Thursday, July 28, 2011

SEMALAM & MALAM TADI


SEMALAM

Semalam program Pra-Ramadan di pejabat ada slot kuliah agama. Pengisiannya agak bagus, disampaikan oleh seorang ustaz muda. Lazimnya pada sesi majlis ilmu sedemikian saya akan tunggu sehingga tamat kerana berada dalam majlis ilmu ertinya kita berada di bawah sayap malaikat dan Allah pula menebarkan rahmatnya kepada sesiapa yang duduk mendengarnya.

Saya lazimnya amat fokus pada ilmu yang disampaikan. Tidak pernah saya berasa mengantuk walaupun ada di kalangan rakan-rakan tersengguk-sengguk. Pun demikian, sesi kuliah semalam mengundang kantuk yang amat sangat. Nak dikatakan disebabkan mengantuk makan nasi talam kukus sejurus sebelumnya tidak juga, kerana berapa suap sangat yang saya telan. Selebihnya dihabiskan oleh dua anak dara dan seorang mak dara.

Saya cuba untuk bertahan duduk di dalam majlis dan tidak terlelap. Hadis tentang puasa yang disampaikan ustaz berlalu bagai angin lalu. Kerana tidak tahan, lantas saya bangun terpaksa meninggalkan majlis sebelum saya tersembam di lantai surau dan memalukan diri sendiri. Beberapa orang rakan sepejabat juga saya lihat sudah ada yang berdengkur.

Rumusannya, saya mengantuk bukan sebab ilmu yang disampaikan, kuliahnya memang bagus, cuma gaya penyampaian ustaz yang agak konvensional itu yang tidak dapat saya serap dan cerna. Saya kira ini bahana kerana sebelum ini saya lebih kerap menghadiri kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang tahap 'keotaian'nya adalah tinggi.

Alhamdulillah, kuliah sepanjang Ramadan di pejabat nanti, nampaknya akan disampaikan oleh ustaz-ustaz otai. Ini berdasarkan senarai nama-nama ustaz yang telah dipaparkan di papan kenyataan pejabat. Harapnya tidak bertukarlah ustaz-ustaz itu.


MALAM TADI

Jika ke rumah Emak Ayah, maka berpeluanglah dalam seminit dua untuk saya menonton TV. Maka sempatlah menonton sebentar berita yang terudara.

Berita malam tadi cukup mengganggu emosi saya.

Seorang pemuda Cina dikenakan hukuman kerana menzalimi kucing. Perbuatannya dirakam oleh CCTV. Diterajang, dipijak, dipukul dan dibaling ibu kucing dan anaknya hingga mati. Tetapi hukuman yang dikenakan tidak sepadan dengan perbuatan zalimnya.

Jika di US atau di mana-mana negara Barat, pasti dia akan menerima hukuman yang sangat berat. Kalau setakat denda empat, lima ratus ringgit, apalah sangat!

Manusia hari ini hanya manusia dari segi lahiriah sahaja. Hakikatnya, tindak-tanduk persis iblis dan syaitan. Hilang sudah perikemanusiaan dan 'perikebinatangan'.

Renyuk barangkali kalbu Abu Hurairah r.a. andai dia masih hidup dan dapat menyaksikan perbuatan pemuda Cina itu!

Pic: Petr Kratochvil

Monday, July 25, 2011

ALAHAI, ANAK!

"Ammar dah bagi semua kat kawan."

"Hah, apa? Bagi kat kawan? Semua sekali?"

"Semua."

"Optimus Prime, Bumble Bee?"

"Dah tak ada, kan Ammar dah cakap. Dah bagi kawan."

"Ya Allah, kenapa Ammar bagi semua? Mahal tu Papa beli. Bila Ammar bagi kawan?"

"Dah lama dah. Tak apalah Mak. Kesian kawan Ammar tak ada toys."

Aduhai anakku. Entah bila dibawa permainannya itu ke tadika. Senyap-senyap. Habis robot Transformers yang dibeli ayahnya diberi kawan. Kalau tidak salah saya, robot Transfomersnya itu ada lebih 10 'ekor'. Kalau murah tidak mengapalah juga. Ini semuanya keluaran Hasbro. Berjenama!

Apa pun mujurlah Optimus Prime yang bersaiz besar tidak dibawanya ke tadika. Tidak muat beg barangkali. Yang itu paling mahal.

Syukur jugalah kerana itu tandanya dia seorang pemurah. Dan pengajarannya, apa yang ada di tangan kita sebenarnya bukan milik kita yang mutlak. Bila-bila masa sahaja Tuhan boleh tiadakan apa yang kita ada. Salah satu caranya adalah melalui tindakan anak-anak.

Bagaimanapun, kisah anak saya ini tidak dapat menandingi kisah anak kawan Emak saya suatu ketika dahulu. Anaknya itu telah bermurah hati menghadiahkan barang kemas kepada kawan dan guru sekolahnya. Emas dan berlian tulen, bukan Zhulian (zaman dahulu belum wujud Zhulian) malah orang Kelantan jarang sekali pakai barang kemas saduran, semuanya asli.

Kawan Emak saya ini isteri kepada seorang ustaz. Aktiviti lapangnya, menjual barang-barang kemas. Hal ini adalah senario biasa di Kelantan. Surirumah menjadi ejen menjual barang kemas dari rumah ke rumah kawan-kawan.

Si anak menyangkakan emaknya seorang yang kaya-raya. Lantas dia mengambil barang kemas itu tanpa disedari si emak. Barang-barang kemas itu diberi kepada kawan dan guru.

Hampir pengsan kawan Emak saya itu apabila mengetahui apa yang telah dibuat oleh anaknya. Dan hampir pengsan juga dia terpaksa membayar ganti rugi nilai barang kemas itu kepada taukenya, bukan seribu dua, tapi puluhan ribu ringgit perlu diganti.

Pengajarannya, simpanlah barang kemas di tempat sepatutnya, bukan di tempat yang boleh dilihat dan diambil dengan mudah oleh anak-anak!

Alahai, anak!