Thursday, November 6, 2008

SUATU KETIKA

“Dik, Mi Ibu dah habis ke?” soal saya kepada pembantu kedai Pasaraya Taman Tun pada suatu hari.
“Ha‘a, dah habis, kak,” jawabnya.

Jika 10 tahun dahulu, barangkali dialognya begini:

“Kak, Mi Ibu dah habis ke?”
“Ha‘a, dah habis, dik.”

Di dalam kereta saya duduk termangu… “Dah tua dah aku ni…”

SUATU KETIKA dahulu, saya meng‘akak’kan dan meng‘abang’kan orang, mem‘pak cik’ dan me‘mak cik’kan orang, dan saya di‘adik’kan orang. Hari ini tiba giliran saya di‘akak’kan dan di‘mak cik’kan orang. Jika panjang umur, maka akan di’nenek’ atau di ‘atuk’kan pula.

Perubahan gelaran dan pangkat diri di samping uban yang mula muncul sehelai dua di kepala merupakan peringatan kepada saya supaya menggesa diri untuk mula giat mengumpul bekalan untuk ke ‘sana’. Persediaan saya untuk kembali kepada al-Khaliq sangat-sangat tidak memuaskan! Diandaikan gred pencapaian di sekolah agaknya saya hanya mendapat ‘D-’ (gagal) atau lebih teruk daripada itu. Allah…!

Wahai diriku yang sentiasa alpa,
bangunlah, bangkitlah…agungkanlah Tuhan dan Rasulmu!

Waktu yang silih berganti, dasawarsa yang datang dan pergi pasti akan mengubah status dan gelaran setiap diri. Pangkat yang diberi kepada kita secara automatik ini tanpa kita memintanya, mahu tidak mahu haruslah kita menerimanya dengan lapang dada dan senang hati.

SUATU KETIKA dahulu, mata kita terang, kulit tegang, rambut legam.
SUATU KETIKA akan tiba saatnya mata kita rabun, kulit kendur, rambut putih.
SUATU KETIKA pasti tiba detiknya, maut datang menjemput!

Anda, bagaimana?

Tuesday, November 4, 2008

KAKI AYAM PUNYA PASAL

Ahad lalu saya telah minta tolong emak untuk belikan sedozen kaki ayam kerana anak saya sangat suka kaki ayam. Sentiasa ada stok walaupun saya sendiri agak geli dengan kaki ayam. Tapi anak punya pasal, terpaksalah juga...

Maka emak pun membelikan RM2 kaki ayam. Mak tidak menyangka kaki ayam RM2 begitu banyak kuantitinya (penuh plastik beg). "Nak cancel, malulah pulak, beli ajelah," kata emak. "Lagipun murah sangat," katanya lagi. Demikianlah murahnya nilai 'sepasang' kaki ayam.

"Nak buat apa pun tak tau," beritahu emak pening memikirkan kaki ayam yang terlalu banyak. Akhirnya mak merebus kaki-kaki ayam itu supaya mudah disimpan dan tahan lama.

Bagi memecah kebuntuan emak, lalu saya tawar diri untuk memasaknya...resipi paling mudah dan cepat ialah tomyam, tambahan pula kaki ayam pun emak sudah rebus. Mudahlah sedikit kerjanya. "Tak palah mak, biar 'orang' jamu orang di pejabat esok," kata saya. Emak lega mendengarnya lalu pantas dia memetik daun limau purut dan mengambil serai yang ditanamnya.

Kalau diikutkan, saya ini dikategorikan orang yang malas memasak, tapi kerana kesiankan emak yang membelikan kaki ayam, maka saya paksa diri.

"Aik, tak luak pun kaki ayam. Engkau letak banyak mana?" tanya mak.

"Banyak dah. Banyak-banyak nanti takut orang geli nak makan," jawab saya.

Maka hari ini, rakan-rakan di pejabat dijamu dengan tomyam kaki ayam. Tak sangka pula mereka ini selamba saja makan kaki ayam (hingga ke sekecil-kecil sendi ayam pun licin!)...

Lebih menarik, jiran sebelah meja saya, Suriati pula membawa mi kari...saya cuma dapat mengecap 'seround' saja mi karinya. Untuk pusingan kedua, saya tidak berpeluang kerana kuahnya sudah habis...huaaaaaaaa...huaaaaaaaaa!

Sahabat lama, En. Abu pula membawa sebekas kuih tradisional bernama 'kalamai' (or is it kelemai, ejaannya?) Sedap, ala-ala kuih bulan enaknya. Menurut En. Abu penyediaannya hampir sama dengan menyediakan lemang...dimasak di dalam buluh, cuma tidak dimasukkan gulungan daun pisang sebagaimana lemang.

Sesuatu yang saya akui...orang-orang di Galeri Ilmu memang sejak dulu murah rezeki dengan makanan... itulah 'berkat' barangkali. Wallahua'lam...
P/S: Terima kasih Khairul, En. Yusof dan En. Zuraimi yang telah sudi menolong mengangkat naik dua belanga 'kaki ayam' saya.