SEORANG IBU dapat menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu atau bapa. Sesungguhnya benar akan hal ini.
Baru-baru ini saya sekeluarga tergesa-gesa pulang ke KB, kerana keadaan Abah (bapa mentua) semakin uzur akibat strok. Rasa berdosa amat tebal terpikul di bahu, kerana kami tidak dapat tinggal lebih lama di sana. Kebajikan Abah diuruskan oleh Ma (mak mentua) dan cucunya yang sedang sarat mengandung.
Tidak dapat saya bayangkan bagaimana Ma hendak uruskan Abah apabila cucunya itu bersalin kelak.
Ma yang sudah lanjut usia dan juga sudah sangat uzur dengan pelbagai penyakit terpaksa kami tinggalkan dengan berat hati dan tanpa rela kerana tuntutan kerja di ibu kota. Ma melepaskan kami pulang ke KL dengan juraian air mata, mengundang sebak di hati.
Tuntutan kerja – mencari rezeki dan menjaga periuk nasi meletakkan kami tersepit! Bukan saya dan suami sahaja, tetapi saya percaya ramai di kalangan kita hari ini mengalami dilema yang sama.
Tiada niat di hati untuk menderhaka, tiada niat untuk mendahulukan kerjaya dan membelakangkan orang tua, tiada niat untuk mengejar kebendaan, tiada niat untuk tidak menjenguk orang tua lebih lama, tiada niat untuk tidak pulang berziarah lebih kerap. Namun, hakikat kerja dan sifat tugas manusia hari ini jauh berbeza daripada zaman dulu.
Keadaan sudah berubah, suasana hari ini tidak sama seperti setengah abad yang lampau. Anak cucu dan sekalian keturunan nenek moyang bertebaran di muka bumi Tuhan mencari nafkah jauh daripada ibu bapa, menyukarkan mereka untuk kembali menjenguk orang tua yang semakin uzur dimamah usia.
Kemajuan sesebuah negara dan masyarakat telah meragut sebahagian besar hak ibu bapa yang sewajibnya ditunaikan oleh setiap anak. Kesibukan kerja pula merampas hampir 24 jam masa sehari si anak untuk menunaikan kewajipannya terhadap orang tua. Kerja pada zaman ini sukar ditinggalkan jika hendak mengekal kelangsungan hidup biarpun rezeki itu sememangnya datang daripada-Nya.
Menjaga orang tua pula tidak seperti menjaga anak. Menjaga anak boleh di tangan-tangankan, boleh ditinggi-tinggikan suara. Tidak demikian kalau menjaga orang tua, memerlukan sabar yang tinggi. Jika tidak nanti, jatuh derhaka.
Mengenangkan keadaan ini, dan memikirkan keadaan mentua sekarang, saya terfikirkan bagaimana pula keadaan saya andainya dilanjutkan usia seperti mereka ... adakah nanti sesiapa yang mahu menjaga saya pada usia sedemikian?
Sesungguhnya inilah tanda akhir zaman, anak tanpa sedar menderhaka dalam tidak sedar dan tanpa niat! Ampunkan kami Ma, Abah. Ampunkan kami ya Allah!
4 comments:
ohh, apakan daya anak-anak hari ini terpaksa melunasi amanah kerjaya di kota. membaca entri ini mengenangkan saya kisah serupa mak-ayah di kemaman dan mak-bapak mentua di bagan datoh, yang juga makin uzur dimamah usia, tetapi anak dan menantunya ini sibuk bukan kepalang dengan pelbagai tugas dan perkara. aduhai. moga Allah SWT merahmati kita semua!
Assalamualaikum Sue...
Wah! Terkesan baca entri ko...bergenang airmata ;(.
Mummy (ibu mertua) saya pun agak uzur dan kebajikannya diuruskan oleh Daddy (bapa mertua). Kasih-sayang Daddy pada Mummy adakalanya saya rasa ter'lampau'. Nak harapkan anak2, seperti kata ko, bukanlah mudah. Aku pun selalu gak pikir macam ko tentang keadaan aku bila lanjut usia esok...Wallahu a'lam.
Alhamdulillah, mak abah aku masih dikategorikan sihat dan tiada masalah kesihatan yang memerlukan perhatian penuh. Mak aku selalu kata, andai kesihatan kita diuji, bersabarlah banyak2...Moga2 ia menjadi kafarah atas dosa-dosa kita sendiri.
Doa saya semoga, Allah menyembuhkan penyakit mertua ko dan mengurniakan kita nikmat kesihatan dan tubuh badan yang sihat agar dengan nikmat itu dapat membantu kita melakukan amal. Insyallah.
Allahuakbar,
Membaca entri ini, terasa ingin terbang pulang segera menjengah ibu dan ayah yang sedang sunyi di rumah.
Tapi apakan daya, jarak yang jauh dan tuntutan kerja. Kadang-kadang memang terasa seperti anak derhaka,
Ya Allah, ampunkanlah segala dosa mereka dan berikanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa berbakti kepada mereka.
Ya Allah peliharakanlah mereka seperti mana mereka telah memelihara kami sewaktu kami kecil.
To all,
AMEEN ...di atas segala doa yang dipanjatkan.
Post a Comment