Ahad lalu ketika kebanyakan daripada masyarakat Melayu (khasnya) tertumpu kepada AJL 2010 di TV3, saya pula memilih untuk menonton Astro saluran 556, saluran ANIMAL PLANET.
Saluran ini antara saluran kegemaran saya dan anak. Mujurlah Ammar Hadi sudah tidur ketika itu, jika tidak saya letih melayan pelbagai soalan yang 'mengerikan' untuk dijawab berkaitan setiap haiwan yang ditonton.
Malam itu saya dapat menonton dengan relaks kerana tiada gangguan. ANIMAL PLANET pada malam itu berjudul MONSTERS INSIDE. Sayangnya saya hanya mula menontonnya apabila ia sudah tersiar separuh jalan. Apa pun banyak maklumat yang saya perolehi.
Monsters Inside adalah berkenaan parasit yang wujud dalam tanah. Apabila memasuki tubuh manusia, seseorang itu akan jatuh sakit. Sakitnya amat serius malah jika tidak dirawat segera boleh membawa maut.
Seorang kanak-kanak perempuan yang dimasuki parasit ini jatuh sakit, lama dia ditahan di hospital sebelum sembuh sepenuhnya. Parasit ini masuk melalui air mandi dari perigi. Keluarga kanak-kanak itu tidak menggunakan air ini untuk makan minum, tetapi untuk mandi mereka tetap menggunakan air ini. Parasit ini memasuki sistem paip yang pecah di dalam tanah.
Seorang ahli bomba jatuh sakit setelah pulang daripada operasi memadam kebakaran hutan. Awalnya dia menganggap sakit biasa dan mengambil ubat yang biasa. Lama-kelamaan sakitnya bertambah teruk dan dimasukkan ke hospital. Sakitnya semakin kritikal. Rupa-rupanya parasit ini sudah menyerang otak. Parasit ini membiak dan memusnahkan otaknya secara total. Akhirnya anggota bomba yang penuh dedikasi ini mati. Pengebumiannya dilakukan penuh hormat daripada anggota lain.
Bagaimana parasit ini masuk ke otaknya? Semasa operasi memadam kebakaran hutan, abu yang berterbangan di udara yang kebetulan ada parasit itu, jatuh ke lubang telinga. Melalui jalan inilah parasit itu memasuki otak.
Seorang remaja, sering membantu ibunya berkebun. Apabila berkebun, tentulah seseorang itu tidak dapat lari daripada menyentuh tanah (menggali, mengorek, mencabut rumpai dan sebagainya).
Pada suatu hari, remaja perempuan ini terganggu deria penglihatannya. Awalnya dia merahsiakan masalah itu. Tetapi akhirnya dia tidak dapat mengelak lagi apabila keadaan mata semakin serius. Doktor yang memeriksa matanya terus menelefon doktor pakar. Mata remaja itu perlu segera dibedah. Parasit daripada tanah, hampir meragut penglihatannya!
Masalah kesihatan yang berpunca daripada parasit ini jarang berlaku. Pun begitu, sekali ia singgah dan menghuni tubuh kita, boleh membawa maut. Parasit ini ada di mana-mana tanah di dunia ini. Apabila tersentuh atau aktiviti kita melibatkan tanah, bersihkan segera kotoran sebersih-bersihnya. Jika jatuh sakit, segeralah dapatkan rawatan. Segala kemungkinan boleh berlaku.
Hmm antara ANIMAL PLANET dan AJL 2010, mana yang lebih berfaedah? Jika anda pelanggan Astro dan tetap memilih AJL 2010, ertinya anda lebih memuja hiburan daripada ilmu.
2 comments:
Assalamualaikum...Sue,
ANIMAL PLANET memang channel favourite saya + suami. Isu MONSTERS INSIDE tu dah bbrp kali saya tonton. Last week, suami tak bagi tonton sbb saya akan jadi fobia tak bertempat yg sedikit sebyk stres-kan dia.
SOKONG 200% pendapat engkau yg kita kena lebihkan menonton program ilmu berbanding hiburan. Terus berusaha utk pengaruh adik2 aku melebih-tontonkan program ilmu dan mengurang-tontonkan program hiburan.
Wa'alaikumussalam
Seriously Intan, sejak enam tahun lalu aku dah tak tengok TV secara fokus. Kebanyakan masa memang langsung tak tengok, perkembangan semasa program TV langsung tak tau.
TV di rumah, anak yang kawal. Kalau tak nak beri dia tengok berlebihan, jawabnya tutup aje. Berita pun tak dapat tengok. Program yang aku nak tengok, tak dapat ... uhuk2.
Post a Comment