Thursday, June 9, 2011

JANGAN JADI PARASIT

Pagi semalam ketika memandu ke pejabat, seperti biasa saya mendengar Sinar Pagi. Pelbagai masalah pendengar dilontarkan sama ada dalam bentuk SMS ataupun panggilan telefon.

Saya tertarik dengan kisah dua orang pendengar.

Pendengar A telah menghantar SMS mengadu tentang rancangan percutiannya yang 'terbantut'. Pada asalnya dia mahu membawa keluarga dan ibu mentuanya bercuti ke negara jiran.

Semua perancangan telah dibuat. Masing-masing teruja. Tiba-tiba abang iparnya 'kacau daun' mahu turut serta dalam percutian itu. Yang menjadi masalahnya jika membawa si abang ipar itu, maka dia terpaksa menanggung kos lebih daripada yang sepatutnya. Selama ini pun sudah banyak dia berkorban untuk abang iparnya kerana abang iparnya ini tidak bekerja (menganggur), hanya tahu goyang kaki dan mengharap tajaan sahaja.

Sudahnya, dia membatalkan hasrat bercuti ke negara jiran itu dan bercuti dalam negara sahaja.

Siapa tidak bengang kalau berdepan dengan masalah sebegini. Biarpun berstatus keluarga, perlulah ada batasnya.


Pendengar B pula membuat panggilan menceritakan kisah percutian yang telah dirancang bersama suami. Hendak membawa anak-anak berseronok. Alih-alih, mak mentuanya sibuk mahu ikut serta. Malah setelah pulang daripada bercuti ibu mentuanya siap bertanya, "Lepas ni kita nak pergi mana pulak?"

Sepanjang perkahwinannya, dia tidak pernah merasa cuti tanpa disertai ibu mentua yang menyibuk. Hinggakan ketika berbulan madu pun dulu pun, ibu mentua sibuk menyelit dalam percutian mereka.

Pendek kata, rumah tangganya tiada privasi langsung dek kerana sifat 'kacau daun' mentua.

Ya, ibu mentua perlu kita hormati. Bagaimanapun, jika mendapat ibu mentua sedemikian rupa, menantu mana yang tak melenting.

Sebagai mentua, perlulah faham. Berilah ruang kepada anak dan menantu untuk mengecap waktu bersama mereka bersama anak-anak. Apabila anak lelaki kita telah berkahwin, kasihnya perlu dikongsi kepada isteri dan anak-anak. Jika kita sentiasa menyibuk, hilanglah rasa hormat dan sayang anak kepada kita.

Bagi si suami, dia tidak boleh berbuat apa-apa biarpun mahu memuaskan hati anak isteri, kerana darjat ibu tiada tara. Prioriti mestilah pada si ibu. Ini meletakkan dia dalam serba salah.

Isteri pula tidak selamanya boleh bersabar walaupun dia hormat kepada mentua. Maka itu, ibu mentua sendirilah yang perlu memahami jiwa anak dan menantu. Tidak dibawa bercuti sekali-sekala tidak bererti mereka menyisihkan ibu atau mentua. Sebaliknya, sikap memahami mentua menyebabkan anak dan menantu bertambah kasih dan hormat. Fahamilah, mereka juga perlukan masa bersama.

Itu dua kisah daripada Sinar Pagi yang saya peroleh. Ini pula kisah adab bertamu khasnya jika saudara-mara bertandang ke rumah dan bermalam. Sebagai tetamu maka hormatilah hak tuan rumah.

Apabila tuan rumah berkata, "Make yourself at home" atau "Buatlah macam rumah sendiri" maka sebagai tetamu fahamilah hak yang diberikan oleh tuan rumah itu hanya sah untuk tiga hari. Selaras dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, "Bertamu itu (paling lama) tiga hari dan boleh (menurut kebiasaannya) adalah sehari semalam."

Teringat kuliah seorang ustaz, kalau lebih tiga hari, tuan rumah berhak menghalau tetamu. Namun, kerana masih ada sekelumit iman pada diri, tidak mungkin kita sebagai tuan rumah berakhlak demikian terhadap tetamu yang bertandang! Yang mampu dibuat hanyalah memendam rasa yang akhirnya menjadi kesumat yang bakal meledak.

Ada tetamu yang menyebabkan dapur tuan rumah 'kering'. Minuman dan makanan yang dibeli untuk diri sendiri dan untuk anak habis dibelasah tetamu. Alangkah terkilannya apabila penat pulang ke rumah hendak makan dan menghilangkan haus tekak, semuanya sudah tiada. Hak tuan rumah pula yang ternafi.

Manusia-manusia seperti ini ibarat parasit dalam hidup kita. Kita hanya manusia biasa yang punya sabar yang sangat terbatas. Walaupun sabar itu sebahagian daripada iman, dan kita cuba bersabar pada tahap maksimum, akhirnya terburai jua. Kebanyakan kita tidak mampu mengaplikasikan sabar 100 peratus dalam hidup, sungguhpun ia tuntutan agama. Iman masih pada tahap lemah.

Justeru, jangan kita jadi parasit yang mengundang kemeluatan orang sepanjang hayat dan belajarlah menghormati hak orang lain!

No comments: