Thursday, March 10, 2011

YANG MENYERABUTKAN MATA DI PEJABAT

Di pejabat saya, benda yang saya paling menyampah tengok adalah kasut dan sandal staf yang bergelimpangan. Kerana pejabat kami mengamalkan 'kaki ayam' maka kasut atau sandal ditanggalkan di pintu masuk jabatan masing-masing.

Yang menghairankan, jumlah kasut dan sandal melebihi jumlah staf yang bekerja di pejabat. Ini bermakna ada staf mempunyai lebih daripada sepasang kasut atau sandal walaupun sedar dirinya hanya mempunyai sepasang kaki.

Saya boleh terima keadaan itu jika manusia mempunyai lebih sepasang kaki seperti kucing, lembu, kambing, lipan dan seumpamanya.

Lebih menyakitkan hati apabila tiba di aras satu, laluan ke jabatan saya ada masanya terpaksa meredah kasut dan sandal yang bergelimpangan. Terkadang menyebabkan orang yang lalu-lalang hampir saja terjatuh. Menambah buruk keadaan lagi, apabila menerima ramai tetamu tetapi ini kes terpencil.

Kalau jenis yang cantik tak apa juga, tapi yang dah buruk dan haus, berbau pula, tak usahlah ditayang-tayang. Kalau ada dua pasang atau lebih di pejabat, pilihlah yang cantik sedikit.

Saya tak faham, mengapa perlu ada lebih daripada sepasang perlu disimpan di pejabat. Jika mahu sangat ada lebih sepasang di pejabat, simpanlah di ruang kerja sendiri. Di bawah meja mungkin. Keluarkan hanya apabila mahu menggunanya. Jangan disemakkan di laluan ramai. Atau bagi yang ada kenderaan sendiri, simpan saja di dalam kenderaan masing-masing.

Yang bergelimpangan di laluan ramai hingga menyusahkan orang lalu-lalang (melibatkan maslahat ramai), harus ingat dan semat di ingatan perbuatan anda berdosa! Juga kasihanilah pada Puan Amirah yang tugasnya mengemas pejabat, saban hari menyusun kasut busuk anda (lebih kurang perangai restoran yang berjiran dengan syarikat kami yang menempatkan meja dan kerusi di kaki lima hingga menyusahkan orang ramai lalu-lalang. Jika tidak dikawal nafsu jahat, mahu sahaja diterajang kerusi meja yang menyemak itu).

Saya sejak dulu hingga kini tidak pernah ada lebih daripada sepasang sandal di pejabat. Boleh saja saya survive tanpa menyimpan berpasang-pasang. Pakai saja yang praktikal sesuai untuk ke mana-mana. Malah saya tidak berkisah pun walau menyarung 'flip-flop' kerana saya pasti orang selalunya tidaklah memerhati sangat ke arah kaki kita, cuma lainlah kalau hendak ke majlis-majlis tertentu, barulah pakai yang sesuai.

Saya tabik spring kepada Syarikat Shamawar yang berjiran dengan syarikat kami. Indah sekali ruang legarnya. Jika tidak diperhatikan, kita tidak tahu pun di sebalik hiasan dalamannya ada rak kasut tersorok kemas. Jika tidak ditulis rak kasut, saya sendiri pun tidak tahu mereka menyimpan kasut di situ.

Rasanya pihak pengurusan patut mengehadkan jumlah kasut yang diboleh simpan oleh staf. Sebagai syarikat mengeluarkan produk Islam, imej syarikat perlu dijaga. Memang patut pun ada ustaz yang menegur baru-baru ini!

(Mahu saja saya rakam gambar kasut staf bergelimpangan bersama post ini, tapi cukuplah sebahagian sahaja kisah pekung di dada ini dikongsikan).

No comments: