Tuesday, January 26, 2010

SAYA DAH JUMPA PREPAID MURAH ... YAHOO!

Saya ini boleh dikatakan pengguna awal telefon bimbit prabayar (016 xxxxx)—sekitar tahun 1998! Nombornya tidak pernah bertukar sejak mula saya membelinya. Cuma yang bertukar ialah pelannya. Daripada Digi Prepaid kepada Digi Prepaid Plus.

Digi ialah perintis prabayar. Sewaktu mula-mula saya membelinya operator-operator lain belum lagi menawarkan pelan prabayar ini. Malah waktu itu sangat mahal harganya. Pek permulaan sahaja bernilai lebih seratus ringgit. Untuk topup pula cuma ada nilai RM100. Selepas itu barulah wujud pilihan RM50, kemudian RM30 dan nilai itu turun lagi dan lagi. Pek permulaan pula hanya berharga RM5. Semuanya gara-gara wujud pesaing-pesaing lain.

Waktu itu, liputan pun tidak meluas. Pernah Digi menghantar soal selidik. Saya mengutuk-ngutuk menjawabnya. “Saya tidak berminat dengan tawaran-tawaran lain. Apa yang saya mahu ialah liputan yang meluas.” Itu antara yang saya tulis.

Waktu itu apabila balik kampung liputan yang ada cuma 013 dan 019. Beberapa tahun kemudian di kampung saya 012 pula dapat liputan. Apa pun, tahun-tahun kebelakangan ini 016 nampaknya yang lebih menyerlah liputannya di kampung saya. ‘Bar strength’ lebih kuat.

Saya membeli prabayar dulu pun kerana terpaksa dan lebih praktikal berbanding memilih pascabayar kerana saya jarang menggunakannya. Sia-sia kalau membayar yuran pascabayar, sedangkan sebulan tidak sampai RM30 saya habiskan untuk telefon saya itu.

Saya membeli telefon bimbit untuk memudahkan saya berhubung dengan emak atau ayah. Waktu itu saya sedang sambung pengajian di UM. Kelas terkadang melarat hingga lewat 12 malam. Fakulti pula di ceruk kampus berhampiran rimba. Maka apabila selesai kuliah, mudahlah sedikit saya menghubungi ayah untuk menjemput saya pulang.

Berbalik pada prepaid, yang paling saya malas apabila kredit habis. Malas betul hendak ke kedai membelinya. Lebih-lebih lagi jika di kampung, mobiliti diri agak terhad.

Apabila terdesak terpaksa juga pergi membelinya walau apa cara pun. Kemudian apabila wujud Maybank2u, bertambah mudah saya membeli prepaid. Semuanya boleh dilakukan di hujung jari saja.

Baru-baru ini, saya bertemu satu website yang menjual prepaid. Wahh! Rupa-rupanya harga prepaid boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Misalnya topup 013/019 yang bernilai RM10 di pasaran, saya dapat dengan harga RM9.50. Kan murah tu. Jimat 50 sen. Beroperasi 24 jam pula tu. Kalau yang kaki berniaga tentu dapat untung berlipat kali ganda. Malang, saya bukan ‘otak bisnes punya orang’. Jika tidak, dah kaya kot hasil berniaga prepaid!

Mengapa saya tak berjumpa website ini sejak dulu? Jika tidak, awal-awal lagi saya mendaftar jadi ahli. Selama ini, memang rugi beli topup di kedai! Kwang3!

Tanpa berfikir panjang saya terus daftar jadi ahli. Bayar yuran seumur hidup + tambah modal minimum RM50. Selesai semuanya, pada masa itu juga saya boleh membeli topup dengan harga lebih murah daripada harga pasaran. Saya tersenyum puas hati ... heee!

Memandangkan saya bukan kaki niaga, maka saya mendaftar dan membayar modal hanya untuk kegunaan sendiri. Yang penting, saya tidak lagi bersusah payah pergi ke kedai atau membelinya pada harga pasaran melalui Maybank2u. Saya menggunakan Maybank2u apabila mahu menambah modal sahaja.

Bagaimanapun, saya tetap menjualnya pada teman-teman di pejabat yang malas turun dari pejabat hanya semata-mata untuk membeli topup di kedai. Juga saya menjualnya kepada ahli keluarga walaupun kekadang dikutuk adik-adik kerana lambat menerima topup yang mereka mahu (maklumlah saya bukan berniaga, kekadang handphone saya itu entah di mana letaknya apabila dapat mesej mereka yang mahukan topup). Kekadang rakan-rakan pejabat juga ada yang menghubungi saya malam-malam hari mahukan topup sebab malas ke kedai. Besoknya sampai di pejabat mereka akan bayar. Apa-apa pun boleh, hutang pun tak apalah.

Bagi anda yang berminat buat duit dengan berniaga topup boleh ke website saya http://www.Niagaprepaid.com/?ref=445. Saya yang jenis tak reti nak berniaga cukuplah sekadar promosi di blog ini (heee heee ... ), cukup sekadar untuk kemudahan diri dan menjualnya pada famili dan kawan-kawan di pejabat yang malas turun naik tangga.

Bagi anda yang sentiasa menggunakan perbankan online lebih baik daftar jadi ahli. Jimat! Semua ada 013, 019, 012, i-Talk pun ada. Jika berniat/berminat berniaga prepaid pula memang tidak rugi mencuba! Kalau pandai cari kaki, tentu dapat bonus. Jangan tiru saya yang pasif! Malas cari kaki!

MURAH! MUDAH! CEPAT! MEMANG BERBALOI ...!

Sunday, January 17, 2010

AKSI PAGI

Inilah aksi pagi tiap-tiap hari pada hari bersekolah. Duduk mencangkung berselimut dengan tuala. Kalau hujan lagilah bertambah ketar. Gigi pun menggelatuk.
Saya rasa sebahagian besar daripada kita pernah melakukan aksi yang sama masa bebudak dulu. Saya pun sama juga masa kecil dulu ... hee3... Alaaa anda pun sama juga kan, ngaku ajelah!
Selagi mak tak herdik, selagi tu la duduk dalam posisi itu.






Wednesday, January 13, 2010

CARA EMAK

Emak saya mempunyai caranya sendiri untuk memujuk anak cucu makan. Tak lalu makan memang lumrah. Apatah lagi apabila melihat lauk di bawah tudung saji tidak berkenan di hati.

Emak juga menggunakan teknik ini jika dia ketandusan idea memilih menu untuk dimasak. Kekadang saki-baki lauk yang anak cucu dah tak pandang pun dihabiskan cara ini.

Apa yang Emak lakukan ialah mengubah cara ‘persembahan’nya. Emak buat nasi berlauk atau nasi bungkus.

Nasi berlauk ialah sarapan popular di Kelantan, tapi Emak tidak kira waktu: pagi, tengah hari atau malam dia sediakan nasi berlauk asalkan ahli keluarga mahu makan.

Tak payah nak fikir apa-apa, tak payah masak lauk banyak-banyak jenis. Cukup sekadar gulai ikan tongkol masak lemak lengkuas dan sambal. Itu menu nasi berlauk.

Emak membungkusnya rapi dengan surat khabar beralaskan daun pisang yang telah dilayur. Enaknya tak terkata. Apalagi yang dibungkus itu nasi panas, akan menambahkan lagi aroma daun pisang ke dalam nasi. Tentu sekali membangkit selera.

Nasi yang telah dibungkus, Emak susun rapi dalam pinggan besar. Seorang sebungkus mengikut jumlah ahli keluarga.

Yang menambahkan enak bukan sahaja kerana konsep ‘bungkus’ itu, tetapi juga kerana air tangan seorang ibu yang menyediakannya penuh dengan kasih yang tulus. Juga kerana kuantiti nasinya tidak banyak menimbun seperti kebiasaan kita makan nasi hidang. Nasi yang Emak bungkus sekadar cukup menghilangkan rasa lapar. Ini menyebabkan kami terasa hendak tambah lagi (we crave for more). Sebungkus macam tidak cukup. Tetapi apabila minum air, kenyangnya sudah cukup. Perut juga nyaman selesa tidak terlalu sengkak seperti makan nasi hidang.

Jika bukan nasi berlauk, Emak akan buat nasi bungkus. Ini ialah strategi untuk menghabiskan baki lauk yang masih lagi elok tapi sudah tidak berapa nak dipandang, apalagi hendak menyentuhnya. Cuma Emak pastikan lauk goreng yang dah sejuk dan tak laku itu, Emak akan tambahkan kuah gulai. Kuah gulai wajib dalam nasi bungkus atau nasi berlauk kerana kuah inilah yang menjadikannya sedap apabila berganding dengan aroma daun pisang.

Bagi para ibu yang ketandusan idea, bolehlah lakukan cara ini. Semalam pun saya dapat sebungkus nasi berlauk apabila pulang ke rumah Emak semasa tengah hari kerana mengambil kain baju Emak yang tertinggal untuk ditempah dengan Puan Zie.

Emak segara bangun membungkuskan saya nasi berlauk. Saya cukup terharu.

“Kakak tak lalu makan hari ni. Mak buat nasi berlauk. Habis dia makan sebungkus,” jelas Emak. (Kakak - cucu sulung Emak yang memang payah hendak makan).

Seketika kemudian pulang Adik dari sekolah. Adik, cucu kedua Emak itu makan dua bungkus. Adik memang pencinta nasi!

Nasi berlauk Emak itu saya rembat dan bawa pulang ke pejabat kerana waktu yang menghimpit tidak mengizinkan saya makan di rumah Emak.

Itulah seorang wanita yang bernama ‘bonda’. Hatinya ikhlas sepanjang hayat. Hidupnya berlandaskan pada ‘memberi’. Saya meminjam moto Ustaz Hasrizal a.k.a Saifulislam.com ‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’.

Yang nyata, hati saya tidak mampu menjadi seikhlas Emak!

Terima kasih Emak. Ampunkan segala dosa anakanda!

Tuesday, January 5, 2010

DIBUNUH KOMPUTER!

Sebaik pandai menulis di sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT, pen dan pensel menjadi nadi setiap individu. Untuk menulis karangan dan membuat kerja rumah atau menjawab peperiksaan—pen dan pensel menjadi rakan karib setiap murid dan pelajar.

Itu dulu. Hari ini pen atau pensel menjadi begitu asing bagi diri saya. Pen hanya digunakan sesekali sahaja. Untuk mengisi borang, mencatat nota dalam kuliah agama atau bengkel, atau menulis nota ringkas atau menurunkan tandatangan. Ataupun pen merah untuk membuat kerja suntingan dan membaca pruf di galei.

Sejak berdamping dengan komputer dalam kerjaya, saya tidak mampu menulis menggunakan pen, tidak lagi boleh menulis panjang. Jari-jemari menjadi kaku untuk mencatat apa-apa walau sekadar lima baris ayat atau satu perenggan. Tangan menjadi lenguh, malah lenguh itu bukan masalah utama. Yang menjadi masalah besar ialah ilham atau idea untuk menulis artikel entah ke mana hilang.

Puas duduk menanti ilham datang, satu pun tidak terbit di benak kepala. Aduh! Apa sudah jadi? Otak menjadi bengap. Lembap. Lemah.

Kini, saya menjadi kagum apabila melihat orang menulis--tarian pen di tangannya meluncur deras menulis patah demi patah perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan ... .

Jika sekarang saya perlu menduduki peperikasaan, barangkali saya akan gagal!

Pernah saya cuba membuat artikel kesihatan untuk majalah Anis menulis mengguna pen. Dua bulan tidak siap-siap, walhal jika menggunakan komputer boleh disiapkan dalam tempoh setengah jam.

Maka saya membuat kesimpulan, kewujudan komputer dalam hidup saya telah membunuh kemahiran dan kebolehan saya menulis dengan kalam!

Monday, January 4, 2010

PAGI YANG MENGADA-NGADA!

Tahun baru, bulan baru, minggu baru, hari baru. Hari ini Ammar Hadi mengada-ngada tak mahu masuk kelas setelah tiga kali berturut-turut cuti tiga hari berderet bermula Jumaat. Jumaat pertama cuti Awal Muharam, Jumaat kedua cuti Krismas dan Jumaat ketiga berikutnya cuti tahun baru.

Tiba di tadika, dia meraung-raung bagaikan murid baru.
“Ammar kenapa menangis? Mari masuk jumpa kawan-kawan baru ...” pujuk Cikgu Miza.
“Tak nak ... tak nak ... tak nak solah (sekolah) ... nak balik ... nak balik ... waaaa ... ”

‘Eeee, mengada-ngada betul,’ gerutu saya. Tangan saya dipegang kemas. Ditarik semahunya. Datang cikgu menariknya masuk.

Di luar, sepasang suami isteri meninjau-ninjau memanjang leher melihat ke dalam premis tadika.
‘Mesti first time hantar anak masuk tadika,’ tingkah saya. Keretanya pun diletakkan melintang hingga menghalang kereta ibu bapa lain hendak gostan keluar.
“Tak nampak pun,” ujar si isteri.
“Dia dah masuk dalam,’ ujar si suami. “Petang nanti Ayah datang ambik ya,” jeritnya ke ruang kosong. Entah dengar entahkan tidak anaknya itu.

Kekadang geli hati melihat telatah ibu bapa. Mereka lebih cemas daripada anak sendiri. Kekadang mereka yang lebih mengada-ngada!