Pagi ini dalam perjalanan ke tempat kerja, ada dua insiden yang melibatkan dua penunggang motosikal yang hendak saya kongsikan.
Di sebatang jalan, sebuah motosikal dari sebelah kanan saya yang baru menuruni jejantas tiba-tiba terhoyong-hayang. Seorang budak sekolah membonceng di belakang. Saya kira dia sedang tergesa-gesa hendak menghantar anaknya ke sekolah.
Saya nyaris terlanggarnya yang tiba-tiba terhoyong-hayang. Rupa-rupanya tayar belakang motosikal itu pancit. Tapi dia tidak berhenti dan meneruskan perjalanan dengan mengambil risiko memandu dengan perlahan walaupun terhoyong-hayang.
Sekali-sekala dia membenam kaki kanan ke jalan untuk memberi lonjakan kepada motosikalnya. Biar apa pun usahanya itu, dia tetap pelahan dan terhoyong-hayang menyebabkan kenderaan dari belakang yang sudah berderetan panjang itu terpaksa berhati-hati apabila hendak memotongnya
Tindakannya itu amat berbahaya. Saya kira dia perlu mengejar waktu masuk sekolah si anak yang hanya tinggal beberapa minit sedangkan perjalanan untuk tiba di sekolah lebih kurang setengah kilometer. Alang-alang sudah lambat, elok sahaja berhenti di bahu jalan dan cari ikhtiar untuk menghantar si anak ke sekolah. Jelaskan secara baik kepada guru, mengapa anaknya lambat.
Apabila saya tiba di suatu simpang empat di Kota Damansara pula, seorang penunggang motosikal sengaja memandu di atas garisan putih di celah-celah dua lorong. Tindakan bodohnya itu menyebabkan kenderaan di lorong kiri mahupun di lorong kanan sukar hendak menukar lorong kerana perlu mengelak daripada terlanggar penunggang ini.
Mengapa dia memandu secara demikian seolah-olah jalan itu dia yang punya, tidaklah saya tahu.
Macam-macam ragam pelik manusia yang jelik. Tidak berdisiplin dan sengaja menggadai nyawa dan mencari nahas!
Apa pun, untuk 'acara' menunggang motosikal secara paling bahaya, jika ada trofi kemenangan untuk jagoan motosikal, saya akan berikan kepada 'penghantar piza'. Lampu merah dilanggar, mencelah-celah dan berdesup laju di samping 'corner baring' adalah lumrah bagi mereka ini ... tujuannya satu, dia perlu menghantar piza ke destinasi tepat pada waktunya! Terfikir juga saya, berapa agaknya nilai insurans yang diambil oleh restoran piza untuk setiap penghantar piza mereka?
* Kisah saya ini, tidak berkaitan dengan mat rempit, kerana kita sedia maklum bagaimana perangai mereka. Tetapi boleh jadi juga penunggang yang saya ceritakan ini pada sebelah malamnya memang kerjanya merempit. Wallahua'lam.
1 comment:
masalah pasangan berkahwin yang tidak menakluki ilmu agama sebetulnya sebelum berumahtangga ada di mana-mana hari ini. ya, mudah-mudahan anak-anak yang suci hatinya, luhur peribadinya tidak akan goyah dengan kebaikan setelah diberi pendidikan agama yang sempurna di sekolah (tadika) walaupun persekitaran di rumah tidak membantu.
Post a Comment