Friday, April 15, 2011

TAK RETI BASA (2)

Saya kadangkala singgah di rumah Mak Ayah sebelum pulang ke rumah. Selalunya pada hari Jumaat apabila keadaan trafik lebih sesak. Jadi saya transit dulu di situ, menunggu kesesakan trafik reda.

Yang mahu saya ceritakan adalah sikap jiran tetangga di sekitar rumah orang tua saya. Sikap mereka memarkirkan kereta sering menyakitkan hati. Letak kereta sesuka hati sehingga menyukarkan kita untuk keluar masuk. Termasuklah tetamu mereka yang meletak kereta sesuka hati.

Ada masanya pada malam hari, terpaksa kita bunyikan hon agar tuan punya kereta yang entah berada di rumah jiran yang mana satu supaya keluar mengalihkan kereta. Kalau dah tahu kawasan rumah sempit, letaklah kereta di tempat yang tidak mengganggu orang lain, biarlah jauh sikit asal tidak menyusahkan orang lain. Kemudian berjalan kakilah masuk. Tapi kalau dah dasar pemalas tu ... kalau boleh kereta pun nak di parkirkan hingga ke dalam rumah.

Sebelum bina rumah dulu, tidak difikirkan kawasan meletak kereta. Yang mereka tahu, bina rumah sepenuh-penuh tanah tanpa mengambil kira ruang meletak kereta. Apabila hendak memusing kereta hingga terpaksa masuk ke rumah kita pula. Apa ke jadah? Ayah saya ketika membina rumahnya itu, awal-awal lagi telah memikirkan ruang tempat letak kereta agar tidak menyusahkan jiran tetangga. Ayah saya fikirannya sentiasa terkehadapan.

Beberapa minggu sudah, murid-murid Ayah saya datang untuk menghadiri kelas agama di rumah, mereka juga memarkirkan kereta sesuka hati. Maka dengan segera saya menegur, "Jangan letak kereta di situ, nanti susah orang nak keluar masuk." Lalu mereka menyusun semula kedudukan kereta masing-masing. Dan minggu-minggu seterusnya, mereka sudah faham dan tidak perlu ditegur lagi.

Tingkah laku hingga menyusahkan orang lain apatah lagi jiran tetangga adalah suatu dosa. Mentaliti dangkal lagi bodoh.

No comments: