Wednesday, May 18, 2011

RAHSIA 40

"Empat puluh ada rahsianya," ujar ayah saya kepada sidang kelasnya pada suatu hari Sabtu malam Ahad. Dia menghuraikan hadis 40. Setiap dua minggu pada hari Sabtu berkumpullah murid-muridnya di rumah menuntut ilmu agama.

"Kata Imam Ghazali, orang yang berumur empat puluh tahun, tapi masih tak berubah-ubah, susahlah nak berubah ... ." Saya kekadang menelinga juga kuliah Ayah dari sebelah almari yang memisahkan di antara ruang tamu dan ruang santai.

Rupa-rupanya, angka 40 ini banyak fadilatnya.

"Kalau anak-anak bermasalah, keluarga bermasalah, maka ketua keluarga perlu membetulkannya. Tidak boleh biarkan keluarga kita begitu saja.

"Kalau mahu melihat anak kita berubah, maka cubalah seorang ayah ajak anak berjemaah Subuh di masjid tanpa tertinggal takbir pertama selama empat puluh hari. Kalau anak tidak mahu, mulakan dengan diri kita dulu. Insya-Allah, anak akan berubah, keluarga kita akan berubah ... .

"Pernah seseorang datang berjumpa saya mengadu perniagaan restorannya ada masalah, maka saya sarankan dia berjemaah Subuh di masjid selama empat puluh hari berturut-turut tanpa tertinggal satu pun takbir pertama. Dan dia buat. Kemudian dia datang berjumpa saya dan memberitahu perniagaan sudah tak ada masalah, malah bertambah baik. Sejak itu, dia tidak pernah tinggal berjemaah Subuh di masjid," ujar Ayah.

Saya yang mendengarnya mengangguk-angguk, mula faham mengapa banyak keluarga hari ini bermasalah. Anak-anak sukar dibentuk, degil tak mendengar kata. Rahsianya pada angka 40 yang perlu dilaksanakan oleh ketua keluarga.

Maka, jangan kita salahkan anak-anak atau isteri jika mereka membawa masalah, semuanya berpunca daripada si ayah atau suami yang membelakangkan perintah Allah!

Hari ini berapa banyakkah para bapa/suami yang membelah kedinginan pagi Subuh untuk berjemaah di masjid? Kalau ada pun ada yang kantoi di tengah jalan tidak genap 40 hari berturut-turut atau tertinggal takbir pertama.

Thursday, May 12, 2011

CERITA MENGGARU

"Nak gi mana tu," saya menegur Ammar Hadi yang sudah dua tiga kali keluar masuk bilik air.

Jam baru dinihari. Dua tiga kali saya terjaga kerana perbuatannya itu. Mula-mula saya sangkakan dia hendak buang air. Tetapi kalau acap kali bangun daripada tidur untuk ke bilik air, mesti ada masalah, sakit mungkin.

"Nak gi toilet," katanya mamai dan terpisat-pisat.

"Dah banyak kali Ammar masuk toilet. Kenapa? Sakit perut ke?"

"Tak."

"Nak muntah?"

"Tak."

"Kencing?"

"Tak."

"Main air?"

"Tak," jawabnya lagi meneruskan langkah ke bilik, terhoyong-hayang melawan kantuk.

Kerana mengantuk, saya tidak mengikutnya ke bilik air untuk melihat apa yang dibuatnya. Sekadar melihatnya dari luar bilik air. Kalau nak buang air, tentu awal-awal lagi dia sudah membuka seluar sebelum masuk ke bilik air.

Terdengar bunyi air paip seketika. Kemudian dia keluar dan naik semula ke katil. Basah baju dan seluar.

"Kenapa basah ni?"

"Ammar ambik wuduk," jelasnya dan menyambung tidur.

"Oh." Saya tidak meneruskan pertanyaan yang masih berbaki, dan terus menyambung tidur.

Usai subuh esoknya saya menyambung soalan.

"Kenapa banyak kali Ammar bangun ambik wuduk malam tadi."

"Sebab Ammar gatal, Ammar garulah."

"Yalah, kenapa garu sampai kena ambik wuduk?"

"Sebab Ammar garu banyak kali. Kan Mak kata kalau wuduk habis, setan tidur dengan kita." Sememangnya sebelum tidur saya mengajar berwuduk dahulu.

Namun, saya masih tidak dapat mengaitkan garu dengan mengambil wuduk. Apa kena-mengena garu dengan berwuduk?

"Kalau garu, wuduk tak habislah. Ammar faham tak? Kan dulu Mak dah cakap, kalau kentut atau buang air atau pegang 'konek' baru hilang wuduk."

"Yalah, Ammar garu konek."

Saya hampir hendak ketawa.

"Wah, bagus betullah anak Mak. Sanggup bangun malam ambik wuduk." Saya memang kagum dengan tindakannya itu kerana saya sendiri pun tak terbangun semata-mata hendak memperbaharui wuduk dalam tidur.

"Ammar garu macam mana? Di dalam atau di luar seluar?"

"Luar. Macam ni ... " ujarnya sambil menunjuk cara garu.

"Oo macam tu, kalau garu di luar seluar, wuduk tak hilang. Kalau di dalam seluar, betul kena konek baru wuduk hilang."

"Ohhh."

"Tapi eloklah tu Ammar bangun ambik wuduk. Tak kisahlah kena konek ke tak."

Seharusnya saya meneladani tindakannya itu, tapi hingga kini saya tidak terdaya untuk bangun sepertinya, apatah lagi untuk bertahajud dan berqiamullail, untuk bangun dinihari suatu penyeksaan yang masih belum saya mampu atasi.

Tuesday, May 10, 2011

PANAS DAN RINDU

Sudah tiga malam saya tidak dapat tidur lena ekoran cuaca panas melampau. Kipas siling dan meja pada kelajuan maksimum juga tidak mampu meredakan bahang yang menguasai bilik tidur. Semuanya gara-gara penyaman udara yang tidak berfungsi sejak sekian lama kerana tidak diselenggara.

Bilik tidur itu paling panas kerana beberapa faktor. Antaranya ia menerima paling banyak cahaya matahari kerana tiada apa-apa yang memberi teduhan. Matahari tenggelam pun menghadap tingkapnya. Bilik ini juga tiada lubang udara kerana ketika ubahsuai rumah dahulu, suami saya menutupnya kerana hendak memasang penyaman udara dan mahu menjadikannya kalis bunyi.

Apabila cuaca panas dan penyaman udara pula tidak berfungsi, beginilah jadinya. Dari sehari ke sehari, suami saya mahu memanggil orang membaikinya tetapi dek kesibukan kerja, maka saya belum nampak bila ia akan diperbaiki.

Apa pun, cuaca panas dan bahang yang melanda ini saya jadikan iktibar. Saya memerhati ke luar rumah dan dalam perjalanan ke tempat kerja juga saya memerhati, daun-daun di pokok sedikit pun tidak bergoyang menandakan tiada angin yang bertiup. Daun bergerak-gerak hanya apabila ada kenderaan lalu-lalang mencetuskan angin.

Cuaca panas ini mengingatkan saya sewaktu bertugas di Myanmar dulu. Suhunya lebih panas. Ada ketikanya mencecah 46 darjah Celsius.

Jika panas di dunia pun tidak tertahan apatah lagi di Mahsyar nanti, dan di neraka pula bagaimana?

Maha Suci Allah yang mengatur segala pergerakan alam ini. Sedarlah wahai manusia, bahawa selama engkau hidup di bumi-Nya ini, engkau sebenarnya hidup dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Dia memberi udara untuk kita bernafas, Dia memberi awan untuk teduhan dan hujan. Jika tidak kerana kasih sayang Tuhan, kita pasti menggelupur hidup terseksa.

Hari ini Dia hanya menguji kita sedikit dengan cuaca panas, itu pun kerana mahu membawa kita kembali kepada-Nya lantaran perbuatan kita jugalah berlakunya cuaca panas. Lalu Dia perintahkan angin supaya tidak bertiup.

Saya sungguh rindu zaman kanak-kanak di mana cuacanya tidak begini. Apabila mendongak ke langit pada malam hari, masih kita dapat melihat bintang-bintang berkerlipan indah bertaburan di dada langit. Hari ini untuk melihat sebutir dua bintang di langit pun amat sukar. Itu pun terkadang yang disangka bintang itu rupa-rupanya satelit yang terapung di angkasa.

Saya juga rindu pada embun pagi yang berjuntaian di hujung rumput dan dedaun pohon. Suci dan indah sekali apabila ia memantul cahaya matahari. Hari ini, kalau kita perhatikan, embun juga sudah tiada kelihatan melainkan di hutan belantara.

Saya turut rindu pada suasana dulu di mana anak-anak bebas berlari, bermain dan bebas ke mana-mana tanpa kita khuatiri keselamatan mereka lantaran jenayah belum berleluasa dan pengaruh globlisasi mudarat belum bermaharajalela.

Wahai Tuhan, sungguh cuaca panas ini berpunca daripada tangan-tangan manusia yang tamak haloba. Engkau datangkan ia agar kami kembali taat bersujud kepada-Mu.

Jangan kita mencela cuaca panas ini kerana ia hanya mematuhi perintah Tuannya.

Thursday, May 5, 2011

TAK KENA BAYAR

"Saya nak tau, barang ni kena zakat ke tak?" soal saya sambil menghulurkan seutas rantai emas kepada pegawai di kaunter PPZ.

Dia tersengih menampakkan giginya yang sedikit jongang, "Tak kena bayar ni."

"Ya ke? Kot la kena pulak ... ."

"Kenapa, tak pernah pakai ke?"

"Tak pernah."

"Kenapa tak pakai?"

"Tak minat barang kemas." Pegawai itu semacam bingung dengan jawapan saya. Beli barang kemas tapi tak pakai. Ada juga perempuan yang tidak minat dengan kilauan barang kemas emas. Lalu saya menjelaskan, "Itu hantaran kahwin dulu. Memang tak pernah pakai, sebab tu nak tahu kena zakat ke tidak?"

"Sekali pun tak pernah pakai?"

"Tak."

"Oh ... ." Baru dia faham dan menimbang rantai emas saya. "Tak kena zakat. Timbangan tak cukup. Kalau tambah dua gram lagi baru kena," ujarnya sambil memulangkan rantai saya itu dan sekali lagi tersengih menampakkan gigi jongangnya.

"Alhamdulillah, terima kasih. Bukan apa saya takut berdosa tak bayar zakat tertunggak bertahun-tahun dah rantai ni." Sejak mendapat rantai itu sebagai hantaran kahwin (walaupun saya tidak memintanya) saya terus menyimpannya, tidak terpesona langsung hendak memakainya. Lainlah kalau dinar emas Kelantan yang menjadi minat saya. Tapi sehingga kini tidak berkesempatan memperolehnya kerana sukar didapati dan cepat pula sold out.

Saya meninggalkan kaunter dan pejabat PPZ yang kosong tidak berpelanggan itu dengan lapang dada. Bolehlah simpan saja rantai itu tanpa perlu memakainya.