Friday, October 31, 2008

MAJLIS IDILFITRI YANG TIDAK 'SEPERTINYA'

Sepanjang Syawal terasa sengkak perut dek penangan jamuan/majlis rumah terbuka yang seakan tiada penghujungnya. Terseksa benar hendak menghabiskan puasa enam.

Bermula dengan majlis Idilfitri anjuran bersama Galeri Ilmu tempat saya bekerja dengan Munsyid, diikuti pula undangan-undangan dari organisasi-organisasi dan individu perseorangan dan kenalan.

Undangan dari organisasi-organisasi tertentu dipenuhi dicelah-celah kesibukan kerja. Manakala di pejabat saya sendiri, saban hari ada sahaja teman-teman sekerja telah bermurah hati menyediakan juadah. Ada juga jamuan mengikut jabatan. Barangkali, kerana 'membalas dendam' apabila Majlis Idilfitri anjuran Galeri Ilmu dan Munsyid tidak seperti diharapkan. Ada yang tidak dapat makan dan kepenatan kerana melayani jumlah tetamu yang di luar jangkaan. Ada yang 'memoncong' mulutnya dan sudah tidak mampu lagi melemparkan senyum. Kasihan!

Apa pun selepas ini, diharapkan majlis idilfitri pada masa-masa hadapan, biarlah kecil sahaja (kita-kita). Alasannya mudah saja iaitu biarlah staf rasa seronok, terasa diraikan, tidak rasa terkilan dan majlis tidak menjadi isu ngomelan keesokan harinya dan beberapa hari berikutnya, sekali gus topik bualan itu mengundang dosa. Sesungguhnya, staf yang mencurahkan tenaga bekerja sepanjang tahun juga berhak untuk diraikan (selama ini sering merai dan melayan tetamu), biarpun pahala meraikan tetamu itu sungguh besar, tetapi jika dibuat dengan separuh hati barangkali kuranglah pahalanya. Rasa seronok diraikan, besar impaknya dari segi psikologi dan juga dalam hasil kerja kemudiannya...wallahu'alam!

Dipaparkan beberapa imej aktiviti persiapan sebelum majlis berkenaan berlangsung... memunggah selonggok pasir lebihan ubah suai premis, menggantikan batang paip yang kerap dicuri manusia yang tiada hati perut, membersihkan kaki lima dll.









Saturday, October 25, 2008

MENDEFINISIKAN 'NIKMAT DUNIA'

Sesekali berkumpul bersama adik-beradik, bermacam topik dibualkan. Satu daripada topik yang menarik yang kerap juga timbul dalam sembang-sembang kami adik-beradik ialah 'nikmat dunia'.

Adik pertama saya selalunya yang banyak mendefinisikan 'nikmat dunia'nya:

1. Apabila menikmati ketupat sotong yang emak masak katanya, "Mmm, nikmat, nikmat..." (ini subjektif kerana isterinya tidak menyukai ketupat sotong...)

2. Apabila kepenatan pulang dari kerja dan dapat baring terlentang di tengah rumah, katanya, "Aahh...nikmatnyaa"

3. Apabila sakit perut dan gesaan ke tandas sangat mendesak...setelah isi perut dapat dikeluarkan, katanya, "Ooooh, nikmat sungguh."

4. Apabila dapat makan lempuk durian hasil air tangan nenek di kampung katanya, "Nikmat..."

Kadang kala emak juga terlibat sama dalam mendefinisikan nikmat dunianya. Nikmat dunia bagi emak ialah apabila kehausan dapat minum air kosong sejuk dari dalam peti.

Dan nikmat dunia bagi saya... apabila dapat tidur, rehat secukupnya tanpa sebarang gangguan...hingga kini masih belum dapat mengecapinya........huwaaaaaaaaaaaaaa...waaaaa....isk!

Ini baru nikmat dunia...nikmat akhirat bagaimana? Tak terbayangkan...