Tuesday, January 6, 2009

MASUK TADIKA



CATATAN 8 MUHARAM 1430/5 JANUARI 2009

“Bangun Ammar. Hari ini kena sekolah. Dah besar kenalah masuk tadika,” ujar saya ketika mengejutkannya pagi tadi.
“Ammar tak nak syulah (sekolah). Ammar nak dok umah (rumah)’,” rengeknya sambil menangis dan menahan mengantuk.
Kalau hari-hari biasa ke taska tidak menjadi masalah sangat kerana boleh diangkat waktu dia masih nyenyak. Tetapi apabila masuk tadika, sistemnya berlainan. Pagi-pagi kena berbaris.
Tetapi sebaik sahaja dia celik dan mandi, segalanya mudah. ‘Hmmm, permulaan yang baik,’ bisik saya dalam hati. ‘Tak mengada-ngada macam biasa.’
‘Cipat (cepat) Mak, sejuk…’ katanya sambil mencangkung telanjang bulat di dalam bilik air.
‘Ammar nak baju tomen (Ultraman),’ katanya sebaik selesai dilap. Hmm…petanda tak bagus, nanti dapat uniform susah nak pujuk pakai.

Masalah memilih baju paling sukar apabila anak sudah mula ada citarasa sendiri. Tidak lagi mahu orang tua yang memilih. Kerana itu saya terpaksa membeli dua tiga pasang baju Ultraman atau Spiderman yang sama. Sebelumnya ada dua pasang sahaja menyebabkan saya mengalami masalah hendak membasuhnya. Kekadang diambilnya dari bakul pakaian kotor untuk dipakai, tidak sempat dibasuh. Pada waktu yang lain, baru sahaja dijemur tidak sempat kering sudah mengamuk hendak pakai. Maka terpaksalah disterika hingga kering. Kerap juga saya menjemurnya di dalam kereta; khuatir jika tidak sempat kering apabila balik dari taska (playschool) dan tidak mahu pakai baju lain selain baju kedua-dua superheroes itu.

‘Minta halalkan semuanya ya, anak saya tu cikgu. Maklumlah Ammar ni nakal sikit,’ kata saya pada hari terakhir menjemput anak di taska, sambil menghulurkan cenderahati yang tak seberapa kepada setiap cikgu yang telah menjaga dan mendidik anak saya selama dua tahun.
‘Saya pun sama kak. Minta halal dan maaf sebab selalu juga marah-marah si Ammar,’ kata cikgu yang paling lama menjaga anak saya sejak anak saya berusia setahun setengah.
Tak apa. Biasalah marah mendidik, tak apa,’ balas saya.






TERIMA KASIH CIKGU. SELAMAT TINGGAL TASKA...HALALKAN SEMUA YA!



Ya, minta halal segalanya amat perlu bagi anak kita, mudah-mudahan ilmu yang dipelajarinya itu berkat!

Hari ini bermulalah fasa kedua dalam alam pendidikan anak saya Ammar Hadi setelah graduasi pertama di taska (for toddlers), dan melangkah ke prasekolah (tadika).

Antara taska dan tadika cuma dipisahkan dengan dinding sahaja. Sebelah-menyebelah. Kekadang cikgu tadika datang menjengok ke taska dan suka menyakat anak-anak yang comel di situ. Kekadangnya pula cikgu tadika menggantikan cikgu taska yang bercuti. Jadi anak-anak dari Taska Hasanah yang masuk ke Tadika Hasanah tidak berasa asing. Malah sebelah petangnya, anak-anak taska juga ‘melepak’ di tadika.

Pagi ini, setiba di Tadika Hasanah, cikgu datang menjemput setiap anak yang datang di muka pintu kereta dengan wajah yang manis dan mesra. Yang tidak mahu masuk, diumpan dengan gula-gula, terus tergoda dan lupa bersalam dengan ibu bapa. Dari segi psikologinya bagus, tetapi dari sudut kesihatan, kuranglah baiknya (pagi-pagi makan gula-gula sebelum sarapan). Cuma, sekali itu sahaja, tidak mengapalah atas dasar untuk menarik anak-anak masuk ke kelas.

Aduhai, jika dilihat pada tubuhnya, anak saya kecil saja saiznya berbanding yang lain.

Untuk bulan pertama ini, tidaklah perlu memakai uniform dan masih lagi membawa botol susu. “Tak apa, hisap masa nak tidur saja,” terang cikgu.

Saya cukup senang hati dengan khidmat Tadika Hasanah. Berbaloi dengan yurannya. Cikgunya memang mesra kanak-kanak. Ada tiga pakej yang ditawarkan. Ikutkan hati mahu sahaja saya pilih pakej ‘kertas biru’ (separuh hari iaitu kelas tadika sahaja).Tapi di mana pula anak mahu diletakkan pada separuh hari kemudiannya? Mahu tidak mahu saya memilih pakej ‘kertas merah jambu’ yang menawarkan khidmat 7 pagi hingga 6 petang meliputi makan tengah hari, minum petang dan mengaji al-Quran sebelah petangnya. Diskaun RM130 memandangkan anak saya dikategorikan pelajar lama dari taska.

Meletakkan/menghantar anak lima tahun dan ke bawah ke taska atau tadika ada pro dan kontranya berbanding menghantar anak ke pengasuh (babysitter).

Jika di hantar kepada pengasuh, yang baiknya anak mendapat lebih perhatian daripada pengasuh kerana tiada saingan daripada rakan-rakan sebaya. Jika di taska atau tadika cikgu perlu memberi perhatian yang sama rata. Tiada istilah ‘anak emas’ walaupun anak cikgu sendiri di tempat yang sama.

Namun, yang positifnya jika menyerahkan anak ke taska atau tadika bertauliah, anak mendapat didikan yang lebih formal berbanding pengasuh. Malah kita sendiri sebagai ibu atau ayah pun terkadang tidak mampu melakukannya. Apatah lagi pengasuh. Lainlah kalau pengasuh itu tip top akhlaknya dan boleh mengaplikasikan didikan agama dan moral dengan baik kepada anak asuhannya.

Di tadika atau taska, disiplin diajar. Anak belajar berdikari. Anak belajar erti persahabatan dan berkongsi barang dan makan. Sesekali bertengkar dan bertumbuk itu lumrah. Balik rumah sedikit bercalar, benjol dan lebam itu perkara biasa. Dari situ anak sebenarnya belajar erti kehidupan—menjadi manusia yang ‘defensive’, tidak lembik dan manja atau terlalu mengada-ngada.

Yang paling dihargai bagi anak yang dididik di taska/tadika bertauliah ini, mereka sudah boleh menghafal dan melafazkan doa-doa ringkas. Jika kita sendiri yang mengajar, agak lambat dapat ‘tangkap’. Sesungguhnya insan yang bergelar cikgu mempunyai auranya yang tersendiri yang membuatkan anak-anak mahu belajar dengannya.

Pernah sekali kerana terlalu mengantuk dan hampir sahaja terlelap, anak saya mengingatkan dengan bahasa pelatnya, ‘Mak! Belum ‘bismikallah humma ahya wa amuut…’
‘Alamak! Mujur Ammar ingatkan. Mak lupalah. Terima kasih. Ammar jangan lupa baca doa macam Mak tau…’ pesan saya—entah dia faham atau tidak kata-kata saya itu.

Di taska dahulu, anak saya antara yang sukar dikawal dan tak ‘reti’ duduk diam. Namun, dalam keaktifannya itu ada doa-doa yang diajar dihafalnya yang kekadang kita sebagai orang tua lupa berdoa sebagaimana anak kita. Misalnya waktu makan, kita hanya membaca bismillahirrahmanirrahim. Tetapi si anak kecil membaca doa penuh siap dengan terjemahannya. Seperkara lagi, jika di taska, apa jenis baju pun tidak susah cikgu hendak pakaikan—tak perlu yang Ultraman mahupun Spiderman. Kalaulah di rumah, kita yang sakit jiwa berperang dengannya tiap kali hendak pakaikan baju.


Jam 18.06pm hari ini saya tiba di tadika untuk menjemput anak pulang, saya bertanya cikgunya, ‘Ammar macam mana? Boleh ikut?’
‘Dia okey. Seronok sangat main dengan kawan,’ jawab cikgu.
Saya bertanya pula Ammar, ‘Best tak sekolah?’
‘Best. Ammar tak nak syulah situ,’ jawab anak saya sambil mulutnya dimuncungkan ke taska tempat dia dahulunya dididik.

Alhamdulillah, mudah-mudahan rajinlah ke tadika hendaknya.

Apa pun, untuk manifestasi sistem di tadika ini, saya perlu tunggu dan lihat. Hari ini terlalu awal untuk merumuskan apa-apa. Hanya doakan yang terbaik untuknya.

“Ya Allah, engkau peliharalah anakku dan anak-anak yang suci ini dan guru-gurunya yang mulia daripada segala malapetaka. Jadikanlah anak-anak ini hamba-Mu yang bertaqwa. Limpahkanlah mereka dengan rahmat-Mu.”



Begitu doa saya setiap kali dan setiap hari meninggalkan anak di bawah jagaan gurunya.

Friday, January 2, 2009

Buah Tangan Terbaru USTAZ HASRIZAL - bakal terbit


Sudah tiga manuskrip karangan Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) a.k.a Abu Saif saya baca dan sunting. Yang pertama buku AKU TERIMA NIKAHNYA yang sudah terbit dan diulang cetak (maaf ustaz andai masih ada error di dalam teksnya).
Yang kedua DATARAN SYAM: RINDU BAU POHON TIN sudah siap saya sunting dan memulangkannya kepada Editor Kanan, En. Zakaria Sungib. Jika masih ada kesalahan akan diperhalusi semasa membaca pruf kelak.
Yang ketiga TURKI: SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH, baru sahaja selesai menyuntingnya dan akan disemak sekali lagi sebelum menyerahkan kepada En. Zakaria. Juga akan diperhalusi lagi teksnya semasa membaca pruf nanti.
Tidak sukar menyunting tulisan Ustaz Hasrizal kerana saya percaya beliau sudah punyai bakat menulis semula jadi. Diasah digilap menjadi semakin tajam.

Kebanyakan pembetulan secara umumnya pada tanda baca koma selepas penutup pengikat kata yang sepatutnya diletakkan sebelum penutup pengikat kata. Juga, perkataan ‘tetapi’ yang banyak saya jumpa di merata tempat; ini, saya cantaskan. Beberapa judul bab juga saya ubah suai agar serasi dengan kehendak buku.
Saya mula akrab dengan tulisan Ustaz Hasrizal di Saifulislam.com sekitar akhir 90-an, pabila talian internet dilanggani di rumah. Kerap e-mel saya terima daripada rakan-rakan memetik artikel-artikel dari Saifulislam.com sebagai santapan rohani dan pengembangan minda.
Barangkali, di Galeri Ilmu ini saya antara orang awal yang mengenali tulisan Ustaz Hasrizal kerana ketika itu belum ramai rakan sepejabat yang mesra internet. Malah di pejabat pun belum ada talian untuk akses internet.
Saya cukup senang dengan tulisan beliau. Bernas dan tegas. Pernah saya terfikir: 'Alangkah bagus jika artikel-artikelnya dihimpunkan menjadi buku!' Begitu pandangan saya ketika itu. Saya juga tidak menyedari bahawa penulis yang nama penanya Abu Saif di blog sebenarnya seorang yang cukup popular di kalangan blogger dan pengunjung alam siber.
Apabila wujud akses internet di Galeri Ilmu, hubungan syarikat dengan Ustaz Hasrizal menjadi rapat. Artikel-artikel beliau mula tersiar di dalam majalah Anis yang terkadang saya menyoal diri, “Macam pernah baca artikel ni, tapi di mana ya?” Oh, rupa-rupanya saya sudah lama membacanya dalam e-mel yang diterima, dan pada masa itu baharu saya perasan ‘Abu Saif’ itu namanya Hasrizal Abdul Jamil. Seorang ustaz!
2007
Tahun 2007, tahun yang amat bermakna bagi saya apabila Jabatan Buku ditubuhkan. Jabatan yang belum lagi berusia setahun jagung itu telah membuat keputusan tepat apabila membukukan hasil tulisan Ustaz Hasrizal.
Lebih bermakna lagi apabila Pengurus Jabatan Buku (ketika itu En. Roslan Kassim) mengarahkan saya membantu En. Zakaria Sungib dalam urusan penerbitan manuskrip Ustaz Hasrizal memandangkan En. Zakaria yang sudah ‘tidak menang tangan’ dalam tugas hariannya.
Pucuk dicinta, ulam yang tiba. En.Zakaria menyerahkan manuskrip itu untuk saya sunting…amanah itu bagaikan suatu penghormatan bagi saya. Tidak menyangka sama sekali, “Dahulu aku hanya baca artikelnya di internet, tak sangka hari ini aku diberikan amanah untuk menyunting bukunya…rezeki daripada-Mu yang Allah.”
Dalam himpitan ‘deadline’ tugas-tugas lain, saya pikul amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab biarpun ragu-ragu dengan kemampuan diri ini.
Ternyata judul AKU TERIMA NIKAHNYA mendapat sambutan yang di luar jangkaan daripada pembaca. Maklum sahaja, Galeri Ilmu belum ada pengalaman menerbit buku; ia suatu percaturan. Alhamdulillah, strategi menjadi...satu lagi saluran untuk berdakwah melalui penerbitan buku terbuka luas. Sekalung terima kasih dan tahniah saya untuk Ustaz Hasrizal!
2008
Akhir 2008, sekali lagi kerana tidak menang tangan En. Zakaria menyerahkan dua manuskrip tulisan Ustaz Hasrizal untuk disunting. Dengan senang hati saya menerima JORDAN: RINDU BAU POHON TIN dan TURKI: SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH untuk disunting. Buntang mata sehingga tamat saya menyuntingnya…(bukan memuji tetapi realiti).
Sungguh, pengisian yang terkandung di dalam kedua-dua manuskrip ini harus dan wajar dibaca dan dimiliki oleh generasi muda hari ini. Saya cukup tersentuh membacanya.
RINDU BAU POHON TIN misalnya membuatkan saya terfikir betapa generasi kita hari ini sebenarnya tidak mensyukuri nikmat kemudahan mencari ilmu di tanah air sendiri berbanding generasi dahulu yang bersusah payah berkelana fi sabilillah meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu. Tiba di bab Kehendak-Nya Mereka Pergi, saya menjadi sedikit emosi. Hiba di hati amat terasa.
Demikian juga SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH, membuatkan saya melihat Turki dari perspektif yang berbeza. Selama ini kita di‘tubi’kan dengan Turki yang sudah jauh dari Islam. Namun, penulis berjaya membawa kita menyelami adat budaya yang masih lagi murni di Turki. Islam di Turki sebenarnya belum lagi padam sementelahan masih ada rakyat yang berjuang untuknya.
Saya cukup terkesan membaca bab Menjejak Tragedi Penggulingan Sultan Abdul Hamid II—saat-saat penggulingan baginda bagaikan berlaku depan mata. Sayu, hiba mengenangkan seorang pemimpin negara digulingkan kerana menegakkan yang haq di bumi Allah ini.
Sebagai promosi awal, saya amat mengesyorkan remaja-remaja kita yang bakal melangkah ke menara gading membaca buku ini apabila terbit kelak. Para peminat Saifulislam.com yang sudah punyai anak remaja, hadiahkanlah kepada anak anda sebagai suntikan motivasi agar mengenali jati diri (sebagai seorang anak, sebagai seorang insan dan sebagai seorang Islam). Sesungguhnya mencari ilmu itu tiada noktahnya!
Wallahua’lam.
Nota:
1) Kedua-dua judul ini masih belum muktamad selagi CIP belum dimohon dari Perpustakaan Negara. Bisa diubah lagi.
2) Hari ini 5 Muharam 1430/2 Januari 2009: Akan serah SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH kepada Editor Kanan untuk tindakan selanjutnya (and right now, I do need a cuppa!!).


artikel ini juga boleh dibaca di http://bukugaleri.blogspot.com/