Tuesday, February 8, 2011

KHASIAT SURAH YASIN

Pulang ke kampung semasa cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini menyegarkan semula roh yang lama terperuk di kota hutan batu mencakar langit yang menyesakkan. Di kampung, perjalanan hidup jauh lebih perlahan, amat sesuai untuk mengecas semula jiwa yang lesu.

Sesuatu yang amat memberi pengajaran apabila mendengar kisah Mek Yam, jiran nenek saya.

Ketika itu saya duduk di tangga rumah nenek, memantau anak dan sepupunya bermain dan berkejaran di pekarangan rumah. Kelihatan Mek Yam terkedek-kedek memasuki laman rumah.
Kebetulan emak saudara ada bersama dan dia memulakan bicara dengan Mek Yam yang kini sudah duduk di anak tangga bersama saya.

"Berapa hari masuk hospital hari tu?" emak saudara saya menyoalnya.

"Sembilan hari. Empat hari koma," jawab Mek Yam.

Mek Yam dimasukkan hospital kerana darah tinggi. Menurut ceritanya, dia baru selesai memberi makan ayam peliharaannya. Selesai memberi ayam makan, Mek Yam pula menyediakan nasi untuk dirinya sendiri. Baru hendak menuang kicap ke pinggan nasi dirasakannya dunia berpusing-pusing dan gelap. Sempat dia memanggil seseorang meminta tolong.

Rupa-rupanya sudah beberapa hari dia tidak makan ubat darah tinggi.

"Habis bekalan ubat," ujar Mek Yam.

"Ubat darah tinggi, kalau dah mula makan, tak boleh putus. Kena makan berterusan. Bekalan kena sentiasa ada," sampuk emak saudara saya. Saya mengiyakan.

Ketika Mek Yam koma, dia seperti sudah tiada harapan sembuh. Tunggu masa sahaja. Kaum keluarga jauh dekat pun bergegas pulang. Anak cucu sibuk membacakan Yasin di sisinya.

Sewaktu komanya, Mek Yam dapat mendengarnya. Sebelum ini dirasakan semuanya gelap-gelita. Dirasakan sudah mahu mati.

Ketika Yasin dibacakan inilah Mek Yam dapat melihat ada cahaya datang.

"Terang sungguh. Sejuk ... ."

Seseorang meniupkan bacaan Yasin ke telinganya dan mengajarnya mengucap syahadah. Saat inilah Mek Yam melihat cahaya terang-benderang, yang gelap terangkat naik.

Belum sampai lagi rupanya ajal Mek Yam. Berkat bacaan Yasin, dia sedar daripada koma.

Sesungguhnya Yasin merupakan jantung al-Quran. Kalam Allah yang penuh dengan khasiat roh. Kelebihannya tiada tandingan. Yasin sepatutnya bukan hanya dibaca ketika seseorang jatuh sakit atau mati, tetapi untuk orang yang masih segar-bugar dan sesiapa sahaja. Yasin, pengubat rohani dan jasmani. Petua untuk mendapat hidup yang diberkati-Nya.

2 comments:

Mohd Hisham Mohd Sharif said...

Salam,
Teringat saya pada kisah Pak Hamka bersama surah Yaasin. Beliau membacanya pada seorang pesakit yang sedang nazak di sebuah hospital.

Sebelumnya pesakit itu amat sukar untuk menghadapi kesakitan kematiannya, tetapi selepas bacaan surah Yaasin oleh Pak Hamka, ternyata rohnya dapat meninggalkan tubuh dengan begitu tenang dan aman sekali.

Dalam satu kuliah tafsir yang saya pernah hadiri juga, Ustaz memberitahu bahawa surah Yaasin ini isi disebaliknya adalah untuk para reformis yang ingin mengislahkan keadaan umat manusia. Cukup istimewa surah yang menjadi jantung hati Al Quran ini.

SURAIYA PAUZI said...

Apatah lagi yang membaca seorang ulama besar,berganda hikmahnya