Wednesday, August 11, 2010

DUA KALI SOLAT ISYAK

Akhir April lalu Ammar Hadi genap lima tahun. Maka saya mula bertegas dengannya tentang kewajipan solat.

Kekadang mudah sahaja apabila disuruh solat, terus dilakukannya. Ada masanya pula saya terpaksa tinggikan suara dan membebel. Pun begitu, alhamdulillah sehingga hari ini, dia tidak meninggalkan kewajipan itu melainkan kalau dia di bawah pemerhatian orang lain dan saya tiada di sisi untuk memantau.

Biarpun mata separuh terpejam kerana terlalu mengantuk, saya menggesanya juga supaya solat Isyak, dan dia menunaikan dalam tersedu-sedan. Biarpun bangun paginya jam lapan ke atas, saya menegaskannya supaya solat Subuh, sungguhpun solatnya itu Subuh gajah!

Terkadang ada masanya, rakaatnya terkurang, saya akan menegur.

Yang menggembirakan saya, dua hari lepas dia mahu menjadi imam solat Isyak, dan saya disuruhnya menjadi makmum.

"Mak duduk belakang Ammar tau," tegasnya.

Sebagai memberi sokongan dan semangat juga menghormatinya, saya menurut perintah!

Sungguh teliti bacaan Fatihahnya kali ini walaupun masih sedikit pelat.

"Assalamualaikum warah matullah..." dia memberi salam.

"Sekarang doa tau, angkat tanganlah Mak ..." Doa dibacakan, saya mengaminkannya.

"Mak bagus, sekarang setan dah lari," komennya.

Saya menahan tawa.


Apabila dia berada di bawah melayan permainan, saya senyap-senyap menyelinap ke atas untuk menunaikan semula solat Isyak. Isyak kedua kerana yang pertama berimamkan kanak-kanak belum mumaiyiz!'

Alhamdulillah. Dia semakin peka dengan kewajipan solat. Saya percaya ini bukan usaha saya secara total, tetapi ini adalah berkat didikan guru-gurunya di Tadika Hasanah yang sememangnya amat menitikberatkan hal-hal kewajipan seorang Muslim terhadap anak-anak yang dihantar dan diamanahkan kepada mereka. Sebagai ibu bapa menjadi kewajipan pula di rumah untuk menyuburkan lagi apa yang anak kita kutip di sekolah.

Syukur, saya tidak salah memilih tadika untuk Ammar Hadi.

Teringat pesan YB Dr Lo' Lo' dalam ucapan perasmian pada hari Sukaneka Tadika Hasanah, sekolah Ammar Hadi beberapa bulan dulu. "Ajar anak solat seawal usia. Tak kiralah dia pakai apa pun, baju tidur ke, seluar pendek ke...ajak anak tu solat. Kerana solat akan membentuk peribadi mereka..."


YB Dr lo' Lo', "Ajar anak solat mesti mula seawal usia ..."

Rupa-rupanya Dr Lo' Lo' juga telah menghantar anak-anak beliau ke Tadika Hasanah. Beliau amat memuji Tadika Hasanah. Sekarang anak-anak Dr Lo' Lo' semuanya sudah dewasa dan berjaya.

Mudah-mudahan anak saya pun begitu juga nanti. Amin!

Wednesday, July 28, 2010

DALAM KENANGAN

ISNIN - 26 Julai 2010




Ketika itu saya baru tiba di tempat kerja dan sedang menapak naik ke pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Ayah yang mengkhabarkan berita sedih.


"Kak Lah meninggal pagi tadi. Jenazah akan dibawa balik ke Kelantan," Ayah memberitahu.


"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un ... " itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Mahu saja saya ke rumah Allahyarham di Seksyen 14, Petaling Jaya, tetapi dek kerana himpitan kerja yang kritikal, saya mewakilkan adik menyampaikan salam dan takziah kepada keluarganya. Terkilan!


Khabar pilu itu sedikit menjejaskan emosi saya pagi itu. Sungguh tidak disangka dia pergi ketika Ramadan hampir menjelang beberapa hari lagi.


Kak Ramlah atau panggilan mesra kami padanya 'Kak Lah' ialah kenalan lama kami sekeluarga. Malah dia bagaikan saudara sendiri.


Baik, teramat baik orangnya. Suka meraikan sahabat handai dengan jamuan yang sentiasa meriah.


Keluarga kami menjadi erat dengannya sewaktu pertama kali tiba di Canterbury. Kediamannya di No. 8, Eaton Road menjadi tempat kami menumpang lebih sebulan sebelum mendapat rumah sendiri. Kerana lamanya kami duduk di rumahnya, anak-anaknya bagaikan adik-beradik hinggakan anak-anaknya memanggil emak kami dengan panggilan 'Emak' hingga kini.



Masih jelas ingatan saya bersama anak-anaknya mengutip chestnut di belakang rumahnya dan juga berjalan-jalan dengannya di Wednesday Market.



Hubungan keluarga berterusan apabila Ayah dan suaminya Ustaz Wan sama-sama bertugas di Universiti Malaya dan kami saling ziarah-menziarahi. Pada hari raya, mereka sekeluarga kerap mengadakan rumah terbuka. Nasi dagang air tangan Allahyarham tiada tandingan sedapnya. Allahyarham juga sangat mahir menjahit dan pernah menjahit baju kurung saya dan Emak dan juga langsir Emak, tetapi tidak mahu mengambil upah.



Kali terakhir saya bersua dengannya ketika Allahyarham dan Ustaz Wan hadir ke majlis akikah anak saudara saya di rumah Emak Ayah enam bulan dulu. Dalam keadaan dirinya yang kurang sihat digagahkan juga diri hadir.


Entah mengapa pada waktu itu tergerak hati saya untuk merakam gambarnya dan Ustaz Wan. Waktu itu hati saya berkata, 'Barangkali inilah gambar kenangan terakhirnya ... '. Gerak hati saya itu ternyata menjadi kenyataan.


Sehari sebelum pemergiannya, entah mengapa saya 'membelek-belek' foto tersebut di laptop ini dan merenung lama.


Emak memberitahu, pada hari kematiannya itu, ketika solat Subuh Emak dapat rasa 'sejuk lain macam'. Rupa-rupanya itu tanda seorang sahabat baik hendak 'pergi' menunaikan janjinya kepada Sang Pencipta. Renungan saya pada gambarnya juga merupakan tanda. Abang ipar saya pula beberapa hari sebelum itu terlintas di fikirannya, 'Dah lama tak pergi rumah Kak Lah ... '


Ah...rupa-rupanya Tuhan sudah memberi hint-Nya.


SMS daripada adik sewaktu menziarah jenazah benar-benar terkesan di hati saya. Kenalan-kenalan lama semasa di Canterbury ada yang hadir. Adik saya masih terbayangkan mereka semasa muda-muda dulu.




Bunyi SMSnya:


'Semuanya dah tua-tua. Dalam ingatan kita masih muda-muda lagi. Faisal, ustaz-ustaz UM, semua dah dimakan usia. Ada yang ziarah bertongkat, ada yang berdengkot, ada yang dipapah, ada yang berkirim salam tak larat nak datang (uzur) ...'


SMS ini saya jadikan peringatan buat diri saya betapa pendeknya usia kita di dunia. Esok lusa, saya pula akan dipanggil-Nya. Mungkin esok lusa, jenazah saya pula akan diziarah anak-anak yang bakal tua keuzuran. Sesungguhnya ajal tidak mengenal usia!


Allahyarham pergi sebelum sempat bertemu Ramadan. Justeru, jika kita sempat bertemu Ramadan ini, sama-samalah kita manfaatkan seoptimumnya limpahan dan rahmat, hadiah daripada Tuhan pada bulan tersebut. Berdoalah agar kita dipanjangkan usia agar dapat bertemu Ramadan lagi.


Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham bersama orang-orang beriman. Amin.




GAMBAR TERAKHIR