Friday, August 26, 2011

KISAH VIP

Anekdot 1

Kawan sekerja adik saya telah berkahwin dengan anak seorang VIP. Sebagai hadiah perkahwinan, dia telah menerima sebuah jam tangan daripada mentuanya. Maka dipakailah jam itu tanpa dikisahnya nilai dan jenama jam tersebut. Dipakainya hingga bercalar-balar.

Setelah sekian lama, kuasa bateri pun habis, lalu disimpannya jam itu. Suatu hari, dibawanya jam itu kedai untuk menukar bateri.

"Jam ni kalau mahu jual berapa laku?" dia bertanya kepada orang kedai, saja sembang-sembang kosong, tanpa berniat hendak menjual jam pemberian mentua itu.

Setelah diteliti jam itu, orang kedai itu memberi jawapan yang mengejutkan.

"Dua belas ribu masih laku lagi," jawab si pekedai.

Terkedu kawan adik saya itu. Barulah dia tahu nilai jam itu, maklum mentuanya VIP.

Jam itu berjenama OMEGA SEAMASTER!

Pengajaran: HARGAILAH PEMBERIAN ORANG KEPADA KITA TIDAK KIRA SAMA ADA IA MAHAL ATAU MURAH!


Anekdot 2

Ketika merancang majlis resepsi perkahwinan anak dan menantu, mentua yang VIP ini bertanya kepada sahabat adik saya itu, "Ada tak mana-mana VIP nak dijemput?" Bangga nadanya!

Yalah, mentua pun VIP, maka setiap segi majlis perlu diatur secara teratur. Maklumlah sebahagian besar jemputan mentuanya pun tentulah VIP lagi kenamaan. Meja-meja hidangan VIP perlu diasingkan dari meja-meja marhaen. Meja khas VIP mesti disediakan supaya tidak kelam-kabut nanti. Nanti malu tuan rumah!

Melihat mentuanya yang mementingkan VIP ini, si menantu menjawab, "Ada, tapi seorang je." Saja nak mengenakan mentuanya.

"Siapa?"

Maka diberilah nama VIP yang seorang itu kepada mentuanya. VIP itu adalah sahabat baik, teman sepengajian sewaktu di London dahulu.

Terkedu bapa mentuanya. Kelam-kabut jadinya kerana dia terpaksa menyusun semula majlis resepsi anak perempuannya itu kerana menantunya mengundang bukan lagi VIP, tapi VVIP.

Meja-meja VIP yang telah siap dalam pelan perancangan terpaksa ditolak ketepi untuk memberi laluan kepada meja VVIP yang seorang itu. Walhal VVIP itu tidak kisah pun kalau mejanya diletakkan bersama tetamu marhaen!

Rupa-rupanya jemputan menantunya itu seorang putera raja yang sudi mencemar duli ke majlis tersebut. Bukan saja putera raja, tetapi statusnya putera mahkota!

Kini putera mahkota itu telah pun menjadi Sultan di sebuah negeri dan sangat dikagumi dan disenangi rakyat jelata kerana sifat tawaduknya. Seorang sultan yang jika sekali pandang, penampilannya tidak banyak beza daripada rakyat jelata apabila baginda turun ke padang meninjau keadaan rakyatnya.

Pengajaran: Sebagai hamba Allah, tidak perlulah kita berbangga-bangga diri. Allah tidak memandang kepada taraf dan pangkat seseorang, tetapi pada takwa yang dipakai oleh hamba-hamba-Nya.

Friday, August 19, 2011

"BARANGKALI SAYA SUDAH MURTAD ... ."

Kawan kepada adik ipar saya cukup berhati-hati apabila memilih teksi untuk dinaiki. Sebelum menaiki teksi dia pastikan pemandunya Islam/Melayu.

Pada suatu hari, kerana tergesa-gesa mengejar waktu hendak ke mesyuarat, dia tidak punya pilihan. Mana-mana teksi yang datang dulu, dia terpaksa naik.

Pun begitu, sikap waspadanya tetap ada.

Pemandunya seorang India. Diteliti nama dan segala maklumat pemandu teksi itu.

"Oh, itu nama saya sebelum Islam," jawab pemandu itu.

Dia cukup lega mendengarnya. Alhamdulillah, Islam rupanya.

Maka berlakulah sembang-sembang antara dia dengan si pemandu teksi.

Rupa-rupanya pemandu teksi itu seorang yang well educated. Memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat.

Biarpun memiliki ijazah tinggi, dia tidak betah bekerja di pejabat berhawa dingin. Tidak serasi duduk di bawah arahan orang, lantas dia memilih kerjaya sebagai pemandu teksi yang tidak terikat dengan sesiapa dan sebarang waktu.

"Alhamdulillah dalam sebulan pendapatan saya mencapai lima ribu," ujar si pemandu teksi. Malah jumlah itu melebihi pendapatan sesetengah orang yang bekerja di pejabat berhawa dingin.

Biarpun sekadar pemandu teksi, jika ada usaha gigih dan ada keyakinan, pasti rezeki ada di mana-mana.

Menyentuh pengislamannya, pemandu teksi itu memberitahu dia memeluk Islam sewaktu di Amerika.

"Kalau saya masuk Islam di Malaysia, barangkali saya sudah murtad," katanya.

Kenyataannya itu tidak mengejutkan kerana ujian seorang muallaf lebih tinggi di negara Islam seperti Malaysia (kononnya negara Islam!). Apa tidaknya, kebajikan saudara baru kadang-kadang tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada badan-badan berwajib mahupun daripada masyarakat sendiri. Berbanding jika seseorang itu memeluk Kristian, missionary yang menjalankan tugas cukup efisien dan sangat menjaga kebajikan orang yang memeluk agama mereka. Malah cuba pula mempengaruhi orang Islam masuk Kristian.

Sesuatu yang mengagumkan tentang si pemandu teksi ini, dia lebih suka mengambil penumpang bukan Islam. Mengapa?

"Saya boleh berdakwah kepada penumpang saya. Tunjukkan keindahan Islam," jelasnya.

Wah, rupa-rupanya dia bukan sembarangan pemandu teksi, dia juga seorang da'i.

Memikirkannya, mungkin kerana keikhlasannya berdakwah ini, di kala para pemandu teksi lain mengeluh tentang pendapatan hasil memandu teksi yang tidak seberapa, lelaki India ini pula stabil pendapatannya. Barangkali Allah melebihkan rezeki kepada hamba yang berusaha memartabatkan Islam di mata bukan Islam.

Monday, August 15, 2011

ANTARA PUASA DAN SOLAT

Saya tidak memaksa anak saya yang berumur enam tahun berpuasa. Saya dulu pun pada usia sembilan tahun masih berpuasa setengah hari!

Namun, jika dia berkata mahu berpuasa, alhamdulillah, walaupun puasanya tanpa bangun sahur, atau kekadang sahurnya selepas waktu subuh. Apa-apa perincian tentang puasa akan diajar dan dipraktiskan secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan usia.

Saya tidak mahu berkeras.

Pada peringkat usia ini, apa yang penting adalah saya mahu mantapkan solatnya dahulu. Ini kerana, solat adalah tiang agama.

Jika mahu dibandingkan dengan puasa, apabila telah dewasa, ibadah puasa lebih mudah ditunaikan berbanding ibadah solat. Ini dapat kita lihat, apabila tiba sahaja Ramadan, rata-rata orang yang tidak pernah solat sepanjang hayat pun, dia akan berpuasa. Orang yang kekadang solat, kekadang tidak solat pun dia cukup rajin berpuasa Ramadan. Baginya, puasa lebih penting berbanding solat. Ajaran daripada mana yang dia dapat, saya tidak pasti!

Cukup susah hendak solat, jangankan anak kecil, orang yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan agama pun sentiasa bermujahadah untuk menunaikan solat. Apatah lagi anak kecil. Jika tidak dimantapkan dari sekarang, apabila besar sukar untuk dilenturkan.

Justeru, pada bulan Ramadan ini saya biarkan dulu bab puasa ini. Namun tetap berdoa agar kesedaran berpuasa dan kepentingan Ramadan itu tetap ada pada diri anak saya.

Bagi ibu bapa yang berkeras mahukan anaknya berpuasa pada usia kecil, saya tiada hak untuk membantah kerana itu anak mereka. Namun suka saya ingatkan, jika seseorang anak kecil itu berpuasa, awasi keadaan dirinya. Awasi tanda-tanda dehydration atau gastrik. Jika ada tanda-tanda itu biarpun waktu berbuka puasa hanya beberapa minit lagi, janganlah dipaksa anak itu berpuasa. Izinkan anak berbuka puasa, kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada anak, ibu bapalah yang bertanggungjawab!

Thursday, August 11, 2011

TELEFON BIMBIT LAHIRKAN GENERASI BIADAB TERHADAP ALLAH

"Sesiapa yang ada handphone, sila matikan kerana kita sekarang berada dalam majlis ilmu Allah. Sebarang gangguan, akan menghilangkan berkatnya," ujar ayah sebaik memulakan kuliah agamanya. Maka, semua hadirin mematikan telefon bimbit masing-masing. Bukan 'silent mode', tapi memang dimatikan.

"Tiada panggilan yang lebih penting selain daripada panggilan Allah," demikian bunyi pesanan yang ditampal di dinding bersama gambar isyarat supaya dimatikan telefon bimbit tatkala melangkah masuk ke rumah Allah, sama ada musolla, surau atau masjid. Mendalam mesejnya, tetapi berapa ramai yang mematuhinya?

Ayah saya mengkategorikan orang yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit yang tidak dimatikan di tempat-tempat sedemikian sebagai orang yang sangat biadab kepada Allah. Tidak menghormati majlis dan tempat-tempat mulia sedemikian.

Merenung kembali kata-katanya itu, benarlah apa dimaksudkannya itu.

Inilah sebabnya mengapa kebanyakan kita susah menerima ilmu yang disampaikan, biarlah beribu kuliah agama pun yang kita hadir dan dengar, perangai dan akhlak kita tetap begitu juga. Tiada peningkatan.

Apa tidaknya, dalam halaqah ilmu yang kita duduk itu, sesekali kedengaran bunyi deringan telefon bimbit. Beraneka nada dering kedengaran, yang kekadang mengundang sindiran halus daripada ustaz-ustaz yang sedang menyampaikan kuliahnya.

Bukan fokus si pemilik telefon itu saja yang terganggu dek deringan itu, bahkan seluruh hadirin hilang khusyuknya terhadap ilmu yang disampaikan. Deringan itu berbunyi hanya beberapa saat, namun ia telah memutuskan talian berkat!

Panggilan dan SMS menjadi teman akrab walau di mana manusia hari ini berada. Malang sungguh! Bagi golongan muda yang sedang mabuk bercinta, berbalas-balas SMS menjadi perkara lumrah dan terbawa-bawa hingga ke majlis ilmu. Sungguh cuak melihatnya. Majlis semulia itu dicemari dengan jari-iemari menekan-nekan pad kekunci telefon bimbit. Itu belum lagi diambil kira 'melayan laman sosial' di telefon.

Tidak perlu melihat jauh, di tempat saya bekerja ini pun (maaf, ini kisah membuka pekung), sebelum mula kerja, staf akan berkumpul untuk bacaan doa. Bacaan doa tidak sampai pun dua minit. Tapi ada juga yang sanggup menjawab panggilan telefon lantaran telefon tidak dimatikan. Cacat sudah majlis doa!

Tidak bolehkah ditumpukah seketika untuk menghayati bait-bait doa yang dipanjatkan? Bukan lama pun, cuma beberapa saat. Walhal, doa dalam kehidupan seorang Muslim amatlah penting, bahkan menjadi senjata dan pelindung orang Mukmin! Penting sangatkah panggilan itu berbanding munajat kita kepada Yang Maha Kuasa?

Itu baru majlis bacaan doa. Belum disingkap surau wanita yang rakan sekerja menggelarkan surau wanita ini 'pasar ikan'. Surau itu rumah Allah, tapi sentiasa dicemari dengan pelbagai bunyi daripada telefon bimbit dan dilatari pula suara sumbang dan gelak ketawa.

Teringat saya kepada kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Amaluddin semasa di pejabat lama dahulu, apabila ada orang sedang solat, maka orang lain yang berada di situ hendaklah diam.

Sebarang bunyi tentu akan mengganggu khusyuk orang yang sedang bersolat. Pun begitu, tidak semua surau wanita bising. Ketika saya berkunjung ke beberapa negara Arab, bahagian jemaah wanita di masjid tidaklah bising biarpun jemaahnya ramai. Mereka amat menghormati rumah Allah tanpa membuat bising. Maka kesimpulan yang saya dapat, akhlak wanita Islam Malaysia (orang Melayu khasnya) apabila memasuki rumah Allah sangatlah rendah! Sungguh biadab.

Allahu akbar!

Saya percaya 95 peratus SMS dan panggilan yang diterima saban hari terdiri daripada hal-hal yang remeh-temeh, bukan mustahak. Maka berusahalah untuk tidak melayan seketika telefon itu.

Setidak-tidaknya apabila berada di rumah Allah, atau di majlis-majlis ilmu silent modekan telefon anda. Jika mendapat panggilan atau SMS, beritahulah pemanggil atau penghantar SMS, "Saya akan hubungi kembali selepas selesai majlis ilmu ini."

Alasan 'lupa nak offkan' atau 'lupa nak silentkan' sudah lapuk dan klise.

Teringat kepada seorang pemanggil di Sinar Pagi, beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila terdengar deringan telefon jemaah ketika khutbah Jumaat sedang disampaikan. Komen Abang Jem (Salih Yaakob), "Matikanlah telefon tu, lepas tu tanam."

Tika orang lain menjadikan telefon masing-masing bagaikan nyawa, saya tidak menjadikan telefon bimbit sebagai benda penting dalam hidup saya. Lantaran itu, saya kerap meninggalkan telefon saya di merata tempat. Maka apabila hilang atau terlupa bawa, saya tidak berasa gelisah sangat. Malah ketika anak-anak muda berlumba-lumba membeli telefon canggih model terkini, saya masih menggunakan telefon bimbit basic. Lampu skrinnya pun masih berwarna kuning. Lima, enam tahun sudah usianya.

Ketahuilah, telefon bimbit anda itu, turut akan dipanggil menjadi saksi di mahkamah Allah nanti.

Friday, August 5, 2011

PENULIS YANG DISENANGI


Saya cukup menyenangi penulis yang seorang ini, Haji Zainal Haji Bujang. Buku pertama beliau bersama Galeri Ilmu berjudul Labbaikallah dan terbaru "Selamat Pagi, Cikgu!" dan ada sebuah lagi manuskripnya sedang dalam proses penerbitan, juga berkaitan haji.

Beliau sebenarnya sudah banyak menerbitkan buku berkaitan haji dan umrah, namun diterbitkan oleh penerbit lain.

Mengapa saya menyenanginya?

Kerana beliau adalah penulis yang paling tidak berkira. "Buatlah apa yang patut," beritahunya melalui khidmat pesanan ringkas, setiap kali beliau menyerahkan manuskrip baru. Baginya, manuskrip yang diserahkan pada penerbit adalah hak mutlak penerbit untuk 'membedah'nya kerana beliau yakin apa yang penerbit buat tentunya untuk kebaikan dua pihak (penulis dan penerbit).

Beliau menulis juga bukan untuk mengumpul royalti bertimbun, bukan juga untuk mencari glamor tetapi untuk berdakwah. Saya kira, penulis beginilah yang dikategorikan sebagai da'i yang sebenarnya.

Berbekalkan pengalaman luas sebagai seorang guru, bahasa tulisan Haji Zainal sangat baik. Sesekali menghantar SMS bertanyakan progres buku beliau, bahasanya cukup berlapik. Apabila tiba musim beliau membawa jemaah ke Tanah Suci, SMS tetap dikirim.

"Kalau ada berita gembira tentang "Selamat Pagi, Cikgu!" tolonglah bagitau, dapat juga buat kenduri kesyukuran kat Mekah ni."

Itu text message yang saya terima pada 31 Julai 2011.

"Insya-Allah. Tn haji tolong juga doakan kami di sini ya," balas saya.

Semalam 7 Ogos, saya mengirim SMS kepada Haji Zainal di Makkah.

"Assalamualaikum Tn. Hj. Selamat Pagi, Cikgu! dah siap cetak. Harap maklum."

Dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, saya menerima balasan SMS daripada Haji Zainal yang berbunyi:

"ALLAHU AKBAR. SERONOKNYA. RASA NAK BALIK SEKARANG JUGA. KEBETULAN SAYA DEPAN KAABAH TIKA SMS PUAN DITERIMA. TERPANGGIL & TERSENTUH HATI KERDIL INI UNTUK MELAMPIAS SYUKUR KHUSUS UNTUK PUAN & GALERI ILMU YANG BEGITU CAKNA TERHADAP SAYA. SAYA BERDOA AGAR SELAMAT PAGI, CIKGU! & SELURUH WARGA GALERI ILMU SENTIASA DALAM LEMBAYUNG RAHMAT & REDHA ALLAH SWT. ALLAHU AKBAR."

Saya menghantar jawapan balas kepada Haji Zainal: 'Amin, amin ya Rabbal 'alamin.'

Allahu akbar. Begitu tulus doanya apatah lagi ia dipanjatkan di bumi yang paling berkat di muka bumi ini.

Sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2011, April lalu, kebetulan beliau di Tanah Suci. Namun sekembalinya ke Malaysia dan belum lagi kendur penatnya, beliau terus SMS, "Apa yang saya boleh bantu untuk Pesta Buku?" Sungguh komited penulis ini.

Ini kelebihan penulis-penulis yang sudah veteran. Wujudnya mereka sebagai penulis di penerbit, dapat meneutralkan perasaan geram para editor terhadap kerenah penulis-penulis yang baru setahun jagung, namun sudah mula menunjukkan ego melangit.

Kepada penulis-penulis muda ini, belajarlah daripada mereka yang sudah veteran ini.

Khusus doa saya buat Haji Zainal, moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia agar dapat terus menyumbang bakti dalam menegakkan syiar Islam melalui penulisannya. Amin.

Wednesday, August 3, 2011

DI SEBALIK TULISAN SYOK SENDIRI

Awal penulisan saya di blog adalah untuk syok sendiri. Namun, lama-kelamaan, post saya dengan sendirinya menjadi lebih formal dan serius. Lebih berfokus untuk memberi teladan kepada pembaca biarpun masih dalam kategori 'syok sendiri'.

Saya tidak kisah sama ada ada orang membacanya atau tidak. Dan saya juga tidak pasti setakat mana isi penulisan saya mampu mengubah orang lain. Walau bagaimanapun, apa yang disampaikan oleh adik saya tempoh hari, meyakinkan saya apa yang kita titipkan dalam penulisan dengan niat membawa orang lain ke arah kebaikan, akan ada pahalanya.

Biarlah tulisan kita tidak sehebat penulis termasyhur, biarlah tulisan kita tidak ramai yang membacanya, biarlah tulisan kita tidak setanding dengan tulisan blogger-blogger selebriti asalkan kita menulis dengan niat menyampaikan dakwah dan fikrah Islam. Yakinlah impak kepada masyarakat memang ada walaupun lebih kecil daripada saiz atom.

Adik saya pernah didatangi oleh rakan sepejabat. Rakan tersebut mengadu tentang masalah hidupnya, masalah rumah tangga, masalah anak yang entah bagaimana dimasukkan ke lokap. Adik saya sekadar mendengar. Hendak memberi nasihat dia bukanlah pakar motivasi.

Saya pernah menulis tentang Rahsia 40 di blog saya yang tidak seberapa ini. Yang kerap membaca blog ini adalah adik-beradik. Adik saya teringatkan artikel saya itu, lalu menyarankan rakan sekerjanya itu melakukan apa yang saya tulis dalam artikel berkenaan, iaitu menunaikan solat Subuh di masjid selama 40 hari berturut-turut tanpa tertinggal satu pun takbir pertama.

Pada mulanya rakannya itu agak skeptikal malah sinikal tentang saranan adik saya itu. Tidak yakin solat sedemikian mampu mengubah hidup seseorang. Kemudian rakannya itu dicabar oleh isteri sendiri. Isterinya mencabarnya dengan kata-kata, "Orang perempuan mengandung sembilan bulan lagikan boleh, inikan pula hanya empat puluh hari."

Tercabar dengan kata-kata isterinya, dia pun melakukannya, iaitu bersolat Subuh berjemaah di masjid selama 40 hari berturut-turut.

Kesannya memang ada. Dia dulu seorang perokok, kini sudah berhenti merokok, tiada lagi nafsu dan ketagih rokok. Rumah tangga bertambah baik. Anak-anak sudah mahu menjaga solat, tidak susah-susah nak ditegur lagi. Walaupun perubahan itu tidak berlaku mendadak, ia jelas nampak datang bertahap-tahap. Itu sudah cukup untuk membuktikan kekuasaan Allah. Selangkah kita mendekati-Nya, Dia pasti tidak mensia-siakan kita.

Kini rakan adik saya itu yakin akan hikmah rahsia 40. Malah kini dia sudah istiqamah solat berjemaah di masjid kerana yakin bantuan Allah disalurkan melalui solat Subuh itu.

Rahsia 40 ini saya peroleh daripada kuliah agama Ayah. Saya sampaikan pula dengan menjadikannya tulisan artikel di blog ini untuk dibaca oleh sesiapa sahaja dan untuk dijadikan teladan.

Ilmu agama saya memang cetek, akademik saya juga tidak berlatar belakangkan agama, maka saya tidak layak menjadi da'i gred A ... gred D mungkin. Cuma saya dibesarkan dalam keluarga yang memberatkan agama dan bersandarkan Ayah yang merupakan seorang ustaz. Itu sahaja! Selebihnya saya kutip melalui pembacaan dan menghadiri serta mendengar kuliah-kuliah agama dari mana-mana.

Jika ada kebaikan daripada penulisan saya ini, moga Dia catatkan pahalanya dan dirahmati kepada empunya sumber yang saya ambil dan juga mereka yang menyampaikannya daripada apa yang saya tulis. Itu saja yang termampu saya lakukan.

Seruan saya kepada pemilik blog, tulislah sesuatu yang boleh mengubah manusia daripada kita merapu tak ketahuan!

Tuesday, August 2, 2011

TERSASUL

Dek kerana lebih daripada seorang penulis yang nama mereka lebih kurang sama, sudah beberapa kali saya tersasul menghantar e-mel.

MOHD. HISHAM SHARIF penulis buku Begini, Sayang!

HISHAMUDDIN A.R. penulis Ramadan Terakhir.

HISHAM AHMAD bukunya bakal terbit.

Dalam kepala Hisham lain, tapi apabila klik ke alamat e-mel, Hisham lain yang saya e-melkan.

Apabila berserabut dan kelam-kabut dengan kerja yang semakin menimbun, mulalah saya melalut dan tersasul, lebih-lebih lagi apabila semuanya hendak cepat.

Lintang-pukang jadinya.

Dulunya segan juga apabila menerima balasan e-mel sebegini: "Rasanya puan tersalah e-mel ni."

Sekarang tidak lagi. Saya sudah lali walaupun penulis belum lagi lali dengan ketersasulan editor. Apabila sudah menjadi asam garam komunikasi dengan penulis, rasa segan itu saya ketepikan.

Terima sajalah kekurangan diri. Nobody's perfect!