Friday, February 11, 2011

MENARIK REZEKI

Untuk mendapat rezeki yang luas, jangan tidur selepas Subuh. Begitu pesan Rasul Mulia SAW kepada umatnya. Sungguh benar, ajaran Baginda. Hinggakan jika kita perhatikan, kawanan unggas di sekeliling kita (melainkan burung hantu) berpagian-pagian lagi keluar mencari makan. Mereka hanya pulang apabila senja berlabuh.

Jika beburung pun taat akan perintah Rasul dan Tuhannya, apatah lagi kita yang bergelar manusia. Tapi banyak di kalangan kita, selepas solat Subuh kembali ke katil memeluk bantal pada cuti hujung minggu.

Kebenaran di sebalik ajaran Nabi SAW ini hampir setiap hari saya lihat dengan mata sendiri.

Hari Jumaat, saya panggil hari nasi lemak kerana hanya hari ini saya membenarkan anak membli nasi lemak untuk bekalan ke tadika. Dahulu, hampir setiap hari dia mahu membawa nasi lemak ke tadika. Kini saya hadkan hari Jumaat sahaja, kerana yuran tadika meliputi sekali kos makan minum. Rugilah jika membeli nasi lemak setiap pagi.

Apa yang mahu saya ceritakan ialah bagaimana pasangan suami isteri yang saya kerap ke gerainya untuk membeli nasi lemak mengamalkan ajaran Nabi SAW ini. Nasi lemaknya sangat laku. Pengunjung tidak putus-putus datang membeli juadah pagi. Walhal, rasa nasi lemaknya biasa sahaja. Lebih kurang saja.

Yang menjadi perhatian saya ialah, mak cik ini dan suaminya pagi-pagi lagi telah turun berniaga, seusai Subuh ketika kenderaan belum banyak di jalan raya dan ketika perniagaan makanan lain masih belum beroperasi (melainkan restoran mamak 24 jam).

Labanya di pagi hari sungguh lumayan, kerana waktu itu orang ramai sibuk mahu ke tempat kerja masing-masing. Kerana gerai nasi lemak lain belum beroperasi, maka mahu tak mahu, mereka beli nasi lemak mak cik ini sebagai sarapan untuk dibawa ke pejabat.

Tika gerai lain baru mahu mengembangkan payungnya, mak cik ini hampir tamat berniaga. Nasi lemaknya hampir habis. Sedangkan orang lain baru hendak mengatur dan menyusun gerai. Pabila hari semakin tinggi, orang ramai mahu pula makan tengah hari, mereka lebih suka memilih untuk makan di restoran atau membeli sajian yang lebih sesuai untuk makan tengah hari, bukan nasi lemak.

Justeru, bersungguh-sungguhlah mencari rezeki di pagi hari. Kita yang bukan berniaga nasi lemak ini pun seharusnya mengamalkan apa yang disunahkan. Biarpun kita bekerja di pejabat berhawa dingin dan tidak nampak wang masuk di depan mata, percayalah, rezeki melimpah masuk di pagi hari. Terkadang rezeki yang datang bukan dalam bentuk material/fizikal, tetapi mungkin dalam bentuk lain yang tidak kita sangka-sangka.

Pada hujung minggu juga demikian, walaupun tidak bekerja pada hari itu, tidak seharusnya anda tidur selepas Subuh. Mungkin rezeki kita yang diberikan Tuhan pada waktu itu dalam bentuk kesihatan yang baik, atau minda yang cerdas berbanding orang yang tidur selepas Subuh.

Baginda SAW telah memberikan petua murah rezeki ini, sama-samalah kita mengamalkannya. Perindahkan ia dengan solat dhuha (yang ini pun saya sendiri belum dapat hendak konsisten mengamalkannya. Moga Allah beri kekuatan).

Allahu a'lam.

No comments: