Sunday, October 11, 2009

PASCA 1 SYAWAL 1430

Isnin, 2 Syawal 1430 (21 September 2009)

Kami berhimpit-himpit di dalam kereta Ayah untuk pulang ke kampung. Saya dan anak terpaksa menumpang kerana suami tidak mahu pulang beraya kali ini. Emak pula sudah dua tahun pulang ke kampung pada hari raya kedua bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya. Adik dan keluarganya juga pulang ke Kelantan tahun ini. Kami bertolak pada hari yang sama, cuma berlainan masa.

Jalan pulang dari KL ke Kelantan tidak semudah lebuh raya utara-selatan yang boleh dikatakan tidak mencabar. Malah untuk ke Terengganu pun ada lebuh raya. Tetapi untuk ke Kelantan tidak begitu. Mujur kini sudah ada laluan alternatif melalui Cameron Highlands-Lojing-Gua Musang. Tol hanya RM19.00. Saya belum pernah melaluinya, tetapi khabarnya laluan ini cukup cantik. Cuma tidak digalakkan bermusafir waktu malam kerana kabus tebal.

Tiba di Manek Urai, Ayah singgah membeli lemang. Lemang bukan juadah raya yang popular di Kelantan. Malah suatu ketika dahulu, lemang tidak wujud pun di negeri ini. Warga Kelantan tidak menyediakannya sebagai menu utama 1 Syawal. Tetapi kini, bagi yang berkeinginan lemang sudah ada dijual di bahu-bahu jalan di lokasi-lokasi tertentu. Selesai membeli lemang, kami terus ke rumah emak saudara (kakak Ayah) di Pemanok untuk makan lemang tersebut. Emak saudara mempelawa pula makan malam di rumahnya sebelum kami berangkat ke rumah nenek di Bukit Tiu.

Tiba di rumah nenek … wah, setiap sudut rumah ‘fully occupied’ kerana anak, cucu dan cicit pulang berhari raya.

Hari-hari berikutnya padat dengan undangan majlis pertunangan dan perkahwinan. Orang Kelantan memang suka memilih cuti raya untuk adakan majlis begini—mengambil peluang sementara saudara-mara jauh masih ada beraya di kampung.

Beginilah suasana apabila puasa tamat … ke sana ke mari, makan dan makan dan makan lagi tidak berkesudahan! Jalan-jalan raya pula jangan dikenang sesaknya akibat penggunaan yang maksimum setiap kali tiba hari raya. Tidak berganjak berjam-jam (penangan anak-anak Kelantan pulang dari perantauan).

Selasa, 3 Syawal
“Esok datang rumah Ma. Ma buat kuzi ni, lambat pun tak apa,” kata mak mentua saya di hujung talian telefon bimbit. Panggilan itu saya terima ketika majlis pertunangan anak sepupu sedang berlangsung di Machang. Saya tidak berjanji untuk datang esoknya kerana sedar keadaan diri yang tidak berkenderaan. Sekadar menumpang kereta orang!

Khamis, 5 Syawal
Hari ini baru saya berpeluang ke rumah mentua di KB. Itu pun kerana adik sudi menghantar ke sana selepas kami menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Pasir Puteh. Kasihan pula kerana untuk pulang semula ke Machang, dia tersangkut dua jam dalam sesak jalan raya.

Aisyah & Ammar tumpang bergambar di atas pelamin.

Sabtu, 6 Syawal
Jika ke rumah mentua, saya dihantar oleh adik nombor satu, kini adik nombor dua bersama Emak pula datang menjemput saya dan anak di rumah mentua. Kebetulan adik saya itu hendak menghantar isterinya ke lapangan terbang untuk pulang ke KL.

Sedih pula hendak meninggalkan mentua yang semakin uzur khasnya ayah mentua … Abah sudah tidak kenal saya, kekadang ingat kekadang lupa! Untuk bangun dan berjalan pun terkial-kial.


Mak mentua (kiri) & Emak (kanan).

Di lapangan terbang …

“Ammar nak naik 'tapal tebang' (kapal terbang). Cepatlah Mak, tapal tebang tinggal Ammar nanti,” rayu anak saya semasa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Air mata berlinangan. Puas memujuk. Hmmm, nantilah, suatu hari nanti insya-Allah!

Sempat bermain gelongsor di KFC lapangan terbang Pengkalan Chepa.

Sabtu dan Ahad. Suasana di rumah nenek semakin lengang. Anak cucu dan cicit secara beransur-ansur pulang ke destinasi masing-masing.

Isnin, 9 Syawal
Giliran kami pula untuk pulang. Selamat tinggal nenek! Setiap kali mendakap nenek yang telah lanjut usia (88) dan semakin uzur, hati tersayat pilu. Kerap kali dia menyebut tentang mati. Entahkan sempat bertemu lagi? Entahkan kami yang pergi dulu! Ya, Allah, Engkau peliharalah nenek kami. Rezekikan dan izinkan kami untuk ketemu dan mendakapnya lagi!


Nenda Zaharat

Ammar & moyang.



Emak cukup sedih setiap kali hendak meninggalkan bondanya.



Sepatutnya perjalanan pulang ke KL lancar, tidak lagi sesak kerana sebahagian besar anak rantau sudah pulang ke destinasi masing-masing, pun begitu perjalanan kami perlahan ekoran lori-lori balak berjujukan menyusuri jalan raya. Aduh!

Selasa, 10 Syawal
Hari ini baru berpeluang memulakan puasa enam.

Hari ini, Ammar liat untuk ke tadika akibat terlalu lama bercuti.

“Amboi Ammar! Orang lain cuti seminggu aje, dia sampai sepuluh hari,” sindir seorang cikgunya.
Hari ini juga saya menghantar adik bongsu pulang ke kampus USIM sambil menempah langsir baru pasca raya di Nilai Square. Orang lain langsir baru untuk hari raya, saya pula selepasnya. Itu pun kerana terpaksa …(langsir sedia ada sudah koyak). Tak perlu mahal, sekadar cukup untuk memenuhi fungsi!

Rabu, 11 Syawal
Selepas hantar anak ke tadika, saya berkejar pula ke PPUM dalam hujan lebat untuk membuat janjitemu baru untuk pemeriksaan kesihatan susulan anak. Janjitemu terdahulu tidak dipenuhi kerana saya terlepas pandang tarikhnya. Janjitemu baru 21/10 untuk ECHO, dan 27/10 untuk Klinik Kawasaki.

Hingga sekarang saya mencari jalan bagaimana hendak memujuk anak menjalani ECHO. Jika sebelum ini doktor memberi ubat tidur, sekarang tidak lagi kerana faktor usia. “Ya Allah, Engkau permudahkanlah pada hari itu. Semoga anakku Ammar mahu menjalani ECHO. Engkau jinakkanlah dia.”

Selesai urusan di PPUM, saya bergegas pula ke beberapa bank.

Menjelang tengah hari, saya sudah kepenatan.

Kemudian saya ke rumah Emak pula untuk mengguna mesin jahit. Suami minta pendekkan beberapa helai kemeja batiknya (orang dah suruh, terpaksalah buat). Misi untuk menjahit kesemua kemeja itu gagal kerana letih puasa dan kesuntukan waktu. Petangnya bergegas lagi untuk jemput anak di tadika dan pulang untuk masak.

Khamis, 9 Syawal
Hari ini masuk pejabat semula. Biarpun bercuti lama, masih banyak hal tidak sempat dilangsaikan. Saya juga terkilan kerana masih tidak sempat langsaikan urusan di Tabung Haji, Bank Islam dan KWSP!

Rumah juga seperti biasa bagaikan tongkang pecah! Konon mahu mengemas semasa bercuti. Apakan daya … tak terdaya!

No comments: