Wednesday, October 7, 2009

‘IDILFITRI - 1 SYAWAL 1430

Ahad, 1 Syawal 1430 (20 September 2009)

Masuk raya kali ini sudah empat tahun saya tidak berpeluang menunaikan solat sunat ‘Idilfitri (‘Idiladha pun sama). Rindu benar rasanya. Namun, anak terpaksa diutamakan, tidak mungkin saya meninggalkannya seorang diri di rumah semata-mata untuk ke masjid. Untuk membawanya bersama ke masjid juga tidak mungkin kerana jemaah pasti akan terganggu. Cukuplah dengan beberapa pengalaman membawanya ke masjid.

Maka suami saya sendirian ke masjid dan saya bersama anak pula terus ke rumah Emak dan Ayah. Janji suami saya, dia akan menyusul ke rumah Emak apabila tengah hari.

Hingga ke petang, suami saya tidak juga muncul.

HARUN YAHYA AMINULLAH, AISYAH AINY & AMMAR HADI

Ammar Hadi mahu mengikut sepupunya Aisyah Ainy dan Harun Yahya Aminullah beraya. “Ammar nak gi raya jugak.” Itulah diulang-ulangnya sambil menangis hiba.

“Yalah. Jom Mak bawa jalan-jalan raya,” pujuk saya sambil mencapai kunci kereta.

“Raya tu apa?” soalnya semasa saya memandu di jalan-jalan yang sungguh lengang di sekitar LDP, Kelana Jaya, SS2 dan Kampung Tengku. Jika hari-hari biasa, jalan-jalan ini maha sibuk dan sesak.

“Raya tu kita gi jalan-jalanlah. Ni Ammar tengah rayalah ni. Mak bawa kereta di jalan RAYA. Jalan lebih besar nama dia lebuh RAYA. Kita sekarang tengah ronda-ronda atas jalan RAYA …” Sengaja saya menekankan perkataan ‘raya’.

“Oooo…jalan LAYA,” ujarnya.
“Jalan RRRRAYAlah, bukan jalan LLLAYA.”
“Jalan LLLaaaayaaa …” Masih telor lagi engkau anakku! Konsonan R, G dan K masih bermasalah.

Saya tidak memberi makna sebenar ‘raya’ kepadanya. Buat masa ini biarlah dia tahu raya sebagai ‘jalan raya’. Jika dia tahu erti raya sebenar nanti susah pula, takut-takut dia melalak mahu ikut Aisyah dan Harun beraya ke rumah emak saudara mereka.

Setelah tersesat jalan di Kampung Tengku, saya akhirnya berjumpa jalan keluar untuk ke SS2 semula dan pulang ke rumah.

“Laaa, Ammar … Papa ada kat rumah rupanya,” kata saya sebaik melihat kereta suami ada di perkarangan rumah. Saya sangkakan dari masjid dia terus ke pejabat sebab itu tak muncul-muncul di rumah Mak Ayah.

“Sakit kepala. Lupa makan ubat malam tadi,” ujarnya. Mmm… sememangnya dia ada darah tinggi. Kerja kuat kekadang terlupa makan ubat.

Selepas pulang dari masjid tadi dia terus makan ubat dan tidur. “Malam nilah pergi rumah Mak,” katanya lagi.

Malamnya, sekali lagi saya dan Ammar ke rumah Emak di Kayu Ara, kali ini naik kereta suami pula. Makan nasi dagang lagi!




Monday, October 5, 2009

PRA-'IDILFITRI

Jumaat, 28 Ramadhan 1430 (18 September 2009)

Hari ini kena bawa anak ke pejabat kerana Tadika Hasanah sudah mula bercuti untuk membolehkan cikgu-cikgunya balik beraya di kampung. Sebahagian warga Galeri Ilmu juga sudah bercuti. Yang tinggal beberapa orang sahaja. Lengang dan sunyi. Yang kedengaran cuma suara Ammar Hadi yang sesekali memecah sepi (memekik-mekik). Berlari sana sini bermain roket kertas, dan memanjat dan terjun meja (tanda sudah bosan).


Menjelang tengah hari …

“Mak nak mi.”
“Laa, mana ada mi, orang semua puasa.”
“Ammar kata nak mi.”
“Milo boleh?”

Dia mengangguk. Walaupun Milo bukan minuman kegemarannya, habis juga diminumnya. Maknanya sudah laparlah tu.

“Mak, nak mi.”
Mi lagi yang dipinta.

“Okeylah, jom kita pergi beli.”
Tiada pilihan, terpaksa beli mi segera.




“Eee, tak malu tak puasa … ?” lebih kurang begitu usik Pak Cik Abu tatkala melihat Ammar menghadap secawan mi segera yang masih panas berwap.
"Sedap?" Pak Cik Zuraimi pula menegur.
Terasa hati dengan usikan itu, Ammar masuk ke bawah meja, menyorok.









“Mak nak balik.”

“Kejap lagi, Mak ada kerja sikit lagi.”
“MAK NAK BALIKKKKK …MAK NAK BALIKKKKK …”
“Sabarlah, kejap je lagi.”

“MAK NAK BALIKKK …” jeritannya makin kuat.
“Jom, kita gi kedai dua ringgit nak? Mak nak beli pam bola. Bola Ammar dah banyak yang lembik.”
“Yey, yey…”

Bukan saja pam bola, cermin mata mainan dan handphone mainan juga diambilnya. Saya pula turut ‘merembat’ lampu hiasan ‘liplap’ untuk hiasan Jabatan Buku memandangkan jabatan kami sahaja yang masih ‘togel’. Jabatan-jabatan lain sudah cantik berhias untuk menyambut ‘Idilfitri.


Saki-baki kakitangan semakin berkurangan. Ada yang balik awal. Maka saya juga mengambil langkah sama lebih-lebih lagi anak sudah tidak boleh dikawal.


Ammar bukan sahaja membawa pulang mainan yang dibeli di kedai dua ringgit, tetapi juga duit raya awal daripada Acik Suriati dan Pak Cik Zuraimi.