Thursday, September 2, 2010

MEMANDU ATAU TIDUR?

Ahad 29 Ogos 2010, ketika mentari tegak di kepala, saya memandu ke Nilai untuk menghantar adik pulang ke kampus Usim. Emak, dan sudah pastinya Ammar Hadi juga ikut.
Sepanjang memandu itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa mata ini mengantuk. Saya kira sepanjang pemanduan itu, saya separuh tidur. Silau pancaran matahari juga menyumbang kepada mahu tertutupnya mata. Lensa photo gray cermin mata tidak banyak membantu.
Mujur selamat sampai ke Nilai.
Dalam perjalanan pulang pula, rasa mengantuk makin bertambah. Sepanjang perjalanan pulang saya rasakan separuh daripada perjalanan itu mata saya memang terpejam (tidur).
Saya tidak sedar ke arah mana arah, hanya menurut kata hati. Tiba-tiba ada suatu kuasa yang saya tidak tahu datang dari mana, menyuruh saya brek mengejut, menyebabkan Emak yang duduk di belakang terjaga daripada lenanya. Dan tentunya saya juga turut terjaga.
"Eh ... dah sampai sini," kata hati saya, menyedari jarak antara kereta saya dengan Toyota Vios di hadapan rupa-rupanya hanya sekaki dua. Saya membrek secara tiba-tiba itu apabila sampai di lampu isyarat berhadapan KWSP menghala ke PPUM. Mujur tidak tersondol kereta di hadapan ... ajaib! Kantuk saya hilang serta-merta memikirkan keajaiban itu. Allah menggerakkan, mengejutkan saya daripada tidur. Barangkali disebabkan ajal belum tiba.
Saya juga berasakan ia berkat dan rahmat Ramadhan mengiringi perjalanan saya kerana saya membawa bonda yang mulia, sentiasa bersedia menemani anak-anaknya ke mana sahaja biarpun dia sendiri tidak secergas dahulu.
Ya Allah, Engkau binalah mahligai paling indah untuk Emak di syurga-Mu nanti.

Tuesday, August 24, 2010

SEMAKIN DILUPAKAN

"Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut apabila rumah tempat menyimpan mercun meletup. Mayatnya dijumpai tersangkut di atas sebuah pokok ..."

Begitu bunyinya siaran berita yang saya dengar di Sinar FM suatu pagi. Ketika itu saya sedang memandu untuk menghantar anak ke tadika sebelum ke pejabat.

"Huh ... sebatang pokoklah, bukan sebuah pokok," komen saya sendirian.

Saya tidak pasti sama ada orang lain perasan atau tidak penjodoh bilangan dalam kegunaan bahasa Melayu kini semakin dilupakan--tidak berapa digunakan lagi. Kalau diguna pun, salah pula seperti contoh di atas.

Saya perhatikan, kita lebih suka menggunakan perkataan 'satu' berbanding 'sebuah', 'sebentuk', 'sebilah' dan seumpamanya.

-Ada satu rumah putih di hujung jalan sana.
-Saya ada satu kereta sahaja.
-Hanya ada satu pisau di dapur.
-Dia kehilangan satu cincin emas semalam.

Bukan sahaja dalam penulisan, lebih ketara lagi dalam perbualan harian. Penjodoh bilangan semakin hari semakin dilupakan.