Saturday, August 21, 2010

SUATU HARI DI BAZAR RAMADHAN

Pada suatu hari, saya ke bazar Ramadhan Penchala, konon mahu membeli murtabak. Meronda dua kali, adalah saya tengok dua tiga gerai yang menjual murtabak. Ada satu gerai murabak pelanggannya berjujukan menunggu giliran. Murtabak pak cik ni setiap tahun beginilah sambutannya. Hebat. Sedaplah tu agaknya.

Setelah singgah dari satu gerai ke satu gerai murtabak, satu pun tidak merangsang saya untuk membeli. Sebabnya telur yang digunakan masih lagi di dalam 'sarang'nya. Ertinya, telur itu tidak dibasuh. Tangan yang sama digunakan untuk memegang telur dan mencanai kulit murtabak. Entah-entah ada tahi ayam melekat di tangan dan terus melekat pada doh kulit murtabak itu.

Maaf, saya tidak lalu membelinya walaupun dari segi hukum fikah boleh aje, kerana mengambil kira isi di dalam cengkerang telur. Namun bagi orang-orang yang memberatkan tasawuf tentu tidak membeli apatah lagi memakan demi kesucian rohani.

Inilah yang dinamakan halal yang tidak toyyiban. Sedangkan Islam menganjurkan umatnya memakan makanan yang halal, baik lagi suci.

Jika orang menghidangkan saya murtabak, saya tidak mahu mempersoalkan di mana murtabak itu dibeli ... nasihat orang-orang tua yang lebih faham agamanya ... makan sahajalah, jangan dipersoalkan cara pembuatannya. Tapi jika kita sendiri yang membelinya, hati-hatilah.

Saya tertarik pada sebuah gerai menjual roti jon yang dikendalikan oleh dua orang remaja berketayap. Saya kira usia antara 14-16 tahun. Saya yakin mereka ini adik-beradik berdasarkan raut wajah mereka. Telur-telur yang hendak digunakan diletakkan di dalam 'takung' makanan stainless steel. Saya memanjangkan leher meninjau telur di dalamnya, hemmm ... bersih, malah masih basah kesan basuhan.

Ketika azan berkumandang, si abang tenang melangkah ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Asar. Si adik menunggu gerai, bergilir menunaikan solat.

"Dik roti jon ayam satu," pinta saya. Saya menghulurkan not RM10.

"Nah kak, duit bakinya. Sepuluh sen tu saya halalkan aje kak. Tak ada duit kecik."

Bagusnya akhlak. "Ya Allah, Engkau murahkanlah rezeki anak muda ini," doa saya tatkala meninggalkan gerai tersebut.

Bukan niat sebenar saya hendak membeli roti jon. Juga saya membeli roti jon itu juga bukan kerana nafsu. Tetapi dek tertarik dengan akhlak dua remaja yang jernih air mukanya, lalu saya 'terbeli'nya.

Sebagai ganti kepada murtabak, 'nafsu' saya memilih roti jala yang juga ada menjual roti jon dan nasi lemak. Nampak telurnya juga bersih.


Berbaloi roti jala yang dibeli sebab kari ayamnya sedap.

No comments: