Friday, April 23, 2010

SUATU MONOLOG MENITI USIA YANG SEMAKIN SENJA

24 Rabiulakhir baru lalu, meningkat setahun lagi usia. Genaplah empat dasawarsa. Kata orang inilah waktunya kita perlu membuat titik perubahan (turning point). Jika tidak berubah dari sekarang menuju kebaikan, bererti sukarlah kita mahu mengubah diri. Malah barangkali menjadi lebih teruk lagi.

Lalu aku merenung diri, bermuhasabah. Bermonolog!

Apa yang telah hamba-Mu ini capai sepanjang Engkau tiupkan roh ke jasad ini?

Aku mencongak-congak diri menimbang buruk baik diri. Hasilnya, aku dapati diri ini lebih banyak yang buruknya.


Jadi bila lagi hendak berubah diri sedangkan diri meniti usia yang semakin senja?

Iman!

Iman di jiwa tidak dieksploit sepenuhnya. Mahu, tapi kurang berjaya. Prestasi syaitan dan nafsu nampaknya lebih cemerlang.

Aduh!


Saban hari, saban malam, aku niatkan dalam diri ‘konon-konon’ mahu bangun dinihari bermunajat, bertahajud kepada-Nya. Bermesra dengan-Nya. Jam telefon yang aku laraskan tiga pagi, tidak gagal menggera mengejutkan aku. Tapi adakah aku bangun?

Tidak.

Kuat sungguh tarikan tilam dan bantal empuk. Ditambah pula hawa dingin dari penyaman udara benar-benar mengulit kantuk.

Aku merenung diri lagi. Memerhati alam. Bencana di sana sini tidak berkesudahan lagi. Barangkali akan terus-terusan berlaku hingga tiba hari kehancuran alam.

Bumi semakin uzur lalu gempa silih berlaku. Tanah air tempat kita lahir ini juga sudah tidak selamat. Malah, baru-baru ini telah diisytiharkan ‘dunia kini dilanda gempa’. Mana-mana negara di bumi ini sudah tidak selamat. Terbaru, gempa di China, gunung berapi meletus di Iceland.

Ah! Kiamat kecil sudah sampai. Kiamat besar?

Ya, satu persatu Allah datangkan petanda-Nya. Supaya manusia bersiap sedia menghadapi mati, menghadapi kiamat.

Bertaubatlah wahai manusia! Siapkan bekalanmu untuk menghadapi bencana kiamat yang maha dahsyat. Dan aku seru diriku jua.

Aku merasakan masa terlalu suntuk untuk manusia berleka-leka dengan lagha duniawi. Sewajibnya manusia perlu sedaya upaya tekun menyiapkan bekalan masing-masing untuk berkelana ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat.

Tetapi ... adakah aku melakukannya?

Tidak! Waktu yang ada aku bazirkan begitu sahaja.


Perhatikanlah masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan pada menjalankan kesabaran. (Al-Asr)


Ah, sungguh benar Kalam Allah ini. Malah hampir tiap orang yang mengaji menghafalnya. Pun, kita masih lalai. Betulkan?

Aku sama sahaja dengan manusia-manusia lain, masih lagi leka dan lalai dengan dunia!

Barangkali jentera Allah kini sedang sibuk bersiap sedia menunggu perintah-Nya untuk mendatangkan hari kiamat. Sangkakala barangkali bila-bila masa sahaja akan ditiupkan.

Terasa benar, kiamat semakin hampir dan hampir dan hampir.

Terkadang terfikir, boleh jadi kiamat akan tiba dalam dekad-dekad terdekat ini.


Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang kuat. Dan bumi mengeluarkan isinya.
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun), “Apa yang sudah terjadi kepada
bumi?”
Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya. Bahawasanya
Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia akan keluar (dari kuburnya) dalam keadaan yang bemacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan mereka.
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat jahat seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).
(Al-Zalzalah)


“Oh ... sempatkah nak taubat ini?”

“Mestilah sempat.”

“Habis, kenapa tidak taubat-taubat lagi? Tunggu apa lagi? Taubatlah sekarang juga. Jangan tangguh-tangguh.”

“Entahlah. Tiada jawapan untuk soalan itu.”

“Dah tau nak mati pun tak sedar-sedar diri lagi. Dah tau nak kiamat, tak reti-reti nak bawa bertaubat.”

“Aduhhh! Susahnya nak buat.”

Itu antara monolog yang sering melanda diri.

Kemudian terfikir pula masa depan anak.

“Sempatkah anak aku membesar sebelum kiamat?”

“Solehkah anak aku kelak? Dapatkah anak aku menolongku apabila aku mati nanti?”

“Ya Allah, engkau jadikanlah anakku serta zuriat dan keturunannya menjadi hamba-Mu yang bertakwa. Ya Allah, Engkau didiklah dia, Engkau bimbinglah dia kerana aku tidak mampu melakukannya dengan baik, kerana Engkau adalah sebaik-baik Pembimbing. Aku bukan ibu yang baik. Engkau peliharalah dirinya daripada segala apa yang tidak baik yang Engkau ciptakan. Pelihara dirinya setiap saat walaupun pada saat aku lupa mendoakan kesejahteraannya ... ya Allah terimalah doaku, makbulkan doaku.”

Itu doa aku untuk anak setiap hari.

"Ya Allah. Aku tahu aku bukan hamba-Mu yang baik. Maka Engkau berhak untuk tidak memakbulkan doaku. Tetapi aku tahu Engkau maha penyayang, maha penyabar, maha pengasih, maha pengampun, maha mengabulkan doa ... Engkau maha segala-galanya. Bukankah Engkau telah berfirman: TELAH MENDAHULUI RAHMAT-KU DARIPADA KEMURKAAN-KU? Maka dengan rahmat-Mu aku mendambakan kemakbulan doaku ini."

"Ya Allah, terlalu banyak perkara yang belum aku capai, yang belum aku lunaskan."

"Aku belum lagi bertaubat."
Aku belum lagi siapkan bekalan untuk menghadap-Mu."
Aku belum lagi berjaya untuk bangun bertahajud kepada-Mu."
Aku belum lagi menunaikan haji di Tanah Suci-Mu."
Aku belum lagi menjadi ibu yang baik."
Aku belum lagi menjadi anak yang baik."
Aku belum lagi menjadi isteri yang baik."
Aku belum lagi menjadi menantu yang baik."
Aku sebenar-benarnya belum lagi menjadi hamba-Mu yang baik lagi bertakwa."

"Maka kumohon pada-Mu ya Allah ... Janganlah Engkau matikan aku sebelum aku berjaya mencapai apa yang aku belum capai. Jangan Engkau cabut nyawaku dalam keadaan aku tidak bertaubat. Panjangkanlah usiaku agar aku dapat mencapai apa yang aku idamkan itu. Jangan Engkau panggil aku menghadap-Mu sebelum aku berjaya melihat ahli keluarga menjadi hamba-Mu yang bertakwa."


"Ya Allah, ikhlaskan diriku dalam urusan ibadah kepada-Mu, ikhlaskan diriku dengan urusan kerjaku, ikhlaskan diriku dengan manusia di sekelilingku. Buangkanlah apa-apa mazmumah yang bersarang di dalam diri ini. Dan suburkanlah mahmudah di hatiku."

"Ya Allah Ya Tuhanku. Aku tidak mahu pulang kepada-Mu dengan membawa dosa yang menggunung. Ya Allah, Bantulah aku menjadi hamba yang Engkau redhai. Mudah-mudahan aku kembali kepada-Mu dalam keadaan aman sejahtera, dalam redha-Mu."

"Ya Allah, sampaikan salam dan cintaku kepada kekasih-Mu Ya Allah, Rasul mulia SAW."

"Amin amin ya Rabbal alamiin."

Thursday, April 22, 2010

REUNION SMSAAS




Sungguhpun saya terlupa diundang ke majlis reunion Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam (SMSAAS), saya teruja melihat foto-foto yang diuploadkan ke Facebook.

Wah, ramai juga yang dapat hadir pada malam itu. Sharol a.k.a Anuar Zain penyanyi tersohor tanah air itu pun hadir sama.

Masing-masing sudah berusia. Zaman ‘dolu-dolu’ kulit pun gelap-gelap. Sekarang dah cerah-cerah. Maklum, zaman sekolah selalu berpayung terik matahari pergi dan balik sekolah. Sekarang ramai yang duduk di ofis berhawa dingin.

Fizikal pun nampaknya sudah kembang-kembang selaras dengan peredaran masa, zaman dan usia. Itu fitrah kebanyakan kita.

Yang paling menggembirakan saya apabila melihat foto itu, yang perempuannya sudah ramai yang bertudung. Manis sekali walaupun sudah mengembang … hee!
Terkenang pula pahit manis zaman sekolah menengah!

Apa pun, untuk apa-apa event akan datang, jangan lupa undang saya ya!

Tuesday, April 13, 2010

SHARIF & INTAN



Salam. Top up celcom rm10 ada tak?


Demikian bunyi SMS yang saya terima pada akhir Mac lalu. Nombornya tidak saya kenali. Saya tidak pasti sama ada itu nombor kenalan saya atau sebaliknya kerana saya baru memasukkan kad sim saya ke telefon bimbit lain. Maka beberapa nombor ada yang tidak terpapar nama pemilik nombor berkenaan.

Setelah diselidik, nyatalah nombor berkenaan adalah asing yang tidak pernah ada dalam simpanan telefon bimbit. Saya tidak kenal nombornya.

Ketika itu saya baru pulang dari PWTC kerana bertugas di KLIBF. Maka penatnya tak terkata dan saya agak lambat memberi respons kepada SMS itu.

Saya membalas SMS itu begini: Siapa ni?

Pantas balasannya saya terima: Intan.

Saya: Intan anak Pak Khalid ke?

Intan: Yup

Maka kami balas-membalas SMS. Saya tidak ingat balasan tepat saya seterusnya, tetapi lebih kurang begini: Apasal nombor lain? Kan ke dulu 012.

Intan: Dah tukar. Topup RM30 ada tak?

Saya: Sori, x da. Topup akan beroperasi semula selepas pesta buku. Tak sempat nak tambah modal.

Maka saya bertanya mengapa tidak beli sahaja di kedai. Tetapi dia mendesak juga. Saya bertanya: Betul ke Intan ni?

Intan: Tak percaya takpa lah

Saya: Bukan x caya.Tapi dulu ada seorang nama Sharif cuba menipu ... .

Saya mula was-was. Kerana Intan yang saya kenal itu berhemah orangnya. Malah bijak dan bukan pendesak lagi bodoh begini. Saya juga tak fikir sahabat saya itu mengguna prabayar.

Maka pada saat itu juga, daripada nama Intan saya mengecopnya “Intan palsu” (IP).

Saya kini yakin, dia bukan Norintan Khalid, sahabat baik saya yang amat saya kenali budi bahasanya.

IP: Topup RM30 ada tak?

‘Eeee tak paham-paham lagi ke orang ni. Bangang apa?’ desus hati saya. Lalu SMS saya kepadanya lebih kurang begini: Maaf x da. Buat masa ini kredit eload saya tak sampai RM10. X cukup RM30.

IP: Kalau gitu, bagi RM5 dulu.

Saya teragak-agak. Mana tahu kalau orang ini betul-betul dalam kesusahan. Maka saya berniat untuk menyedekahkan sahaja RM5 via e-load. Dalam hati saya biarpun dia bukan Intan tulen, saya sudah niatkan sedekah. Mudah-mudahan dia tidak mengganggu lagi selepas ini.

Tapi ...

IP: Top RM30 tak ada ke? Kalau ada pin bagi pin, desaknya

Saya: Kalau ada pun, nak bayar macam mana?

IP: Bank in boleh tak. Dalam hati saya merungut, ‘Iyolah bank in. Nipu je tuh.’

Saya: Boleh, tp kalau setakat RM5 tu masukkan aje ke Tabung Palestin atau Tabung anak yatim. Naper x beli aje di kedai, lagi senang. 7-E ke atau guna Maybank2u?

‘Nampak benar nak tipu aku hidup-hidup. Ingat aku ni bodoh ke? Daripada bank in, beli sendiri di kedai atau beli sahaja di ATM. Kan lagi mudah,’ bisik hati saya.

IP: Top up RM30 ada x?

Saya: Dah bagi RM5 x cukup ke?

IP: Tak cukupla. Top up bagi pin RM30, dia makin mendesak.

Saya: Sori ye, nak smyg Maghrib dulu...

Tapi Intan Palsu ini tetap mengganggu dengan SMSnya. Saat ini, meter kesabaran saya sampai ke tahap ‘merah’. Ciss!

Sorry. I don’t hv enuf balance in my e-pay acc. FYI, we sell pin no only to DG customers. Other telcos e-load ...My advice: Go buy from 7-E ...

Sebaik sahaja saya membalas dalam bahasa Inggeris. Intan Palsu ini berhenti menghantar SMS. Barangkali dia tidak faham bahasa Inggeris. Lega saya kerana tiada lagi gangguan.

Esok paginya sebaik saya menghidupkan telefon bimbit, Top up celcom RM30 ada tak.
Ehhh ... ada lagi rupanya. SMS itu dihantar pada jam 02:32 pagi.

Mujur telefon bimbit saya matikan. Jika tidak tidur saya terganggu dengan bunyi SMS itu. Intan yang kukenal sudah pasti tidak mengganggu tidur sahabatnya.

Ya Rabbi Ya Karim. Orang dah bagi free RM5, tak bersyukur betul.

Selesai KLIBF, saya baru berkesempatan melayari Facebook. Kebetulan kawan saya Rozie, yang juga sahabat baik Norintan sedang online. Lalu saya bertanyakan dia nombor telefon Intan. Jika Intan online waktu itu, saya tentu akan bertanyakan terus padanya. Nyata nombor yang diberi Rozie tak sama dengan nombor Intan Palsu.

Sebelum ini saya mendapat SMS yang serupa.

Apabila saya bertanyakan siapa dia. Dia memberi nama Sharif. Saya tanyakan, Sharif mana?.

Dia memberitahu Sharif, kawan Alif. Kebetulan di pejabat saya ada seseorang bernama Alif. Lalu saya tanyakan Alif adakah Sharif itu kawannya. Alif menafikan malah Alif cuba menghubungi nombor Sharif itu. Nyata tidak berjawab.

Maka saya membuat kesimpulan Sharif dan Intan ini orang yang sama. Penipu! Pembohong! Pendusta! Barangkali dia mengenali seseorang di pejabat ini, maka dia mengenali Alif dari jauh melalui orang ini. Saya juga syak Sharif a.k.a Intan Palsu ini dapat tahu tentang e-load dan e-pay top up saya melalui satu entry saya di blog ini. Dia mengenali Intan pula apabila melihat nama Intan dari komen yang Intan tinggalkan di beberapa entry saya.


Wahai Sharif atau Intan (or whatever your name is) ... ketahuilah hidup engkau takkan berkat dengan menipu! Moga Tuhan melaknat engkau!

Hanya satu sahaja yang mahu saya katakan pada penipu seperti awak ini: GET LOST!