Sunday, September 7, 2008

Puasa di perantauan 1

Entah mengapa tetiba teringat kisah kira-kira lebih 2 dasawarsa lalu sewaktu menghuni bumi England beberapa tahun. Ketika itu usia saya baru menginjak awal remaja. Teringat kenangan berpuasa di sana.

Emak dan ayah yang ditua-tuakan oleh pelajar-pelajar di sana sering menjadi tumpuan dan tempat merujuk. Kalau nak makan mereka akan cari rumah Ustaz Pauzi dan Kak Nah. Rumah kami terletak di Kent di kampung Sturry dan bandarnya Canterbury. Kent terletak di South-East, England. (info tambahan: Kent: negeri Orlando Bloom gitu!)

Setiap dua minggu ayah akan mengadakan usrah di rumah kami bagi mengisi rohani anak-anak Melayu di sana. Maklum saja, ujian dan duga di perantauan sangat banyak, maka mudah saja iman tergugah. Justeru, pelajar-pelajar yang menetap di London turut turun ke Kent.


Ramailah tetamu datang ke rumah pada hujung minggu setiap dua minggu sekali, baik pelajar dari London mahupun yang tinggal di Whistable dan Canterbury sendiri yang menuntut di University of Kent berkunjung ke rumah untuk sesi usrah/kuliah agama yang ayah sampaikan.
Macam-macam pe'el dan perangai. Yang tak pernah solat pun ada, yang solat sekali-sekala juga ada. Begitu juga pada bulan Ramadan ada yang puasa ada yang tidak.

Ada seorang pelajar yang memberitahu, "Saya, puasa tu puasa ustaz. Tapi cukup 14 jam puasa sama waktu Malaysia, saya bukalah." Selamba saja dia bercerita tanpa segan.

Memang benar, jika Ramadan jatuh pada musim panas, maka Maghribnya lambat masuk berlarutan hingga jam 9 malam. Tapi itu bukan alasan untuk seseorang itu tewas dalam menamatkan puasa hariannya. Saya juga pernah tewas untuk menghabiskannya. Apa pun usia saya yang masih keanak-anakan waktu itu boleh diampunkan lagi...usia yang belum mewajibkan saya menanggung dosa!

Ada pula yang berkata, "Ustaz, kalau puasa jatuh musim summer saya tak puasa. Saya ganti puasa masa winter," juga tanpa silu. Pada musim sejuk, jam 3 petang sudah masuk waktu Maghrib. Perlu puasa hanya beberapa jam sahaja berbanding musim panas yang tempoh puasa menjangkau 18-19 jam. Begitu hukum alam di negara empat musim.

...ajaran dari mana mereka ini pakai? Tidaklah kami tahu dengan pasti...ciptaan sendiri barangkali. Sabar sajalah!

Kepada adik-adik yang bakal menjadi anak rantau atau sedang menjadi anak rantau, teguhkanlah iman. Berdampinglah dengan mereka yang baik amal ibadahnya dan dekatilah alim ulama yang ada di sana. Bertanya pada yang tahu. Jangan gadaikan iman kerana ujian yang sebenarnya tidaklah sehebat mana. Jangan kerana merebut jaya akademik yang menjanjikan segulung ijazah, agama dipinggirkan. Sesungguhnya pengisian rohani dengan hal-hal agama ialah proses berterusan sehingga akhir hayat. Moga selamat dunia dan akhir. Itulah sebenar-benar bekalan hidup ini.

Hari ini pelajar-pelajar yang pernah menjadi teman rapat semasa di sana telah menjawat jawatan besar-besar di tanah air. Didoakan mereka ini sentiasa dalam rahmat Allah dan sering mendapat pentunjuk daripada-Nya.
Wallahua'lam.

Monday, September 1, 2008

Mujur umur masih panjang

Kejadian ini berlaku hari ini beberapa jam lalu. Anak saya di ruang tamu menonton Shrek. Tika itu saya di dapur membasuh periuk nasi dan pinggan kotor yang berbaki. Tiba-tiba anak saya berlari ke dapur dan menerpa saya. Matanya dah terbalik dan dia mencungap seakan-akan hampir putus nyawa. Kelihatan seperti tercekik...

Naluri saya mengatakan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Lantas tangan saya melempar periuk di tangan dan senduk nasi terpelanting ke lantai dapur, bukannya ke singki. Begitu keadaannya apabila kita panik, bertindak di luar jangka dan duga.

Segera saya capai anak dan menunggangnya kepala ke bawah dan kaki ke atas. Luar biasa juga tenaga saya ketika itu...entah dari mana datangnya tenaga itu saya tidak pasti. Biasanya saya tidak terdaya hendak mengangkat dan mendukungnya kerana beratnya telah bertambah.


Beberapa kali menepuk belakang dalam keadaan kepalanya ke bawah...melantun keluar syiling 10 sen dari mulutnya. Serentak itu juga dia muntah...dari mulut dan hidung keluar susu yang baru diteguknya. Segala isi perut keluar. Kasihan sungguh. Lantai dapur melambak dengan susu berbau masam...aduh... tidak terkata betapa paniknya saya.

Syukur nyawanya masih panjang. Tercekik atau tersedak sesuatu di kerongkong boleh menyebabkan maut dalam sekelip mata jika tidak diberi rawatan segera.

Syukur jua kerana anak saya sudah cukup cerdik kerana segera berlari mendapatkan bantuan emaknya.

Juga saya bersyukur kerana pada saat itu saya tidak mandi di bilik air kerana tidak mungkin anak kecil itu berjaya berlari ke atas dan tidak mungkin dia mampu menjerit minta dibantu. Tidak mahu saya bayangkan jika saat itu saya benar-benar di tingkat atas. Tentu sekali tidak sempat dia minta bantuan.

Sukar bagi saya untuk memaafkan manusia yang tidak bertanggungjawab meninggalkan duit syiling ataupun apa-apa objek kecil di sana sini. Berkali-kali berpesan, berkali-kali berleter, berkali-kali mengingatkannya supaya menjadi insan yang berdisiplin...tapi belum menampakkan kesan. Nasihat...to no avail!

Sakit hati kerap singgah apabila berdepan manusia-manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, tidak ambil peduli langsung susah payah kita menjaga kekemasan rumah. Memerhatikan sikap dan tingkah laku mereka ini, saya tidak hairan mengapa hidupnya sering terumbang-ambing...selagi tidak mahu mendengar nasihat, selagi tidak ada disiplin hidup, tiada jaya yang akan ditempa. Berjaya akademik mahupun kerjaya tidak bermakna kita berjaya menjadi insan yang baik dan di redhai-Nya.
Apa pun syukur alhamdulillah kerana Ammar Hadi pulih...sesungguhnya saya belum bersedia untuk kehilangannya. Mujur juga saya pernah mempelajari ilmu rawatan kecemasan sewaktu di alam kampus dulu melalui PBSM yang saya sertai. Pasti saya akan menambahkan lagi ilmu tersebut melalui pembacaan.

Kepada para ibu bapa, suka saya seru pelajarilah ilmu rawatan kecemasan kerana kita tidak tahu bila waktunya ia diperlukan. Paling tidak, belajarlah ilmu yang asas.
Moga anakanda AMMAR HADI sentiasa dalam lindungan Allah, panjang umur dan paling penting menjadi hamba Allah yang bertakwa. Moga menjadi manusia yang disenangi ramai dan tidak menyakitkan hati orang lain. Dewasa kelak lengkapkan di dada dengan ilmu agama dan amalkannya. Pimpinlah orang-orang di sekeliling kita ke jalan yang diredhai Allah.