Tuesday, May 29, 2012

PENAT

Penat melunaskan kerja-kerja Pesta Buku sudah berlalu. Dua minggu lepas saya penat pula berulang-alik menjemput anak pulang dari sekolah. Selalunya saya bergilir hari dengan suami menjemput anak dari sekolah. Tetapi kerana suami saya tidak berada di dalam negara waktu ini, maka dua minggu lalu saya terpaksa melakukannya seorang diri berkejar di celah waktu kerja menjemput anak dari sekolah dan menghantarnya ke rumah neneknya.

Mujurlah minggu ini sudah mula cuti sekolah, tidaklah saya terkejar-kejar. Namun saya terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana neneknya pula balik kampung. Hendak dihantar ke tadikanya dulu, dia tidak mahu. Apa boleh buat. Terpaksalah membawanya sekali ke pejabat.

Di pejabat, sesekali saya perlu mencarinya di sekitar pejabat kalau-kalau mengganggu orang bekerja. Menjelang tengah hari tadi saya berjumpa anak saya sedang lepak-lepak di bilik Pengarah Urusan. Alahai. Dahulu pernah Pengarah Urusan main kejar-kejar dengan anak saya kerana dia melarikan tin biskut Tuan Pengarah dan menyorokkannya.

Saya membawa bekalan buku dan mainan dari rumah untuk melekakannya di pejabat, tetapi sekejap sahaja dia melayannya.

Rakan-rakan sepejabat pula ada yang rajin melayannya (termasuk Pengarah Urusan). Itulah sebabnya anak saya makin naik tocang.

Walaupun perangai anak kekadang membuatkan saya berasa malu, apa boleh buat. Itulah namanya kanak-kanak yang belum mumaiyiz, belum kenal baik buruk akan tindakannya.

Bagi ibu bapa yang punyai anak yang belum bersekolah atau masih berada di tadika, bolehlah dikatakan masih 'lapang' walaupun sebenarnya tidak. Apabila anak mula melangkah ke alam sekolah rendah, percayalah, hidup anda akan jadi bertambah lintang-pukang.

Melihat keadaan rumah dan anak yang tidak terurus sempurna, hasrat untuk jadi suri rumah sepenuh masa semakin kerap singgah di fikiran. Kekadang saya berasa sungguh penat bekerja dan ada juga berasa bosan. Mahu tinggal saja di rumah uruskan rumah tangga.

Entah ke mana perginya tuan punya mainan ini!

Tuesday, May 15, 2012

EMAK SAYA TAK SUKA 'HARI IBU'

Dalam sibuk kita meraikan Hari Ibu, emak saya adalah antara segelintir ibu yang tidak suka menyambutnya. Jadi dia tidak ambil kisah sangat akan Hari Ibu yang dianggap istimewa bagi kebanyakan wanita yang sudah bergelar ibu dan juga bagi anak-anak yang meraikannya bersama ibu masing-masing.

Bagaimanapun, kami adik-beradik ada juga berkongsi belikan hadiah untuk Emak.

Pernah juga Emak mendapat tokoh 'Ibu Mithali' yang dianjurkan oleh masjid berdekatan rumahnya. Entah siapa yang mencalonkannya. Emak tetap pergi menerima hadiah, tetapi tidaklah teruja mana pun.

Baru-baru ini ketika sebuah stesen TV menyiarkan kisah derita ibu yang terlalu rindukan anak yang sudah sekian lama tidak pulang, Emak sedikit cuak menontonnya.

Memang benar anak tidak boleh sedikit pun menyakitkan hati ibu, tidak boleh derhaka kepada orang tua. Itu tidak dinafikan. Bagaimanapun, Emak saya mempunyai pandangan berbeza.

Kata Emak, "Jangan diungkit kebaikan kita (ibu) menjaga anak-anak. Jangan ungkit susah payah membela dan membesarkan anak. Sebab itu sudah menjadi tanggungjawab, amanah yang wajib dipikul. Tidak mengapa kalau anak tidak menghargainya. Tanggungjawab ibu tidak berkesudahan selagi ada hayat. Adalah menjadi tugas ibu untuk mendoakan, memaafkan dan mengampunkan anak-anak walaupun anak tidak datang meminta maaf. Kalau ada anak yang tidak menjadi seperti yang diharapkan, maafkan sahaja. Jangan ditambah lagi dosa anak kepada kita hanya kerana mereka tidak menghargai kita. Halalkan semua."

Oh! Sungguh mendalam kata-kata Emak walaupun diucapkannya secara bersahaja ketika memberi komen kisah ibu tua yang sedang disiarkan di TV.

Saya memasang telinga, menghargainya dan akan cuba menjadikannya azimat. Yang pasti, saya tidak mampu menjadi sebaik Emak dalam membesarkan anak (malah dalam semua hal rumah tangga). Entah berapa kali sepanjang hidup ini saya menyakitkan hatinya dengan perangai-perangai yang tidak elok khasnya ketika di alam remaja.

Hanya doa dan amalan baik sahaja yang menjadi hadiah terbaik saya untuknya.

Wednesday, May 9, 2012

CORAT-CORET PESTA BUKU ANTARABANGSA 2012

Pesta Buku Antarabangsa 2012 baru sahaja berlalu. Alhamdulillah, sambutan pengunjung di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd lebih baik berbanding tahun sudah.

Tahun ini kami berjiran dengan PTS dan kami saling sokong-menyokong mempromosi produk melalui PA system masing-masing.


CORETAN 1
Ada beberapa ketika, stok buku kami terputus bekalan.

"Kak, saya nak buku Prof. Kamil, kat mana ya. Tak nampak pulak?" tanya seorang pengunjung.

"Alamak, dah sold outlah dik," jawab saya.

Datang pula pengunjung yang lebih tua.
"Dik, buku Bersyukur Saat Diuji ada tak?"
"Minta maaf banyak-banyak kak, stok dah habis."
"Bila nak ada?"
"Saya tak berani nak jawab, kami pun sedang menunggu stok sampai ni."

Bertanya lagi pengunjung lain.
"Buku Prof Kamil yang mana satu ye?"
"Kalau kat sini Bersyukur Saat Diuji. Kalau judul-judul lain kat PTS, kat depan tu je," jawab saya sambil menuding jari hala ke susunan buku motivasi PTS yang hanya beberapa langkah dari gerai kami.
"Saya nak buku dia yang terbaru. Lupa pulak judulnya."
"Bersyukur Saat Diujilah tu. Tapi dah sold out."
Saya mengulangi jawapan yang sama. Entah berapa kali saya menjawabnya kepada pengunjung yang kecewa.

"Saya nak buku Bersyukur Saat Diuji," tiba-tiba ada suara menyapa di belakang saya.
"Maaflah puan, buku Prof Kamil dah habis."
"Ooo tak pa, tak pa. Tak da rezeki sayalah tu.
"Tu lah, ramai sangat dah tanya. Saya pun dah malu dengan Prof (walaupun Prof nun jauh di Madinah)."
"Eh ... tak pa. Kalau siapa yang baca blog dia takkan mengamuk. Hati jadi tenang."

Ya itu bagi pengunjung yang faham dan mengerti dengan 'ujian' sebagaimana yang Prof. Kamil nukilkan dalam tulisannya Bersyukur Saat Diuji.

Ada juga pengunjung yang tidak mengerti, "Habis tu, bila nak ada stok ni? Saya datang dari jauh semata-mata nak beli buku tu, tau tak?"

Ooo sabar sajalah.

CORETAN 2
"Mmmm dik, Galeri Ilmu ni buat buku apa ye?"

"Buku Islami. Motivasi ada, pengetahuan Islam ada. Kanak-kanak ada. Kalau yang ada kat sini, buku motivasi. Yang pasti semua halalan toyyiban," terang saya yang menjaga seksyen buku motivasi.

"Dulu saya suka baca buku Tuah Iskandar. Saya buat koleksi buku dia."

"Oh tu terbitan Karangkraf. Karangkraf kat dewan sebelah ni je kak. Boleh lalu pintu sana."

"Tak ... saya dah tak nak baca buku dia. Dah banyak sangat baca, saya rasa macam biasa je. Benda sama, dah tak ada kelainan. Dah bosanlah," katanya sambil membelek dan menyelak buku kami.

"Mmm, gitu! Kat sini kalau orang perempuan, banyak beli buku ni," kata saya sambil menyuakan buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan, isteri tercinta Prof Kamil.

"Tak naklah buku resipi, saya nak buku motivasi."

"Eh, ni bukan buku resipi, sebab tu judulnya Bukan Sekadar Resipi. Kalau akak tak ambil sekarang, kejap lagi habis stok. Saya pun tak pasti bila stok baru sampai." Saya tidak menipu akan hal ini! Stok memang terhad dan banyak orang datang membelinya.
Matanya melilau kepada pengunjung-pengunjung lain yang pasti mencapai dan membeli buku tersebut.

"Buku ni ada cerita, bukan resipi. Resipi tu hujung-hujung je, sampingan. Cerita dia memang best. Ada yang kena-mengena dengan kita.
"Ooo ye ke," komennya ringkas sambil membelek-belek buku Bukan Sekadar Resipi. "Ehh, jap tadi saya nampak ada resipi tosai. Saya suka makan tosai. Banyak kali dah cuba tapi tak jadi. Nak makan yang orang India buat, tak lalu pulak." Tangannya pantas menyelak-nyelak helaian buku itu mencari bab Tosai.

"Okeylah dik, saya ambil buku ni."

"Tak rugi kak beli. Insya-Allah.

"Mmm, dik, awak ni jurujual yang berkesan."

Saya sekadar menyengih. 'Aku bukan jurujual yang rasmi,' bisik saya dalam hati.

CORETAN 3
"Kak, kat Galeri Ilmu buku motivasi apa yang best?" soal seorang wanita muda sambil duduk bersila di hadapan rak buku-buku baru. "Aduh, penatnya. Saya duduk macam tak pa ya!"

"Kalau saya, semuanya best. Saya tak berani cakap. Kalau saya kata best, mungkin awak tak tak best."

"Betullah kak, dulu orang berebut-rebut beli buku La Tahzan. Saya pun beli juga. Tapi bila beli, saya tak boleh bacalah kak, berat sangat. Saya simpan je buku tu. Saya tak suka buku-buku berat. Kalau yang ada banyak ayat Quran, saya jadi pening.

"Kalau nak ringan, buku nilah," kata saya menunjukkan buku Hai, Darling!.

"Kak, ni sambungan I Love You Too! ke?"

"Ye."

"Yea, best ni. Tahun lepas saya beli. Saya baca habis. Saya suka sebab ringan ada kartun-kartun."

"Penulis dia ada kat sini kejap tadi. Entah mana pulak perginya."

"Eee syoknya. Saya nak tandatangan dia."

'Laaa mana pulak perginya Haji Bad ni, ada peminat nak tandatangan.' Mata saya melilau mencari kelibat si penulis. Sekelip mata hilang.

"Maaflah dik, entah ke mana dia pergi."

"Alaaa, kak carilah dia."

Puas saya mencari di sekitar gerai, tapi tak ada. Barangkali merayau ke gerai-gerai lain.

"Alaaaa," keluhnya lagi.

"Kak, buku ni pasal apa?" soalnya lagi. Di tangannya kini buku Berdua Lebih Baik.

"Pasal macam mana nak cari jodoh. Kalau rasa jodoh berat tak sampai-sampai, haaa elok sangat baca buku ni. Dia ajar macam mana nak dapat jodoh."

"Haaa ... akulah tu ... eh, kak, sayalah tu. Berat nak baca ke buku ni?"

"Sederhana. Tapi kalau hendak seribu daya ... kan?"

"Betul, betul, betul ... " katanya memimik Upin dan Ipin.

"Yang ni pulak buku apa?" Buku Berdua Lebih Baik diletak ke atas riba. Kini dia memegang buku Cinta Tiga Rasa.

"Ooo buku ni, pasal peranan wanita sebagai isteri, ibu dan hamba Allah. Tapi bahasanya santai. Ringan je, gaya bercerita," terang saya.

"Eh, semuanya macam best jek. Macam mana ni kak? Yang mana satu saya nak beli?"

"Beli semualah."

"Mana boleh, kak. Alaf 21 saya tak pergi lagi ni. Bawak duit ciput je."

"Macam nilah. Buku Hai, Darling! Definitely awak suka. Beli je. Satu lagi ambil Berdua Lebih Baik. Amalkan apa yang diajar. Lepas tu, bila dah bertemu jodoh, baru beli Cinta Tiga Rasa. Sebab dia kisah selepas berumah tangga. Okey ke gitu?"

"Oh, okey sangat."

Saya terasa geli hati. Macam-macam perangai dan gelagat pengunjung boleh disaksikan di Pesta Buku.
Akhirnya dia meletak kembali buku Cinta Tiga Rasa ke atas rak dengan hati yang berat.

Tiga coretan ini cuma sebahagian coretan yang variasi di Pesta Buku. Amat meriah. Memenatkan, tapi kami gembira.