Sunday, September 5, 2010

BISKUT ARAB

Tahun ini saya mencatat sejarah kerana tidak membeli biskut raya ... nafsu tiada, alhamdulillah berjaya ditundukkan. Cuma saya membeli kerepek sepaket dua. Itu pun bukan untuk 'dirayakan', sebaliknya untuk 'dimorehkan'. Santapan selepas tarawih!

Kerana tidak membeli biskut raya, maka semalam, saya sekali lagi catat sejarah kerana membuatnya sendiri ... itu pun bukan untuk 'dirayakan' sangat, tetapi sekadar untuk melekakan anak (to keep him occupied and away from watching too much tv).



"Wah bestnya, macam plastersinlah," komen Ammar, sambil tangannya sibuk menggentel doh biskut arab. Ada leper, ada penyek, ada herot, ada besar, ada kecil. Tidak mengapa asal jadi dan halalan toyyiban. Untuk makan sendiri, bukan untuk dijual. Yang penting, dia memang sukakan biskut arab. Lagipun adunan biskut ini sangat mudah. Hanya perlukan tiga bahan sahaja--tepung, minyak sapi dan gula kastor.

Kalau ada lebih, bolehlah dibuat raya, tapi itu pun sudah tinggal separuh. Sebahagiannya pula telah diberikan pada atoknya.

RESIPI BISKUT ARAB
500 gm tepung serba guna
250 gm gula kastor
250 gm minyak sapi (cairkan dan sejukkan)
1. Gaulkan tepung dengan gula.
2. Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit.
3. Uli hingga sebati. Kemudian bolehlah digentel bulat-bulat.
4. Bakar selama 20 minit. Suhu antara 150-170 darjah Celcius.
PERINGATAN PENTING: Untuk minyak sapi, jangan beli brand QBB kerana Jakim telah menarik balik sijil halal sebab ada unsur babi (boleh lihat di web Jakim). Belilah Ghee Blend oleh Unilever.

Thursday, September 2, 2010

MEMANDU ATAU TIDUR?

Ahad 29 Ogos 2010, ketika mentari tegak di kepala, saya memandu ke Nilai untuk menghantar adik pulang ke kampus Usim. Emak, dan sudah pastinya Ammar Hadi juga ikut.
Sepanjang memandu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa mata ini mengantuk. Saya kira sepanjang pemanduan itu, saya separuh tidur. Silau pancaran matahari juga menyumbang kepada mahu tertutupnya mata. Lensa photo gray cermin mata tidak banyak membantu.
Mujur selamat sampai ke Nilai.
Dalam perjalanan pulang pula, rasa mengantuk makin bertambah. Sepanjang perjalanan pulang saya rasakan separuh daripada perjalanan itu mata saya memang terpejam (tidur).
Saya tidak sedar ke arah mana arah, hanya menurut kata hati. Tiba-tiba ada suatu kuasa yang saya tidak tahu datang dari mana, menyuruh saya brek mengejut, menyebabkan Emak yang duduk di belakang terjaga daripada lenanya. Dan tentunya saya juga turut terjaga.
"Eh ... dah sampai sini," kata hati saya, menyedari jarak antara kereta saya dengan Toyota Vios di hadapan rupa-rupanya hanya sekaki dua. Saya membrek secara tiba-tiba itu apabila sampai di lampu isyarat berhadapan KWSP menghala ke PPUM. Mujur tidak tersondol kereta di hadapan ... ajaib! Kantuk saya hilang serta-merta memikirkan keajaiban itu. Allah menggerakkan, mengejutkan saya daripada tidur. Barangkali disebabkan ajal belum tiba.
Saya juga berasakan ia berkat dan rahmat Ramadhan mengiringi perjalanan saya kerana saya membawa bonda yang mulia, sentiasa bersedia menemani anak-anaknya ke mana sahaja biarpun dia sendiri tidak secergas dahulu.
Ya Allah, Engkau binalah mahligai paling indah untuk Emak di syurga-Mu nanti.