Saturday, January 1, 2011

KERANA RIDSECT ... .

"Assalamualaikum warahmatullah."

"Assalamualaikum warahmatullah."

Saya memberi salam solat Asar sebentar tadi. Deria hidu saya menangkap bau semburan racun serangga Ridsect. Baunya amat menusuk. Jenama ini memang saya tidak gemar kerana baunya yang sangat kuat dan memeningkan. Tetapi suami saya suka jenama ini.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka dan Ammar Hadi menerpa dengan senyum meleret.

"Mak, Ammar dah sembur semua dah. Semua semut dah mati."

"Astaghfirullah. Pergi basuh tangan sekarang. Sabun betul-betul."

"Ammar jumpa kat mana sembur tu?"

"Atas meja je."

Aduh. Siapa pula yang letak atas meja. Padahal benda yang berbahaya semua sudah saya letak di tempat tinggi. Kepada ahli rumah juga saya berpesan, jangan letak merata-rata nanti Ammar buat main.

"Ya Allah. Patutlah bau kuat betul. Ammar sembur kat mana?"

"Kat dapur," jawabnya selamba.

"Allahu akbar ... KAT DAPUR?" saya bergegas turun ke dapur.

"Tunjuk kat mana Ammar sembur."

"Situ, situ, situ, situ ... semua Ammar sembur."

Aduh. Saya menepuk dahi. Mujur sebahagian besar makanan ditutup.

"Ada lagi yang Ammar sembur?"

"Dalam peti."

"Ya Allah. Habislah." Pantas saya membuka peti. Lutut dah mula longlai.

"Tunjuk satu-satu apa yang Ammar sembur."

"Tu ... tu ... ." Telunjuknya satu persatu dihalakan ke makanan yang disembur.

Allah .... kena buanglah semuanya. Ayam yang telah saya potong dan bersihkan untuk dibuat mi kari malam ini, kena buang. Tembikai yang tinggal lagi sebelah kena buang. Beberapa makanan lain yang terdedah turut saya buang. Bau Ridsect di dalam peti jangan dikenang. Benda-benda lain yang tertutup rapat, saya biarkan. Lap sahaja permukaan luar. Harapnya tidak memudaratkan.

"Ammar, dengar sini. Banyak kali kan Mak cakap, sembur tu tak boleh main. Sebab apa?"

"Bahaya," jawabnya.

"Habis. Ammar dah tau bahaya kenapa buat juga?"

"Sebab ada semut."

"Dalam peti tak ada semut. Jangan sembur semut sebab dia binatang syurga. Biarkan aje. Kita boleh sembur lipas aje. Sidi marah tau sembur semut." (Sidi ialah gelaran datuknya).

"Jangan buat lagi. Kalau nampak sembur tu jangan buat main. Bagitau Mak, nanti Mak simpankan."

"Yalah, yalah." Jemu agaknya mendengar leteran saya.

"Sembur tu racun. Kalau kena makanan, bahaya kalau makan. Nanti sakit. Boleh mati."

"Mak, tu pun kena buang. Nanti kena Ammar, mati nanti," tangannya menunjuk ke arah basikalnya.

"Basikal tak apa. Boleh naik. Tak mati. Lap aje."

Aduh. Sambutan tahun baruku ...! Hampir setin Ridsect disembur.

1 comment:

kasih suci said...

kalau saya berada di tempat akak....mungkin saya tidak boleh bersabar seperti akak....hehe...mendidik anak2 bukan perkara mudah...moga allah permudahkan semua urusan akak....amin ya rabb