Wednesday, July 28, 2010

DALAM KENANGAN

ISNIN - 26 Julai 2010




Ketika itu saya baru tiba di tempat kerja dan sedang menapak naik ke pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Ayah yang mengkhabarkan berita sedih.


"Kak Lah meninggal pagi tadi. Jenazah akan dibawa balik ke Kelantan," Ayah memberitahu.


"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un ... " itu sahaja yang mampu saya ucapkan. Mahu saja saya ke rumah Allahyarham di Seksyen 14, Petaling Jaya, tetapi dek kerana himpitan kerja yang kritikal, saya mewakilkan adik menyampaikan salam dan takziah kepada keluarganya. Terkilan!


Khabar pilu itu sedikit menjejaskan emosi saya pagi itu. Sungguh tidak disangka dia pergi ketika Ramadan hampir menjelang beberapa hari lagi.


Kak Ramlah atau panggilan mesra kami padanya 'Kak Lah' ialah kenalan lama kami sekeluarga. Malah dia bagaikan saudara sendiri.


Baik, teramat baik orangnya. Suka meraikan sahabat handai dengan jamuan yang sentiasa meriah.


Keluarga kami menjadi erat dengannya sewaktu pertama kali tiba di Canterbury. Kediamannya di No. 8, Eaton Road menjadi tempat kami menumpang lebih sebulan sebelum mendapat rumah sendiri. Kerana lamanya kami duduk di rumahnya, anak-anaknya bagaikan adik-beradik hinggakan anak-anaknya memanggil emak kami dengan panggilan 'Emak' hingga kini.



Masih jelas ingatan saya bersama anak-anaknya mengutip chestnut di belakang rumahnya dan juga berjalan-jalan dengannya di Wednesday Market.



Hubungan keluarga berterusan apabila Ayah dan suaminya Ustaz Wan sama-sama bertugas di Universiti Malaya dan kami saling ziarah-menziarahi. Pada hari raya, mereka sekeluarga kerap mengadakan rumah terbuka. Nasi dagang air tangan Allahyarham tiada tandingan sedapnya. Allahyarham juga sangat mahir menjahit dan pernah menjahit baju kurung saya dan Emak dan juga langsir Emak, tetapi tidak mahu mengambil upah.



Kali terakhir saya bersua dengannya ketika Allahyarham dan Ustaz Wan hadir ke majlis akikah anak saudara saya di rumah Emak Ayah enam bulan dulu. Dalam keadaan dirinya yang kurang sihat digagahkan juga diri hadir.


Entah mengapa pada waktu itu tergerak hati saya untuk merakam gambarnya dan Ustaz Wan. Waktu itu hati saya berkata, 'Barangkali inilah gambar kenangan terakhirnya ... '. Gerak hati saya itu ternyata menjadi kenyataan.


Sehari sebelum pemergiannya, entah mengapa saya 'membelek-belek' foto tersebut di laptop ini dan merenung lama.


Emak memberitahu, pada hari kematiannya itu, ketika solat Subuh Emak dapat rasa 'sejuk lain macam'. Rupa-rupanya itu tanda seorang sahabat baik hendak 'pergi' menunaikan janjinya kepada Sang Pencipta. Renungan saya pada gambarnya juga merupakan tanda. Abang ipar saya pula beberapa hari sebelum itu terlintas di fikirannya, 'Dah lama tak pergi rumah Kak Lah ... '


Ah...rupa-rupanya Tuhan sudah memberi hint-Nya.


SMS daripada adik sewaktu menziarah jenazah benar-benar terkesan di hati saya. Kenalan-kenalan lama semasa di Canterbury ada yang hadir. Adik saya masih terbayangkan mereka semasa muda-muda dulu.




Bunyi SMSnya:


'Semuanya dah tua-tua. Dalam ingatan kita masih muda-muda lagi. Faisal, ustaz-ustaz UM, semua dah dimakan usia. Ada yang ziarah bertongkat, ada yang berdengkot, ada yang dipapah, ada yang berkirim salam tak larat nak datang (uzur) ...'


SMS ini saya jadikan peringatan buat diri saya betapa pendeknya usia kita di dunia. Esok lusa, saya pula akan dipanggil-Nya. Mungkin esok lusa, jenazah saya pula akan diziarah anak-anak yang bakal tua keuzuran. Sesungguhnya ajal tidak mengenal usia!


Allahyarham pergi sebelum sempat bertemu Ramadan. Justeru, jika kita sempat bertemu Ramadan ini, sama-samalah kita manfaatkan seoptimumnya limpahan dan rahmat, hadiah daripada Tuhan pada bulan tersebut. Berdoalah agar kita dipanjangkan usia agar dapat bertemu Ramadan lagi.


Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham bersama orang-orang beriman. Amin.




GAMBAR TERAKHIR





3 comments:

Anonymous said...

Semoga Allah mencucuri roh arwah dan menempatkannya bersama-sama para solihin, ameen.

Masakan arwah tiada tandingan, kemesraan, keramahan beliau sentiasa di kenang.

Damailah diri mu di sana.
Cik Una.

Anonymous said...

Baru bertanya pada emak tentang keadaan Kak Lah pada hari sabtu 24 Julai 2010, dua hari sebelum arwah meninggal dunia...

NSP

Anonymous said...

Semoga Arwah ditempatkan di kalangan org2 yg beriman..ameen..

Walaupun jasadnya sudah tiada, kenangan bersamanya tetap menjadi kenangan abadi..Semoga dirimu aman di alam sana..

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْت

-FAIRUZ PAUZI-