebelum dihantar ke pasaran kerana tarikh luputnya masih lama lagi dan warna tag yang tersepit pada pembungkus berwarna biru (biru bermakna ia dikeluarkan dari kilang pada hari Isnin).

Apa pun Gardenia tetap menjadi pilihan saya berbanding roti jenama lain kerana beberapa sebab.

Pertama, syarikatnya milik orang Islam.

Kedua, rotinya lebih segar. Di kawasan saya, lori Gardenia selalunya lori roti pertama tiba di kedai-kedai, malah kadang-kadang sebelum tuan punya kedai tiba lagi! Di sesetengah pasar raya mega pula, Gardenia membuat penghantaran dua kali sehari, sebab itu, rotinya sentiasa penuh di rak, membolehkan kita pilih tarikh luput yang paling terkini!

Ketiga, kerana ia sememangnya '... sungguh enak dimakan begitu saja. Oh Gardenia ... !"

Wednesday, March 21, 2012

PUCUK MENGKUDU ENCIK MISLAN

Dua hari lepas rakan sepejabat, Encik Mislan membawa banyak pucuk mengkudu yang ditanam di rumahnya dan diedarkan kepada kawan-kawan.


"Puan makan tak pucuk mengkudu?" soalnya.


"Apa rasanya?"


"Kelat lemak-lemak sikit macam pucuk betik," sampuk Encik Yusof.


"Celur buat ulam makan dengan sambal belacan," ujar Encik Mislan.


Saya dapat dalam enam tangkai pucuk mengkudu.


Belum pernah saya merasanya.


"Buat kerabu okey ke?"


"Haa, buat kerabu memang sedap, pahit-pahit lemak," balas Encik Yusof.


Ada pula mencadangkan pucuk mengkudu dimasak lemak. Tapi saya cuba mengelakkan masakan berlemak. Lagipun beberapa hari lepas sudah buat ayam masak lemak.


Maka, semalam saya 'kerabukan' pucuk mengkudu Encik Mislan. Saya bukan peminat sambal belacan. Malah hendak buat sambal belacan pun saya tak tahu.


Kerabulah jadinya.


Ooo ... memang sedap! Kerabu, salad orang Melayu memang mudah nak dibuat.


Bagi yang tak tau nak buat kerabu, boleh cuba resipi emak saya (kerabu stail Kelantan):




  • Beberapa helai pucuk mengkudu (dicelur hingga lembut dan dihiris halus-halus)


  • Seekor ikan kembung (dibakar tawar, diambil isinya dan ditumbuk)


  • 10 biji lada hitam (ditumbuk halus)


  • 3-4 ulas bawang merah kecil (ditumbuk lumat)


  • Perahan jus limau nipis (secukup rasa)


  • Garam & gula secukup rasa


  • 3 sudu makan santan segar (lebihkan jika mahu kerabu yang lebih lembap - santan segar yang tidak melalui proses memasak, baik untuk kesihatan)


  • Kerisik (secukup rasa)


  • Optional: 2 biji cili api (lebihkan jika mahu pedas)

    Gaul semuanya. Sesuaikan rasanya. Biarkan seketika hingga semua bahan mesra. Jika rasa 'terkurang' tambahlah mana-mana bahan yang perlu di atas. Sejukkan di dalam peti. Hidang hanya apabila hendak dimakan. Pucuk mengkudu dikatakan baik untuk mereka yang ada darah tinggi, wallahu a'lam! Moga dimurahkan rezeki Encik Mislan dan dikurniakan kesihatan yang baik.
    Pucuk mengkudu boleh diganti dengan parutan timun (dibuang biji), kacang botor, pucuk paku, pucuk ubi dan seumpamanya.

Friday, March 18, 2011

YANG SEDAP!

Makanan segera seperti burger memanglah sedap. Itu tidak dinafikan. Maka, saya tidak menyalahkan kanak-kanak dan remaja kita apabila mereka gemar sangat akan makanan ini. Orang dewasa seperti saya pun suka, apatah lagi orang-orang muda. Cuma saya tidaklah memakannya selalu, juga saya sedar akan mudaratnya.


Apa pun, makanan segera seperti burger ini ada kelebihannya walaupun dikategorikan sebagai makanan yang tidak menyihatkan. Kelebihannya tentulah bukan dari sudut kesihatan, tetapi dari sudut 'mudah'nya. Hendak menyediakannya pun mudah. Hendak disuap ke mulut pun mudah. Kalau malas nak sediakan sendiri, kita 'pandu lalu' saja. Dan rasanya pun memang sedap.


Dalam keadaan kecemasan atau tergesa-gesa pun masih boleh dimakan. Jika tidak sempat basuh tangan, pegang sahaja dengan pembungkusnya dan terus suap ke mulut. Sangat praktikal.

Ini semua tidak ada dalam masakan asli orang kita. Nasi dan mi mana boleh suap guna pembungkus, paling tidak pun kena cari sudu. Nak masak pun, paling tidak, kena juga menumis. Kalau ada rencah segera pun bahan mentah lain perlu juga dicampak masuk ke dalam kuali atau belanga.

Untuk beli nasi goreng atau mi goreng pun kena hentikan dulu kereta di tepi restoran kemudian masuk ke premisnya dan buat pesanan. Tak ada khidmat pandu lalu. Cuma sekarang ada di beberapa kawasan, menyediakan khidmat penghantaran.

Itulah sebabnya, apabila dah jemu makanan asli orang kita, sesekali saya singgah di KFC ... di rumah pula, kalau dah mati kutu tak tahu hendak masak apa ... dail saja 1-300-88-2525 atau jika mahu lebih jimat, dail sahaja 1-300-880-241 dan dapatkan hidangan segera anda itu "2 for the price of 1".

Yahoo .... yok, makan!

Thursday, December 30, 2010

TERIMA KASIH

Saya bukan peminat bola sepak sejati, pun demikian tahniah diucapkan kepada skuad bola sepak negara di atas kemenangan malam tadi dengan agregat 4-2.

Terima kasih diucapkan kerana dengan kemenangan itu, kami rakyat Malaysia telah mendapat cuti umum. Bagi kami, bukan mudah hendak bercuti melainkan cuti umum. Cuti yang diperuntukkan syarikat, masih banyak berbaki lantaran kerja yang tiada noktah. Hanya cuti umum saja yang mampu meredakan ketegangan kerja.

Kerana jahilnya saya dengan hal ehwal bola sepak, baru semalam saya tahu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang merupakan anak jati Kelantan, negeri kelahiranku yang tercinta ... heee heee. Saya rasa, Tok Guru juga bangga dengan anda!

Tahniah, terima kasih. Terima kasih juga pada PM yang mengisytiharkan cuti esok. Tidak ketinggalan jurulatih, Rajagobal, tahniah.

Saturday, September 18, 2010

MEMANG BERBALOI

Berada di kampung menyambut Syawal tahun ini memang berbaloi. Apa tidaknya, buah-buahan menjadi sungguh. Duku, dokong, duku langsat, rambutan tak luak dimakan, malah segar baru diturunkan dari pokok. Percuma pula tu.





Memang puas makan, dibekalkan pula untuk dibawa pulang ke KL. Alhamdulillah, rezeki daripada-Nya.








Bagi yang tidak kenal, inilah buah katak puru. Dinamakan katak puru kerana rupanya menggerutu seakan-akan katak puru. Rasanya masam manis.









Buah salak pun ada.























Saturday, August 21, 2010

SUATU HARI DI BAZAR RAMADHAN

Pada suatu hari, saya ke bazar Ramadhan Penchala, konon mahu membeli murtabak. Meronda dua kali, adalah saya tengok dua tiga gerai yang menjual murtabak. Ada satu gerai murabak pelanggannya berjujukan menunggu giliran. Murtabak pak cik ni setiap tahun beginilah sambutannya. Hebat. Sedaplah tu agaknya.

Setelah singgah dari satu gerai ke satu gerai murtabak, satu pun tidak merangsang saya untuk membeli. Sebabnya telur yang digunakan masih lagi di dalam 'sarang'nya. Ertinya, telur itu tidak dibasuh. Tangan yang sama digunakan untuk memegang telur dan mencanai kulit murtabak. Entah-entah ada tahi ayam melekat di tangan dan terus melekat pada doh kulit murtabak itu.

Maaf, saya tidak lalu membelinya walaupun dari segi hukum fikah boleh aje, kerana mengambil kira isi di dalam cengkerang telur. Namun bagi orang-orang yang memberatkan tasawuf tentu tidak membeli apatah lagi memakan demi kesucian rohani.

Inilah yang dinamakan halal yang tidak toyyiban. Sedangkan Islam menganjurkan umatnya memakan makanan yang halal, baik lagi suci.

Jika orang menghidangkan saya murtabak, saya tidak mahu mempersoalkan di mana murtabak itu dibeli ... nasihat orang-orang tua yang lebih faham agamanya ... makan sahajalah, jangan dipersoalkan cara pembuatannya. Tapi jika kita sendiri yang membelinya, hati-hatilah.

Saya tertarik pada sebuah gerai menjual roti jon yang dikendalikan oleh dua orang remaja berketayap. Saya kira usia antara 14-16 tahun. Saya yakin mereka ini adik-beradik berdasarkan raut wajah mereka. Telur-telur yang hendak digunakan diletakkan di dalam 'takung' makanan stainless steel. Saya memanjangkan leher meninjau telur di dalamnya, hemmm ... bersih, malah masih basah kesan basuhan.

Ketika azan berkumandang, si abang tenang melangkah ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Asar. Si adik menunggu gerai, bergilir menunaikan solat.

"Dik roti jon ayam satu," pinta saya. Saya menghulurkan not RM10.

"Nah kak, duit bakinya. Sepuluh sen tu saya halalkan aje kak. Tak ada duit kecik."

Bagusnya akhlak. "Ya Allah, Engkau murahkanlah rezeki anak muda ini," doa saya tatkala meninggalkan gerai tersebut.

Bukan niat sebenar saya hendak membeli roti jon. Juga saya membeli roti jon itu juga bukan kerana nafsu. Tetapi dek tertarik dengan akhlak dua remaja yang jernih air mukanya, lalu saya 'terbeli'nya.

Sebagai ganti kepada murtabak, 'nafsu' saya memilih roti jala yang juga ada menjual roti jon dan nasi lemak. Nampak telurnya juga bersih.


Berbaloi roti jala yang dibeli sebab kari ayamnya sedap.

Thursday, March 4, 2010

AKHIRNYA SEMUA MATI

Saya baru menerima e-mel daripada adik yang 'memforwardkan' karangan. Barangkali ditulis oleh seorang budak sekolah. Memang lucu. Khayalan ceritanya tidak ubah seperti anak saya yang memang kuat berimaginasi. Bezanya, anak saya belum pandai meluahkan ceritanya dalam bentuk penulisan. Cuma pandai menyampainya dalam celoteh yang pelat.

Apa pun saya perturunkan karangan murid itu di sini. Walaupun lucu, saya tetap tabik spring dengan karyanya. Mungkin markah daripada cikgu tidak seberapa, tetapi siapa tahu, dewasa kelak dia boleh menghasilkan karya-karya hebat seperti Dean Koontz atau Stephen King. Mereka ini mempunyai daya imaginasi yang tinggi.

Saya sendiri tidak mampu mencipta karya sedemikian.

Selamat membaca dan terhibur. Anda sendiri bolehlah menilainya.

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip.
Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu. Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya.
Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang. Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung.
Dia menjerit “Adoi!”. Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya.
Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua. Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati.
Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara.
Emak saya tidak puas hati Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu. Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah.
Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter.
Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi.
Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris. Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati.
Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat laporan ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati.
Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.
Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati.
Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati.
Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

Tuesday, January 26, 2010

SAYA DAH JUMPA PREPAID MURAH ... YAHOO!

Saya ini boleh dikatakan pengguna awal telefon bimbit prabayar (016 xxxxx)—sekitar tahun 1998! Nombornya tidak pernah bertukar sejak mula saya membelinya. Cuma yang bertukar ialah pelannya. Daripada Digi Prepaid kepada Digi Prepaid Plus.

Digi ialah perintis prabayar. Sewaktu mula-mula saya membelinya operator-operator lain belum lagi menawarkan pelan prabayar ini. Malah waktu itu sangat mahal harganya. Pek permulaan sahaja bernilai lebih seratus ringgit. Untuk topup pula cuma ada nilai RM100. Selepas itu barulah wujud pilihan RM50, kemudian RM30 dan nilai itu turun lagi dan lagi. Pek permulaan pula hanya berharga RM5. Semuanya gara-gara wujud pesaing-pesaing lain.

Waktu itu, liputan pun tidak meluas. Pernah Digi menghantar soal selidik. Saya mengutuk-ngutuk menjawabnya. “Saya tidak berminat dengan tawaran-tawaran lain. Apa yang saya mahu ialah liputan yang meluas.” Itu antara yang saya tulis.

Waktu itu apabila balik kampung liputan yang ada cuma 013 dan 019. Beberapa tahun kemudian di kampung saya 012 pula dapat liputan. Apa pun, tahun-tahun kebelakangan ini 016 nampaknya yang lebih menyerlah liputannya di kampung saya. ‘Bar strength’ lebih kuat.

Saya membeli prabayar dulu pun kerana terpaksa dan lebih praktikal berbanding memilih pascabayar kerana saya jarang menggunakannya. Sia-sia kalau membayar yuran pascabayar, sedangkan sebulan tidak sampai RM30 saya habiskan untuk telefon saya itu.

Saya membeli telefon bimbit untuk memudahkan saya berhubung dengan emak atau ayah. Waktu itu saya sedang sambung pengajian di UM. Kelas terkadang melarat hingga lewat 12 malam. Fakulti pula di ceruk kampus berhampiran rimba. Maka apabila selesai kuliah, mudahlah sedikit saya menghubungi ayah untuk menjemput saya pulang.

Berbalik pada prepaid, yang paling saya malas apabila kredit habis. Malas betul hendak ke kedai membelinya. Lebih-lebih lagi jika di kampung, mobiliti diri agak terhad.

Apabila terdesak terpaksa juga pergi membelinya walau apa cara pun. Kemudian apabila wujud Maybank2u, bertambah mudah saya membeli prepaid. Semuanya boleh dilakukan di hujung jari saja.

Baru-baru ini, saya bertemu satu website yang menjual prepaid. Wahh! Rupa-rupanya harga prepaid boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Misalnya topup 013/019 yang bernilai RM10 di pasaran, saya dapat dengan harga RM9.50. Kan murah tu. Jimat 50 sen. Beroperasi 24 jam pula tu. Kalau yang kaki berniaga tentu dapat untung berlipat kali ganda. Malang, saya bukan ‘otak bisnes punya orang’. Jika tidak, dah kaya kot hasil berniaga prepaid!

Mengapa saya tak berjumpa website ini sejak dulu? Jika tidak, awal-awal lagi saya mendaftar jadi ahli. Selama ini, memang rugi beli topup di kedai! Kwang3!

Tanpa berfikir panjang saya terus daftar jadi ahli. Bayar yuran seumur hidup + tambah modal minimum RM50. Selesai semuanya, pada masa itu juga saya boleh membeli topup dengan harga lebih murah daripada harga pasaran. Saya tersenyum puas hati ... heee!

Memandangkan saya bukan kaki niaga, maka saya mendaftar dan membayar modal hanya untuk kegunaan sendiri. Yang penting, saya tidak lagi bersusah payah pergi ke kedai atau membelinya pada harga pasaran melalui Maybank2u. Saya menggunakan Maybank2u apabila mahu menambah modal sahaja.

Bagaimanapun, saya tetap menjualnya pada teman-teman di pejabat yang malas turun dari pejabat hanya semata-mata untuk membeli topup di kedai. Juga saya menjualnya kepada ahli keluarga walaupun kekadang dikutuk adik-adik kerana lambat menerima topup yang mereka mahu (maklumlah saya bukan berniaga, kekadang handphone saya itu entah di mana letaknya apabila dapat mesej mereka yang mahukan topup). Kekadang rakan-rakan pejabat juga ada yang menghubungi saya malam-malam hari mahukan topup sebab malas ke kedai. Besoknya sampai di pejabat mereka akan bayar. Apa-apa pun boleh, hutang pun tak apalah.

Bagi anda yang berminat buat duit dengan berniaga topup boleh ke website saya http://www.Niagaprepaid.com/?ref=445. Saya yang jenis tak reti nak berniaga cukuplah sekadar promosi di blog ini (heee heee ... ), cukup sekadar untuk kemudahan diri dan menjualnya pada famili dan kawan-kawan di pejabat yang malas turun naik tangga.

Bagi anda yang sentiasa menggunakan perbankan online lebih baik daftar jadi ahli. Jimat! Semua ada 013, 019, 012, i-Talk pun ada. Jika berniat/berminat berniaga prepaid pula memang tidak rugi mencuba! Kalau pandai cari kaki, tentu dapat bonus. Jangan tiru saya yang pasif! Malas cari kaki!

MURAH! MUDAH! CEPAT! MEMANG BERBALOI ...!

Sunday, January 17, 2010

AKSI PAGI

Inilah aksi pagi tiap-tiap hari pada hari bersekolah. Duduk mencangkung berselimut dengan tuala. Kalau hujan lagilah bertambah ketar. Gigi pun menggelatuk.
Saya rasa sebahagian besar daripada kita pernah melakukan aksi yang sama masa bebudak dulu. Saya pun sama juga masa kecil dulu ... hee3... Alaaa anda pun sama juga kan, ngaku ajelah!
Selagi mak tak herdik, selagi tu la duduk dalam posisi itu.






Monday, October 19, 2009

DAH BANYAK KALI SAYA TIPU!

Apabila melihat anak kecil khasnya yang masih bayi dan yang masih peringkat toddler saya akan berkata, ‘Alaaaa comelnya,’ kerana setiap bonda yang melahirkannya akan berasa senang mendengar orang memuji anaknya ‘comel’. Tak payah orang lain, saya sendiri pun suka apabila orang memuji anak saya begitu. Bangga!

Comel anak yang sebenarnya

Ada anak yang pada pandangan kita dan pandangan orang lain sangat comel. Tak kiralah anak siapa. Kita berasa geram melihatnya dan rasa nak peluk seperti teddy bear. Ertinya apabila kita rasa seseorang anak itu comel, dan orang lain juga mengatakannya comel, makna anak itu benar-benar comellah. Contohnya anak orang putih atau anak orang Arab … memang comel betul! Lebih-lebih lagi yang mata bundar berwarna selain hitam!

Sama juga apabila orang putih melihat anak orang Asia, mereka geram melihatnya. Semasa adik saya lahir di England dulu, dia sering menerima pujian daripada orang putih, “Oh, he’s gorgeous,” walhal kulitnya agak gelap... maka ketika itu saya pun penuh bangga menolak adik di atas pram dan kemudian di atas stroller (walaupun bukan saya melahirkannya, perasaan bangga itu tetap ada).

Ada anak pada pandangan kita sangat comel, tetapi tidak pada pandangan orang lain. Saya pernah lihat anak seseorang yang comel, tapi rakan saya berkata, ‘Hmmm, biasa je. Tak comel manalah, heh!”


Ada pula anak yang pada pandangan orang comel, tapi pada pandangan saya pula agak biasa.

Ada anak yang pada pandangan saya tidaklah comel dan pada pandangan orang lain juga tidak comel. Memang tak comellah tu.

Maka saya kerap menipu dan berbohong kepada ibu anak itu, ‘Alaaa comelnya’ walhal anaknya itu tak comel pun, tetapi niat saya ikhlas mahu menyenangkan hati seorang ibu.

Kalau nak diikutkan, dah banyak kali saya menipu dengan kata-kata itu (dosa ke kalau menipu macam tu?)

Sama juga apabila orang mengatakan anak saya comel dahulu, maka dalam hati saya berkata, “Ikhlas ke tak ikhlas kata-kata orang ni?” (Sebab diri sendiri kekadang ikhlas di mulut, tetapi tidak di hati). Apa pun saya suka mendengarnya, tidak kiralah orang itu ikhlas atau tidak apabila mengatakan ‘comel’ pada anak saya.

Teringat sewaktu saya menjaga anak di hospital dahulu. Ketika itu anak saya sudah agak sihat dan mula merayau-rayau ke sana mari. Usianya waktu itu setahun lebih. Sewaktu dia berhenti berlari di koridor wad dan merenung ke luar dinding kaca, entah dari mana tiba-tiba muncul tiga remaja perempuan berlari-lari ke arah anak saya. Sedar-sedar anak saya sudah berada dalam dukungannya. Bukan tidak ada kanak-kanak lain di situ.


“Ya Allah comelnya … comelnya …” kata remaja itu sambil memeluk dan mencium pipi anak saya berkali-kali. “Kak, dukung jap,” pintanya. Anak saya meronta-ronta mahu melepaskan diri, tidak selesa dipeluk sedemikian rupa.

‘Eh eh budak-budak ni, muncul dari mana …’ bisik hati saya. Namun saya mengangguk dan tersenyum. ‘Jangan bawa lari anak aku dah le,’ hati saya berbisik lagi.

“Eee...gerammmmmnyaaaa,” katanya lagi.

‘Iya ke anak aku comel? Dahi jendul macam tu comel ke? Iyalah kot comel sebab tiba-tiba je budak ni muncul depan mata datang dukung … ingatkan aku je syok sendiri perasan anak aku comel …’ hati saya tidak berhenti kata-kata.

Apa pun apabila usia anak kita meningkat, bermula tiga tahun, comel fizikalnya semakin hilang. Seperti kita melihat anak ayam atau anak kucing. Semasa kecil, memang comel, bila dah besar kita kuis-kuis dengan kaki. Kalau ayam, kena sembelih lagi! Cuma pada anak sendiri tidak sanggup kita kuis dengan kaki kerana pada pandangan ibu dan ayah anak kita tetap comel sampai bila-bila sebab kasih sayang itu tidak akan hilang.

Anak kita walaupun tidak comel pada pandangan orang lain, pada pandangan kita sebagai emak, dia tetap comel (pandangan yang syok sendiri!)

Jadi kepada teman-teman, apabila saya memuji anak anda dengan perkataan ‘comel’ mungkin saya tidak ikhlas, minta maaf ya. Tetapi jika merujuk ‘comel’ pada fitrah si anak, kata-kata ‘comel’ yang terucap itu sememangnya ikhlas di mulut dan juga di hati saya. Sesungguhnya anak kecil itu fitrahnya suci! Itulah comel anak yang sebenarnya!

Thursday, July 30, 2009

RESTORAN 'SADURAN'

Pekan Machang di kampung saya kini sudah ada restoran makanan segera. Pizza Hut, KFC, Domino's dan McDonald’s ala Kelantan semuanya di bawah satu bumbung (4 in 1). Lebih kurang one stop centrelah kiranya. Khidmat delivery pun ada juga.
Apabila balik kampung, restoran inilah yang menjadi sasaran kami walaupun rasa dan kualiti makanannya tidak setanding dengan restoran makanan segera popular yang sebenarnya. Yang penting ia halal dan milik orang Islam! Harganya pula jauh lebih rendah.
Kini restoran ini sudah membesar. Tempat makan telah ditambah di bahagian belakang.
Pertama kali kami melihatnya dua tahun sudah, memang agak melucukan. Kini, kami sudah biasa dengannya. Tetapi bagi anda yang pertama kali melihatnya tentu akan kegelian hati kerana berasa canggung dengan namanya.
Lihatlah nama restoran ini dan menunya, semuanya 'saduran'.





Tuesday, July 21, 2009

DAH HAMPIR SANGAT!

Umum mengetahui Tanah Haram di Kota Makkah Al-Mukarramah kini sedang giat dan rancak dibangunkan. Pembangunan yang pesat, yang drastik untuk memberi wajah yang dramatik kepada Tanah Haram! Dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Barangkali sebahagian daripada anda sudah melihat imej-imej progres pembangunan persekitaran Masjid Al-Haram dan Tanah Haram ini. Bagi yang belum melihatnya, saya paparkannya di sini (temasuk gambaran artis apabila siap pembinaannya nanti).

Apa yang boleh dirumuskan daripada pembangunan ini ialah ‘KIAMAT’ itu sudah sangat ‘HAMPIR’… mungkin dasawarsa ini atau berikutnya. Tandanya sudah begitu nyata iaitu “Apabila terbinanya bangunan dan menara yang lebih tinggi daripada menara Masjid Al-Haram”.


Dan kita masih lagi dalam leka, dalam lagha!
Aduhai manusia, tunduklah dan bertaubatlah kepada Allah Taala!
Wahai manusia, bangkitlah dan semarakkan ajaran Nabimu!

Seruan diri ini khas untuk diri saya yang sentiasa alpa:
"Ya Allah, jangan Engkau matikan aku dalam keadaan aku tidak bertaubat."

















Kaabah dan Masjidil Haram kelihatan begitu kerdil nanti, Allah!

Sumber imej: Daripada email yang diforward sahabat!