Thursday, March 31, 2011

TAK RETI BASA (1)

Saya kekadang transit di rumah Mak Ayah sebelum balik ke rumah. Malam tadi saya singgah lagi di rumah Mak Ayah. Selepas Maghrib saya dan anak ke restoran berdekatan membeli roti nan dan roti canai.


Restoran itu sering dikunjungi pelbagai bangsa, Arab, Afrika, Jepun dan macam-macam. Sesuatu yang sangat saya tidak suka di restoran ini ialah udaranya sangat tidak menyihatkan. Bukan asap rokok sahaja yang berkepul-kepul, tetapi juga asap shisha.


Di sebuah meja, sekumpulan anak muda Cina sedang bergilir-gilir menghisapnya. Di satu sudut pula kelihatan, seorang wanita muda dengan penuh nikmat dan selamba sedang menghisapnya sambil membelek-belek majalah.


Ketika menunggu makanan saya dibungkus, sejumlah besar shisha diangkut keluar oleh pekerja restoran itu untuk disediakan kepada pelanggan. Kalau tidak kerana dekatnya restoran ini dengan rumah Mak Ayah, tidaklah saya ke situ.


Aduh! Bila agaknya kerajaan hendak mengikut kerajaan negeri Kelantan yang mengharamkan shisha ini, walhal telah diketahui umum bahaya shisha ini berkali-kali ganda lebih bahaya daripada rokok.


Teringat saya ketika menggalas tugas di Arab Saudi bersama krew penggambaran Salam Timur Tengah dulu. Kembara kami menjelajah Tanah Arab itu diiringi dua orang pegawai dari Kementerian Penerangan Arab.


Hari-hari yang kami lalui amat menyeksakan kerana saban hari sepanjang kami berada di Arab Saudi, kami terpaksa menyedut asap hookah atau shisha ini yang dilepaskan oleh dua orang pegawai Arab ini. Hampir pengsan kelemasan dibuatnya (mujur tak mati).


Apa tidaknya, sepanjang bertugas, ke sana ke mari kami menaiki bas tajaan berhawa dingin. Dua orang pegawai yang mengiringi kami itu, asal saja naik ke dalam bas, mulalah menyedut shisha ini. Berkepul-kepul asapnya. Ingatkan hanya di restoran sahaja benda ini disedut, rupa-rupanya dibawa naik hingga ke dalam kenderaan.


Sungguh tak reti basa!

No comments: