Friday, July 16, 2010

BAHASA ANAK

Minggu ini dua hari anak saya tidak bersekolah kerana demam dan selesema. Dua hari tersebut dia tidak mahu bersekolah, walhal boleh sahaja dia ke tadika seperti selalu dengan berbekalkan ubat. Cikgu akan pastikan ubat dimakannya. Saya terpaksa mengalah juga apabila dia mahu tinggal di rumah atoknya.

Dia mengadu begini, “Mak, suara Ammar sakit. Suara Ammar sakitlah Mak.” Saya ketawa. Bukan tidak kesian, tetapi ungkapan ‘sakit suara’ itu kedengaran agak lucu.

“Bukan sakit suara, sakit tekak. Tu baru betul,” ujar saya membetulkan istilah yang digunakannya.

“Ooo ... sakit tekak. Mak Ammar sakit tekak.”

Malam itu beberapa kali dia terbangun sebab sakit tekak, tapi dalam keadaan mamai dia menyebut lagi ‘sakit suara’. Subuh esoknya dia bangun, “Mak, hari ni tak payah sekolahlah. Ammar demam, nak dok rumah Atok.”

Malas bergaduh pagi-pagi dan akan menjauhkan rezeki, saya setuju sajalah. Lagipun sudah lama dia tidak ke rumah Atok.

Itu cerita sakit suara.

Satu lagi yang membuatkan saya geli hati apabila anak saya bermain lawan-lawan atau lumba-lumba dengan sepupunya. Kalau dia kalah dan sepupunya menang dia akan berkata begini kerana tidak mahu alah, “Siapa menang, dia kalah ... .”

Aduh! Saya sendiri pun tak terfikir untuk berkata begitu. Kalau dah kalah tu kalah ajelah!

Monday, July 5, 2010

"PAIP TU, JANGAN BUKA BESAR-BESAR ... "

“Ammar, ambil wuduk tu air jangan besar sangat …” pesan saya setiap kali menunggu anak berwuduk.

Tak ada reaksi daripadanya.

“Ammar, air tu kecilkan sikit!” ulang saya.

Juga, tidak dipedulikannya.

“AMMAR. PAIP TU JANGAN BUKA BESAR-BESAR. DOSA MEMBAZIR AIR!” saya terpaksa meninggikan suara.

“Ya Mak,” jawabnya.

Begitu tiap kali menyuruh anak berwuduk. Kadang-kadang dia ingat, kadang-kadang dengan sekali suruh dia terus ikut, kadang-kadang sampai kita pun kena naik suara. Pun demikian, hal-hal seperti ini perlu diulang-ulang, dan dilatih tubi supaya membekas di ingatannya dan diamalkan dalam hidup.

Ibnu Abbas meriwayatkan, suatu hari Rasulullah SAW menegur Saad r.a menggunakan air yang banyak ketika sedang berwuduk.
“Pembaziran apakah ini wahai Saad?” soal Nabi SAW.
“Adakah dalam menggunakan air juga berlaku pembaziran?”
“Ya, sungguhpun engkau berada di tepi sungai yang mengalir.”

Jika mengambil wuduk di sungai yang airnya sentiasa mengalir pun Rasulullah SAW menyuruh kita berjimat, inikan pula air yang mengalir dari pili?

Sejak mengenali hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah di atas, saya cukup berhati-hati menggunakan air ketika berwuduk. Saya perhatikan, orang kita cukup mewah dan sangat membazir air ketika mengambil wuduk. Kepala paip dipusing sebesar-besarnya, dan air mengalir sederas-derasnya.

Tak payah susah-susah melihat di tempat lain, di surau pejabat ini pun, rakan-rakan, saya lihat rata-rata sangat membazir air ketika berwuduk. Tiada daya saya menegur melainkan mencatatnya di blog ini (lagi pula diri saya ini pun bukannya bagus sangat!)

Sahabat-sahabat Nabi SAW, ketika berwuduk pun sudah menggigil ketakutan hendak menghadap Allah Taala (solat), tapi teman-teman saya ada kalanya sempat lagi bersembang ketika berwuduk, sedang air pula deras mengalir dari paip!

p.s. Tapi ada waktunya, si Ammar main air hingga tak ingat dunia. Saya terpaksa akur khasnya apabila sukar menyuruhnya mandi, maka apabila disebut 'main air' barulah mahu dia mandi! Aduhai ... .