Monday, November 1, 2010

ULAM BAWANG

"Macam mana Kak, doktor cakap apa?" soal cikgu anak saya sehari selepas saya membawa anak memenuhi janji temu di PPUM.

"Okey. Doktor nak pantau jantungnya aje."

"Ammar sakit jantung ke?"

"Bukan jantung, tapi Kawasaki. Penyakit ni mudaratnnya pada jantung." Saya cuba memudahkan penerangan. Nak diterangkan apa itu penyakit Kawasaki, panjang lebar pula jadinya.


"Kalau dia main lasak, tak apa ke?"

"Tak apa." Ammar waktu itu sedang bergayut-gayut di taman permainan tadika. Waktu itu juga, beberapa orang tukang sedang membaiki pagar taman permainan di bawah pokok rambutan itu.

"Makan? Ada pantang?"

"Dia tu pantangnya sebab lelah je. Tapi lelah pun alhamdulillah dah lama tak kena."

Banyak betul soalan cikgu baru ini. Cikgu yang dah lama berkhidmat di situ dah tahu keadaan anak saya. Khasnya Cikgu Seri yang menjaganya sewaktu anak saya berusia setahun. Ketika itu terpaksa saya mengajarnya cara-cara memberi ubat kepada Ammar Hadi.

Bermacam jenis ubat waktu itu termasuk aspirin dan ubat jantung orang dewasa yang rasa pahitnya hanya Tuhan aje yang tahu.

"Ammar jomlah, nak balik ni, nanti jalan jam pula ... " saya meninggikan suara.

"Anak sakit jantung ke?" seorang tukang itu menyapa. Saya baru sahaja hendak melangkah masuk ke kereta.

"Tak ... " alahai, malas pula nak rewind jawapan.

"Kalau sakit jantung, makan bawang merah tiga biji. Buat ulam makan dengan nasi. Insya-Allah dalam empat hari ada perubahan." Lelaki itu berkongsi petua.

"Ooo gitu ke ..."

"Tapi kalau budak ni saya tak tahulah penyakit apa. Kalau betul-betul sakit jantung, insya-Allah boleh cuba.

"Lagi satu, kalau mandi, jangan tengah malam. Lepas Isyak, jangan mandi. Tak bagus untuk kesihatan. Kalau nak mandi juga, mandi air suam. Itu pun tak boleh selalu ... " ujarnya lagi.

"Ye ke ... ." Saya memberi respons, walhal dah lama tahu. Cuma saya suka tengok orang suka apabila petua yang diberi dihargai kita. "Gitu ye ... ye lah, terima kasih."

Saya menghidupkan enjin kereta dan senyum padanya lalu beredar dari situ.

No comments: