Raya tahun ini saya bersama Ammar dan Emak balik kampung menaiki kereta api dek kerana kereta sudah penuh penumpang.Tiket pun 'last minute' beli, rezeki orang yang membatalkan tempahan.
Rezeki pula dapat tiket katil yang di bawah, satu koc pula tu. Kalau katil tingkat atas, tentu kasihan Emak, tentu saya terpaksa batalkan niat hendak balik kampung.
Pengalaman baru bagi Ammar Hadi yang nyata teruja sekali. Jika sebelum ini pulang ke Kelantan menaiki kereta atau pesawat, kali ini pengalaman lebih adventure!
Saya juga sudah lama tidak menaiki kereta api, lebih dua puluh tahun. Kali terakhir menaiki tren British Railways dari Canterbury ke London untuk pulang ke tanah air.
Menaiki tren KTMB dari KL Sentral ke Kuala Krai, Kelantan mengambil masa 12 jam. Bertolak 8.30 malam dan tiba keesokan hari 8.30 pagi. Cuma kereta api kami lewat 10 minit tiba jam 8.40 pagi dek kerana tambahan koc yang panjangnya tidak sampai memandang, menjadikannya lebih berat untuk ditarik enjin. Tidak dapat dikira berapa koc yang ditambah. Yang pasti, kereta api memang tersangat panjang!
Dari KL Sentral, kereta api bergerak ke selatan dahulu hingga ke Gemas sebelum berpatah semula menuju Kelantan ke stesen terakhir di Tumpat.
Naik kereta api tidak meletihkan seperti menaiki kereta walaupun mengambil masa yang panjang untuk tiba ke destinasi. Badan dapat direhatkan dengan tidur sepanjang malam. Bangun apabila hendak menunaikan solat Subuh dan seterusnya menanti fajar menyingsing. Apabila matahari muncul, dapatlah menyaksikan pemandangan di luar tingkap dua jam terakhir perjalanan.
Cuma yang agak kurang menyenangkan ialah apabila perlu ke tandas, apatah lagi hendak berwuduk di dalamnya. Sukar mengimbangi badan. Tandasnya juga kurang menyelerakan ... bukan kerana kotor atau berbau busuk, tetapi fizikalnya yang sudah lapuk dan usang menjadi faktor menolak. KTMB perlu melabur dengan menyediakan WC yang baru bagi menjaga imejnya.
Apa pun, naik kereta api memang berbaloi untuk perjalanan jauh (dengan syarat ambil tiket untuk katil atau ambil kabin [lebih mahal]). Tidak penat badan. Risiko kemalangan juga jauh lebih rendah. Cuma bagi mereka yang banyak bagasi lebih-lebih lagi yang bersaiz besar, akan mengalami kesukaran mengangkat dan menempatkannya di dalam koc!
Bersembang dengan sepupu yang menjadi pemandu KTMB, saya bertanya mengapa ada masanya kereta api berhenti dan bergerak perlahan, katanya itu disebabkan relnya tak berapa elok, maka kenalah berhati-hati.
2 comments:
wah satu pengalaman yang menarik, seronoknya ammar naik keretapi; tentunya kalau Kamila dan Khayra berkesempatan menaikinya, alangkah teruja mereka.
oho, selepas ini kami pun cuba nak naik tren panjang :-)
Wah!!! saya suka naik kereta api. Terutamanya koc katil. Masuk dalam, tarik langsir terus kroh kroh! Macam tidur dalam buaian. Pagi esoknya, bila sampai destinasi terasa segar.
Tetapi kalau koc ekonomi, letih sikit sebab perjalanan sehingga 12 jam. Terutama kalau jiran tempat duduk asyik bersembang sampai susah nak lena.
Saya satu famili belum pernah naik kereta api ke Kelantan. Dan memang ada perancangan satu hari kelak.
Post a Comment