Tuesday, May 29, 2012

PENAT

Penat melunaskan kerja-kerja Pesta Buku sudah berlalu. Dua minggu lepas saya penat pula berulang-alik menjemput anak pulang dari sekolah. Selalunya saya bergilir hari dengan suami menjemput anak dari sekolah. Tetapi kerana suami saya tidak berada di dalam negara waktu ini, maka dua minggu lalu saya terpaksa melakukannya seorang diri berkejar di celah waktu kerja menjemput anak dari sekolah dan menghantarnya ke rumah neneknya.

Mujurlah minggu ini sudah mula cuti sekolah, tidaklah saya terkejar-kejar. Namun saya terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana neneknya pula balik kampung. Hendak dihantar ke tadikanya dulu, dia tidak mahu. Apa boleh buat. Terpaksalah membawanya sekali ke pejabat.

Di pejabat, sesekali saya perlu mencarinya di sekitar pejabat kalau-kalau mengganggu orang bekerja. Menjelang tengah hari tadi saya berjumpa anak saya sedang lepak-lepak di bilik Pengarah Urusan. Alahai. Dahulu pernah Pengarah Urusan main kejar-kejar dengan anak saya kerana dia melarikan tin biskut Tuan Pengarah dan menyorokkannya.

Saya membawa bekalan buku dan mainan dari rumah untuk melekakannya di pejabat, tetapi sekejap sahaja dia melayannya.

Rakan-rakan sepejabat pula ada yang rajin melayannya (termasuk Pengarah Urusan). Itulah sebabnya anak saya makin naik tocang.

Walaupun perangai anak kekadang membuatkan saya berasa malu, apa boleh buat. Itulah namanya kanak-kanak yang belum mumaiyiz, belum kenal baik buruk akan tindakannya.

Bagi ibu bapa yang punyai anak yang belum bersekolah atau masih berada di tadika, bolehlah dikatakan masih 'lapang' walaupun sebenarnya tidak. Apabila anak mula melangkah ke alam sekolah rendah, percayalah, hidup anda akan jadi bertambah lintang-pukang.

Melihat keadaan rumah dan anak yang tidak terurus sempurna, hasrat untuk jadi suri rumah sepenuh masa semakin kerap singgah di fikiran. Kekadang saya berasa sungguh penat bekerja dan ada juga berasa bosan. Mahu tinggal saja di rumah uruskan rumah tangga.

Entah ke mana perginya tuan punya mainan ini!

Tuesday, May 15, 2012

EMAK SAYA TAK SUKA 'HARI IBU'

Dalam sibuk kita meraikan Hari Ibu, emak saya adalah antara segelintir ibu yang tidak suka menyambutnya. Jadi dia tidak ambil kisah sangat akan Hari Ibu yang dianggap istimewa bagi kebanyakan wanita yang sudah bergelar ibu dan juga bagi anak-anak yang meraikannya bersama ibu masing-masing.

Bagaimanapun, kami adik-beradik ada juga berkongsi belikan hadiah untuk Emak.

Pernah juga Emak mendapat tokoh 'Ibu Mithali' yang dianjurkan oleh masjid berdekatan rumahnya. Entah siapa yang mencalonkannya. Emak tetap pergi menerima hadiah, tetapi tidaklah teruja mana pun.

Baru-baru ini ketika sebuah stesen TV menyiarkan kisah derita ibu yang terlalu rindukan anak yang sudah sekian lama tidak pulang, Emak sedikit cuak menontonnya.

Memang benar anak tidak boleh sedikit pun menyakitkan hati ibu, tidak boleh derhaka kepada orang tua. Itu tidak dinafikan. Bagaimanapun, Emak saya mempunyai pandangan berbeza.

Kata Emak, "Jangan diungkit kebaikan kita (ibu) menjaga anak-anak. Jangan ungkit susah payah membela dan membesarkan anak. Sebab itu sudah menjadi tanggungjawab, amanah yang wajib dipikul. Tidak mengapa kalau anak tidak menghargainya. Tanggungjawab ibu tidak berkesudahan selagi ada hayat. Adalah menjadi tugas ibu untuk mendoakan, memaafkan dan mengampunkan anak-anak walaupun anak tidak datang meminta maaf. Kalau ada anak yang tidak menjadi seperti yang diharapkan, maafkan sahaja. Jangan ditambah lagi dosa anak kepada kita hanya kerana mereka tidak menghargai kita. Halalkan semua."

Oh! Sungguh mendalam kata-kata Emak walaupun diucapkannya secara bersahaja ketika memberi komen kisah ibu tua yang sedang disiarkan di TV.

Saya memasang telinga, menghargainya dan akan cuba menjadikannya azimat. Yang pasti, saya tidak mampu menjadi sebaik Emak dalam membesarkan anak (malah dalam semua hal rumah tangga). Entah berapa kali sepanjang hidup ini saya menyakitkan hatinya dengan perangai-perangai yang tidak elok khasnya ketika di alam remaja.

Hanya doa dan amalan baik sahaja yang menjadi hadiah terbaik saya untuknya.