Friday, July 17, 2009

SANTI, our cleaner!

Namanya Santi. Dia ini warga Indonesia, tukang bersih (cleaner) di pejabat kami. Sekarang tengah sarat mengandung, sedang menunggu hari sahaja untuk bersalin.

Akhir-akhir ini suami Santi juga turun padang ke syarikat kami untuk membantu membersihkan pejabat yang berjumlah tiga aras dan dua unit (maklum saja, dengan keadaan Santi yang demikian itu!) … tandas saja ada 12!

Saya sebenarnya kagum dengan kerajinan dan semangat Santi. Jika saya berada di tempatnya, saya pasti tidak mampu melakukan kerja- kerja mencuci ini dalam keadaan perut memboyot begitu.

Pengalaman membawa anak dalam kandungan pada bulan ketujuh lebih empat tahun dahulu cukup mengajar saya betapa seksanya! Terbongkok-bongkok menyapu daun pokok mangga depan rumah pun bagai mahu putus pinggang, inikan lagi membersihkan pejabat yang bertingkat-tingkat, turun naik tangga tak usah cakaplah.

Lagi satu, Santi ini berani menggunakan segala macam kimia pencuci (sebab tu tandas sentiasa bersih dan wangi). Bahan-bahan kimia ini memang bahaya bagi janin. Semasa saya mengandung dulu, cuci bilik air guna syampu saja kerana takut pencuci yang tinggi kandungan kimianya. Tapi Santi tidak peduli semua itu, yang dia tahu tandas pejabat Galeri Ilmu mestilah bersih. Apa pun didoakan Santi dan bayinya nanti tidak apa-apa.

Satu lagi saya kagum dengan Santi ni, walaupun tak sekolah tinggi dan ilmu agamanya pun agak kurang, bacaan ayat sucinya pula berterabur, tapi satu yang saya tersentuh dengan akhlaknya yang satu ini…setiap kali lepas wuduk Santi tidak lupa menadah tangan baca doa ambil wuduk. Tidak seperti kebanyakan staf wanita lain yang lebih banyak ilmunya, tetapi wuduknya cincai-cincai saja (termasuk saya doanya di mulut saja tanpa menadah tangan). Padahal Nabi SAW dan para sahabat amat menekankan soal wuduk ini.

Seperkara lagi, setiap kali hendak makan, Santi tidak lupa membaca Bismillah, sedangkan saya perhatikan kebanyakan staf di sini bila makan kekadang ada yang tak baca Bismillah pun, terus saja sumbat mulut dengan makanan, kongsi makan dengan syaitan!

Beginikah akhlak kita yang bergelar da’i? Indah khabar dari rupa gamaknya?

Bagi yang suka mengata-ngata Santi, saya sarankan anda ukurlah dulu diri sendiri! Santi itu pun manusia biasa seperti kita semua, ada hati dan perasaan. Memang dia punya kelemahan, tetapi sesuailah dengan kejahilannya, tetapi kita ini bagaimana, sedangkan ilmu kita lebih banyak daripada Santi?
Dalam beberapa aspek, Santi sebenarnya lebih baik daripada anda dan saya (yang konon bagus sangat!)

Monday, July 13, 2009

JANGAN LAGA PIPI!



Kira-kira dua minggu sudah saya berpeluang menonton rancangan ‘TANYA USTAZ’ di TV9. Topik pada pagi itu ialah ‘Salam’. Malangnya saya tidak sempat menangkap nama ustaz yang mengendalikan program pada pagi itu.

Saya suka rancangan ini kerana banyak persoalan remeh-temeh yang kita kurang ambil perhatian. Kerana kita tidak mengambil berat soal remeh-temeh ini, maka kita selama-lamanya akan menjadi orang yang jahil.

'TANYA USTAZ', banyak merungkai persoalan peribadatan kita sehari-hari. Kekadang, kita tidak sedar amal ibadat yang kita buat itu sebenarnya salah. Maka wajiblah kita menambah pengetahuan dari semasa ke semasa. Moga suatu hari kita berjaya muncul sebagai orang yang benar-benar soleh.

Topik ‘Salam’ hari itu benar-benar menarik perhatian saya. Penerangan daripada ustaz berkenaan amat jelas. Dalam soal salam ini ada beberapa amalan kita yang saya kira agak menyimpang.


Laga pipi
Saya memang sejak dulu tidak suka bersalam laga pipi seperti yang dilakukan oleh kebanyakan perempuan (kononnya mahu tunjuk mesra). Dulu saya tiada jawapannya mengapa saya tidak suka cara bersalam cara ini. Setelah menonton ‘Tanya Ustaz’ baru saya tahu, cara saya itu sebenarnya betul.

Menurut ustaz, hukumnya makruh bersalam dan melagakan pipi ini (biarpun sesama jantina!). Kata ustaz lagi, bersalam sambil melagakan pipi ini hanya dibolehkan apabila kita bertemu orang yang sekian lama kita tidak berjumpa atau teman yang datang dari jauh. Kalau setakat hari-hari berjumpa (misalnya di tempat kerja), maka ini tidak dibolehkan.

Menurut ustaz itu, cukuplah sekadar berjabat tangan dan memandang wajahnya. Itu sudah memadai sebagai tanda mesra.

Maka kepada sesiapa yang suka sangat bersalam laga pipi ini...hentikanlah! Ingat ye, SALAM JANGAN LAGA PIPI (khasnya pipi saya ... eheh...lebih-lebih lagi dengan bunyi 'mmmuah'...eee getik betullah!)

Tapi ‘pak-pak Arab’ tu macam mana ek? Depa salam laga pipi sesama mereka ... (mazhab lain kot!).

Cium tangan
Tidak mengapa bersalam sambil mencium tangan ibu, ayah, nenek atau datuk kita, atau tok guru dan orang alim kerana mereka berhak dihormati. Yang salahnya hari ini kita mengajar anak-anak mencium tangan selain tangan kita dan mereka yang berhak. Misalnya bersalam dan mencium tangan orang bukan mahram. Asalkan orang itu sama baya mak ayah, maka mereka belasah bersalam dan mencium tangannya. Ini tidak dibenarkan. Harus diingat, yang bukan mahram sampai bila-bila pun kita tidak boleh bersalam dengannya. Anak-anak yang belum baligh dan mumayiz tu, lain ceritalah. Ini yang dah meningkat remaja!

Perlu diingat, cium tangan itu istimewa/eksklusif untuk mak ayah kita sahaja. Jangan samakan taraf mereka dengan orang lain! Mak ayah kita tiada tolok bandingnya.

Anak-anak remaja kita hari ini selamba saja bersalam cium tangan ipar-duai, mak cik, pak cik, sepupu ajnabi.

Bongkok badan
Barangkali ramai yang tidak tahu, bersalam sambil membongkok badan (kononnya tanda hormat) sebenarnya tidak dibolehkan dalam Islam. Misalnya sering kita lihat orang kita bersalam orang-orang kenamaan (pemimpin) sambil membongkok atau menundukkan badan ‘ala Jepun’. Haram hukumnya. Cukup sekadar berjabat tangan.

Salam ala orang Kelantan
Di Kelantan (khasnya di kampung-kampung), orang perempuan biasa bersalam dengan orang lelaki ajnabi. Tetapi mereka bersalam dengan tangan beralas kain tudung. Kata ustaz, itulah yang sebaik-baiknya!

(Ambo pong oghe Klate jugok).

Wallahu a'lam.