Monday, March 31, 2014

BILAKAN BERAKHIR ... uhuk ... uhuk ...


RIMAS!

Hari-hari lalu jalan sama. Memang ada jalan lain, tapi lebih jauh atau lalu ikut lebuh raya bertol.

Tak ada pilihan.

Entah bilalah agaknya pembinaan MRT ini akan berakhir.

Rimas!

Kiri kanan sepanjang bahu jalan dipasang tembok merah putih itu.

Jalan tiga lorong jadi dua lorong. Yang dua lorong, jadi selorong!

Traffic jam tak payah ceritalah pada waktu puncak. Tapi orang kata, "Biasa ler tu. Mana ada jalan yang tak jam." Adoi! Betullah tu. Tapi manusia ni tahap sabarnya turun naik!

Kalau hari panas terik, debu tak usah ceritalah. Tak guna basuh kereta. Kekadang saya biarkan saja kereta berdebu berhabuk berbulan-bulan.

Terkadang kasihan tengok budak-budak sekolah nak melintas di Jalan Surian sebelum terowong untuk ke sekolah di BU. Mereka menggadai nyawa. Saya terfikir, tak adakah jalan alternatif untuk mereka.
Debuuuuuuu!









Thursday, February 13, 2014

BERSYUKUR SAAT DIUJI

Pinjam judul buku Prof MKI, Bersyukur Saat Diuji ... .

SARAPAN dikatakan sajian yang paling penting dalam sehari supaya kita bertenaga untuk memulakan aktiviti harian.

Bagaimanapun ada waktunya kita tidak tahu hendak bersarapan apa. Itulah tandanya orang yang tidak mensyukuri nikmat. Daripada sekian banyak pilihan makanan yang Tuhan beri, sampai tidak tahu hendak makan apa. Astaghfirullah! Ampunkan hamba-Mu ini ya Allah.

Kita sentiasa melihat penduduk dunia di negara yang bermusibah --kurus kering tiada makanan. Maka kita akan kata, "Kasihan. Itulah ujian Allah untuk mereka."

Walhal kita tidak sedar, kita di Malaysia ini juga diuji. Kita diuji dengan terlalu banyak nikmat termasuklah nikmat pelbagai jenis makanan melimpah-ruah. Biar harga naik macam mana pun, kita tetap ada makanan untuk dimakan!

Setiap kali menyuap makanan ke mulut, berapa kerapkah kita mengucapkan syukur kepada Maha Pemberi Nikmat? Setidak-tidaknya dengan sepatah ringkas ucapan "alhamdulillah".

Kita makan dan makan hinggalah orang Malaysia tersenarai dalam kalangan negara utama yang mengalami obesiti di rantau ini.

Allahu Akbar!

Tika di Palestin dan Habsyah setiap masa ada kanak-kanak mati kebuluran, tika di Syria difatwakan halal kucing dan anjing untuk ditelan bagi kelangsungan hidup, kita di sini masih belum sedar dan belum mahu mengambil iktibar!

Sedarlah kita sedang diuji dengan kemewahan makanan!

Dari dulu hingga kini, tetap setia dengan roti ini sebab ia benar bagai dikata "Sungguh enak dimakan begitu sahaja."

Cuma kerak roti, namun tetap sedap, nikmat & mewah. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas limpah kurnia-Mu. Jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang bersyukur. Aamiin!