Tuesday, January 5, 2010

DIBUNUH KOMPUTER!

Sebaik pandai menulis di sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT, pen dan pensel menjadi nadi setiap individu. Untuk menulis karangan dan membuat kerja rumah atau menjawab peperiksaan—pen dan pensel menjadi rakan karib setiap murid dan pelajar.

Itu dulu. Hari ini pen atau pensel menjadi begitu asing bagi diri saya. Pen hanya digunakan sesekali sahaja. Untuk mengisi borang, mencatat nota dalam kuliah agama atau bengkel, atau menulis nota ringkas atau menurunkan tandatangan. Ataupun pen merah untuk membuat kerja suntingan dan membaca pruf di galei.

Sejak berdamping dengan komputer dalam kerjaya, saya tidak mampu menulis menggunakan pen, tidak lagi boleh menulis panjang. Jari-jemari menjadi kaku untuk mencatat apa-apa walau sekadar lima baris ayat atau satu perenggan. Tangan menjadi lenguh, malah lenguh itu bukan masalah utama. Yang menjadi masalah besar ialah ilham atau idea untuk menulis artikel entah ke mana hilang.

Puas duduk menanti ilham datang, satu pun tidak terbit di benak kepala. Aduh! Apa sudah jadi? Otak menjadi bengap. Lembap. Lemah.

Kini, saya menjadi kagum apabila melihat orang menulis--tarian pen di tangannya meluncur deras menulis patah demi patah perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan ... .

Jika sekarang saya perlu menduduki peperikasaan, barangkali saya akan gagal!

Pernah saya cuba membuat artikel kesihatan untuk majalah Anis menulis mengguna pen. Dua bulan tidak siap-siap, walhal jika menggunakan komputer boleh disiapkan dalam tempoh setengah jam.

Maka saya membuat kesimpulan, kewujudan komputer dalam hidup saya telah membunuh kemahiran dan kebolehan saya menulis dengan kalam!

Monday, January 4, 2010

PAGI YANG MENGADA-NGADA!

Tahun baru, bulan baru, minggu baru, hari baru. Hari ini Ammar Hadi mengada-ngada tak mahu masuk kelas setelah tiga kali berturut-turut cuti tiga hari berderet bermula Jumaat. Jumaat pertama cuti Awal Muharam, Jumaat kedua cuti Krismas dan Jumaat ketiga berikutnya cuti tahun baru.

Tiba di tadika, dia meraung-raung bagaikan murid baru.
“Ammar kenapa menangis? Mari masuk jumpa kawan-kawan baru ...” pujuk Cikgu Miza.
“Tak nak ... tak nak ... tak nak solah (sekolah) ... nak balik ... nak balik ... waaaa ... ”

‘Eeee, mengada-ngada betul,’ gerutu saya. Tangan saya dipegang kemas. Ditarik semahunya. Datang cikgu menariknya masuk.

Di luar, sepasang suami isteri meninjau-ninjau memanjang leher melihat ke dalam premis tadika.
‘Mesti first time hantar anak masuk tadika,’ tingkah saya. Keretanya pun diletakkan melintang hingga menghalang kereta ibu bapa lain hendak gostan keluar.
“Tak nampak pun,” ujar si isteri.
“Dia dah masuk dalam,’ ujar si suami. “Petang nanti Ayah datang ambik ya,” jeritnya ke ruang kosong. Entah dengar entahkan tidak anaknya itu.

Kekadang geli hati melihat telatah ibu bapa. Mereka lebih cemas daripada anak sendiri. Kekadang mereka yang lebih mengada-ngada!