Monday, February 14, 2011

APA NAK JADI?

Dua hari lepas anak saudara saya yang di tingkatan satu ada bercerita tentang kawan-kawannya di sekolah.

"Ustazah tanya dalam kelas, 'Siapa tahu bila Hari Valentine?' Semua jawab 14 Februari. Bila ustazah tanya, 'Bila Maulidur Rasul?' Semua orang diam tak tahu jawab. Teruk betul."

"Habis ustazah cakap apa?" saya menyoalnya.

"Ustazah kata, 'Oh, kalau Hari Valentine tau bila, kalau hari jadi boyfriend pulak simpan lagi tarikh dalam handphone, kalau hari jadi Nabi, semua tak tau ... '," ceritanya.

Sebelumnya si kakak yang di tingkatan dua juga bercerita. Beberapa hari sebelum menjelma Hari Valentine, murid-murid di sekolahnya sudah sibuk menjual 'merchandise' Valentine. Sibuk meraikannya.

Pernah juga dia memberitahu, ada seorang kawannya yang langsung tidak tahu apa-apa tentang Islam. Islam pada nama sahaja dek ibu bapa yang tidak pernah mengajarkannya tentang Islam. Ibu bapa yang sentiasa sibuk mencari harta dunia dan jarang sekali berada di rumah.

Apabila anak saudara saya ini ke surau untuk bersolat, si kawan ini mengikutnya. Si kawan ini tidak tahu solat itu apa. Apabila orang rukuk, dia rukuk, apabila orang sujud, dia pun sujud tanpa mengerti kenapa orang Islam wajib bersolat. Dia hanya meniru pergerakan.

Menurut cerita anak saudara saya, kawannya itu ada menunjukkan minat untuk mengenali Islam. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.

Ayah saya pula bercerita, dia pernah menyoal seseorang, tahukah apa itu Israk Mikraj? Jawab orang itu, "Israk Mikraj itu ialah satu peperangan." Maka saya terfikir, berapa ramaikah sebenarnya umat Islam yang jahil tentang kembara Rasul Mulia ke Sidratul Muntaha ini. Dan saya menjawab sendiri, "Tentu ramai."

Aduh. Amat menyedihkan sekali. Apa nak jadi umat Islam hari ini?

Semakin hari semakin jahil. Semakin hari semakin menyimpang jauh dari landasan agama.

1 comment:

Kamariah Kamarudin said...

oh memang menyedihkan; apa akan jadi pada generasi selepas kita nanti? entah siapa yang perlu diberi kuasa, diberi tanggungjawab untuk mengatasi permasalahan begini? moga keluarga kita dan seluruh umat Islam diberi kekuatan dan ketaatan pada agama kita, Islam yang syumul!