Wednesday, April 6, 2011

HARI RABU

Hari ini hari Rabu. Setiap hari Rabu di syarikat saya bertugas, ada sesi riadah selepas Asar. Memang baguslah untuk kesihatan. Malah diwajibkan pula staf mengikutinya. Maka ada staf yang datang ke pejabat siap dengan memakai pakaian riadah, atau membawa persalinan itu untuk dikenakan selepas selesai tugas di pejabat.


Bagaimanapun, saya terpaksa melanggar peraturan ini kerana ada komitmen lain yang lebih penting yang tidak memungkin saya untuk turut sama beriadah. Bukan sengaja atau suka-suka, tetapi terpaksa.


Saya terpaksa berkejaran menjemput anak di tadika sebelum jalan terlalu sesak. Jika terlewat, anak saya bukan sahaja meraung, bahkan jika terlambat mengambil anak, tentu caj overtime akan dikenakan oleh pihak tadika. Bayangkan jika setiap Rabu saya lewat, sebulan sudah berapa banyak overtime yang perlu saya bayar, jika setahun boleh mencecah ratusan ringgit. Jika syarikat yang menanggungnya, tidak mengapalah juga.


Kerana hal ini jugalah saya memilih waktu kerja dari jam lapan pagi hingga lima petang berbanding majoriti staf lain memilih waktu kerja jam sembilan pagi hingga enam petang, jadi mereka masih ada waktu untuk beriadah bermula selepas Asar hingga tamat waktu kerja pada jam enam petang.


Jadi saya merasakan, pihak syarikat tidak berhak mengganggu waktu peribadi saya selepas jam lima petang! Lagipun, bukannya saya tidak beriadah langsung, kerap juga saya melakukan brisk walk di taman permainan berhampiran rumah semasa membawa anak bermain. Malah mungkin juga senaman saya itu lebih daripada mereka yang mengikuti sesi riadah syarikat!

No comments: