Thursday, September 17, 2009

TAK LAYAK BUKA PUASA DI MASJID

Semalam Emak memberitahu, rakan kepada jiran kami sepanjang bulan Ramadhan ini dia sekalipun tidak memasak di rumah untuk juadah berbuka puasa. Dia membawa kesemua anak berbuka puasa di masjid.

Kata Emak lagi, rakan jiran kami itu mengamalkan berbuka puasa di masjid bersama keluarga sejak dia kecil lagi. Begitu dia diasuh oleh ayahnya. Sekarang setelah ada anak-anak, dia melakukan perkara yang sama … membawa anak-anak berbuka puasa di masjid.

“Wah, kalau begitu jimatlah dia, tak payah masak di rumah,” komen adik saya.

“Jimat apa bendanya,” ujar Emak “tak betul cara tu.”

Saya tertunggu-tunggu penjelasan Emak seterusnya.

“Orang yang mampu, tak payahlah buka puasa di masjid,” terang Emak. “Buka puasa di masjid ini untuk orang-orang tak mampu, orang miskin, musafir atau orang-orang yang tengah ‘jem’ di jalan raya tak sempat balik ke rumah, singgah di masjid.”

Ada betulnya kata Emak itu.

"Orang bujang yang dok sorang?" tanya adik.

“Haa ... yang tu layak. Nak masak buat apa orang bujang. Elok makan di masjid."

Saya mengangguk. Tidak ekonomik orang bujang masak untuk makan seorang diri.

"Beri peluang orang-orang begitu makan. Kita yang mampu, makanlah di rumah,” cerita Emak.

Memang benar kata Emak. Di luar sana masih ramai yang tidak mampu kerana miskin, masih ramai yang tidak berkesempatan pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Jika kita berbuka puasa di masjid, ertinya kita telah mengambil hak orang lain.

Bagi kita yang tinggal berdekatan masjid, setelah berbuka puasa di rumah, barulah ke masjid untuk solat berjemaah dan bermasyarakat! Lainlah jika kita bermukim di kawasan elit yang sekitarnya tiada golongan marhaen. Maka yang ke masjid itu semuanya terdiri daripada mereka yang berada. Namun, jika kita tinggal di kawasan bercampur aduk dengan golongan kurang berkemampuan, berilah peluang kepada mereka untuk menikmati juadah berbuka puasa percuma itu (yang hanya datang sekali setahun!).

Tuesday, September 15, 2009

WARNA-WARNA YANG PUPUS

Berikut ialah warna-warna yang hampir pupus atau sudah pupus dalam kehidupan kita sehari-hari:

MERAH JAMBU
UNGU/BIRU KUNDANG/BUTIR SETAR (dialek Kelantan)
MERAH HATI
JINGGA
FIRUS
EMAS
PERAK

Ini kerana ia sudah tidak popular dan sudah tidak diguna pakai lagi dalam percakapan kita saban hari. Kita lebih suka mengguna warna-warna berikut:

PINK
PURPLE
MAROON
OREN (masih dalam sebutan Melayu saduran Inggeris, tapi jingga tetap hilang)
TURQUOISE (lebih teruk ada orang sebut warna hijau Petronas)
GOLD
SILVER

Entah sejak bila sebutan Melayu kepada warna-warna ini pupus, saya tidak pasti. Seingat saya sekitar awal 80-an dulu, sebutan Melayu masih lagi bertahan. Tetapi kini seakan semakin susah dan susah untuk menyebutnya.

Anak saya sebagai contoh, pada awal dulu suka menyebut dalam dwibahasa kuning/yellow, hijau/green, merah/red … bagaimanapun sejak guru tadikanya memilih warna ungu untuk pakaian sukan, guru sendiri suka menyebutnya ‘purple’ bukan ‘ungu’. Maka anak saya sekarang kesemua warna pun disebutnya ‘purple’.

Saya juga menyalahkan diri sendiri kerana tidak lagi menyebut ‘merah jambu’ kerana lebih mudah menyebut ‘pink’, ‘purple’, ‘gold’, ‘silver’ dan seumpamanya.

Suatu ketika dulu, sewaktu baru pulang dari England saya suka menyebut warna merah hati dengan sebutan ‘burgundy’ (kerana terbiasa dengar orang Inggeris menyebut burgundy) namun orang kita tidak kenal apa itu ‘burgundy’, mereka lebih kenal warna ‘maroon’ walau hakikatnya burgundy dan maroon adalah dalam juzuk warna yang sama. Maka saya terpaksa menyebutnya maroon. Sebutan merah hati langsung tidak melekat di hujung lidah!

Entah mengapa berasa janggal menyebut dalam Melayu. Malah saya percaya guru bahasa Melayu, atau orang sastera malah orang DBP sendiri pun dalam perbualan harian tidak melazimi menyebutnya dalam sebutan Melayu. Cuma dalam penulisan saya masih mempraktikkan sebutan ‘warna Melayu’!

Kasihan sungguh bahasa Melayu! Pupus sudah warna-warna dalam dunia Melayu kerana sudah dijajah warna-warna asing!

Aduh! Aku sendiri pun tidak mendaulatkan bahasa ibunda, jadi bagaimana bahasa kita hendak maju … . Fikir-fikirkan.

(Jika anda tahu warna-warna lain yang telah pupus, bolehlah beritahu saya).