Thursday, May 28, 2009

ILMU TANAK NASI

(KHAS UNTUK ADIK-ADIK DAN ANAK-ANAK YANG MAHU BELAJAR MASAK NASI)

Jika diberi periuk nasi elektrik (rice cooker) dengan periuk biasa untuk tanak nasi, saya akan memilih periuk biasa sekiranya jumlah beras sekadar dua, tiga cawan. Saya lebih selesa dengannya.

Saya pandai memasak nasi menggunakan periuk biasa pada usia 15 tahun—sudah dikira agak lewat pandainya tu! Sebelum itu saya lebih mahir menggunakan periuk elektrik. Pada masa itu saya menyangka periuk elektriklah paling mudah. Kini bila sudah ada ilmu memasak nasi, rupa-rupanya periuk nasi biasa lebih mudah dan tidak kurang manfaatnya.

Ada tiga orang guru yang telah perturunkan ilmu menanak nasi mereka kepada saya.

Sukatan air
Orang pertama ialah ayah saya sewaktu percubaan pertama saya masak nasi menggunakan periuk nasi elektrik. Saya sudah lupa apa sebabnya ketika itu hingga memaksa saya masak nasi sendiri. Selalunya Emak yang masakkan. Ke mana perginya Emak waktu itu, tidaklah ada dalam ingatan saya. Apa yang saya ingat ialah Ayah ajar cara mengukur sukatan air beras yang hendak ditanak.

“Ukur guna ruas jari … ” kata Ayah.
“Aaaa … ruas jari? Mula dari mana?” soal saya sambil membawa periuk dan mengunjukkannya kepada Ayah.
“Macam ni?” soal saya sambil menusuk jari ke dalam beras hingga ke dasar periuk.
“Jari atas (permukaan) beras …. Ukur air sampai seruas jari …”

Itu berkenaan sukatan air untuk tanak nasi sama ada periuk biasa atau elektrik, kaedahnya sama saja. Setelah mahir, saya tidak lagi perlu mengukur dengan jari.

Periuk ‘manual’
Orang kedua ialah emak saudara saya Cikgu Roihana. Semasa usia 14 tahun pada cuti sekolah hujung tahun, Emak menyuruh saya tinggal bersamanya di Pengkalan Chepa. Tujuannya supaya saya tuisyen dengannya sebab saya malas belajar sendiri dan tiada disiplin (tahun berikutnya akan menduduki SRP).

Emak saudara saya itu bujang (hingga kini bujang), maka ‘kelengkapan makan’nya ala kadar. Dan saya pun tidak berkira bab lauk asalkan ada sardin, semuanya okey!

“Kalau nak nasi, masak sendiri,” kata Cik Ru (gelaran mesra kami padanya).
“Tak reti,” balas saya.
“Heh, kena belajar. Mari nak ajar …” ujar Cik Ru.

Itulah pengalaman pertama saya tanak nasi menggunakan periuk biasa. Kali pertama cuba, terus jadi. Oh, rupanya senang saja!

Caranya basuh beras seperti biasa. Kemudian masaklah di atas dapur. Apabila mendidih dan kering airnya (bubbling dah tiada), tudung periuk dan kecilkan api (sekecil yang dapat). Tak perlu dikacau pun nasi itu. Lebih kurang lima ke tujuh minit buka tudung periuk dan tengok nasinya. Jika sudah lekang dari dinding periuk, itu tandanya nasi sudah masak. Bolehlah makan!

Nasi peroi
Saya kurang gemar nasi lembik dan berketul. Jika ada pilihan, saya akan memilih nasi yang peroi. Orang ketiga yang mengajar saya tentang masak nasi ialah Emak!

Untuk mendapatkan nasi yang peroi bergantung pada jenis beras juga. Jika terkena beras tidak elok yang menghasilkan nasi lembik (biarpun sukatan airnya sedikit), tidaklah menjadi juga nasi peroi itu. Tapi ini jarang berlaku.

Untuk dapatkan nasi peroi, kata Emak, “Lepas nasi masak, tutup api. Biarkan lapan ke sepuluh minit. Jangan diusik. Lepas tu baru buka tudung periuk, gembur dan karih nasi.”

Oh…itu petuanya untuk ‘memeroikan’ nasi—periuk biasa atau elektrik, sama juga kaedahnya! Ini juga memudahkan kerja membasuh periuk kerana kanji nasi tidak melekat pada periuk.

Sebenarnya tidak susah memasak nasi bagi mereka yang mahu belajar dan suka makan nasi.

Periuk elektrik vs periuk manual
Antara periuk biasa dan periuk nasi elektrik, ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Kelebihan periuk elektrik ialah pada praktikalnya. Jerang beras dan tinggalkan. Kita hendak ke mana pun tak mengapa, tidak perlu khuatir akan hangit. Untuk panaskan pun senang, petik suis saja.

Kelemahan periuk elektrik, jika terlupa tutup suis utama, nasi akan jadi garing kerana ia akan panas memanjang. Nasi juga lebih cepat basi berbanding nasi yang dimasak secara manual biasa. Apa pun, periuk ini sangat praktikal dan pelbagai guna untuk tujuan masakan lain jika terdesak. Mudah dibawa ke mana-mana, hatta ke hotel sekalipun jika pergi bercuti!

Periuk biasa pula, nasi lebih cepat masak. Masak menggunakan api dapur lebih jimat masa.

“Kalau masak nasi yang mana cepat masak, rice cooker atau periuk biasa?” soal Salbiah, kawan baik saya semasa di ITM dulu.
Rice cookerlah,” pantas saya menjawab.
“Periuk biasa laaa lebih cepat.”
“Ooo, ya ke?”
“Tak caya, cuba awak eksperimen.” Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat saya itu. Itu fakta!

Nasi yang dimasak secara manual juga lambat basi kerana ia kurang mengumpul wap semasa proses masak. Jika tidak dikacau semasa memasaknya, nasi lagi tahan lama kerana ia kurang mengeluarkan kanji. Cuma bagi yang pelupa, kenalah tunggu di depan dapur sehingga nasi masak. Kalau tidak, nanti nasi hangit dek ralit dengan aktiviti lain. Untuk perangat, letak satu atau dua camca besar air di bawah nasi. Tutup periuk dan guna api paling kecil hingga naik wap. Itu sahaja.

Kerana sudah selesa dengan periuk manual, periuk nasi elektrik telah saya simpan dalam kabinet. Dikeluarkan hanya apabila ada ramai tetamu bertandang!

Tip supaya nasi tidak cepat basi
“Basuh beras hingga airnya betul-betul jernih, baru lambat basi,” pesan Emak saya.

Ini juga tip daripada Emak, jika ada baki nasi dalam periuk pula, jangan dirapatkan tudungnya, biar sedikit renggang untuk pengaliran udara. Insya-Allah nasi boleh bertahan hingga esoknya untuk dibuat nasi goreng. Kekadang boleh tahan lebih 24 jam tanpa perlu disimpan dalam peti! Yang penting nasi yang dimasakkan itu peroi dan tidak lembik!
(Saya pernah berjaya masak nasi yang tahan hingga 48 jam tanpa diperangat dan tanpa disimpan dalam peti … ada kalanya pula tak sampai 24 jam dah basi sebab air tak cukup jernih).

Tip untuk pujuk anak makan nasi
“Emmm sedapnya nasi …” ini pula petua En. Abu kepada anak saya supaya makan nasi, heee…heee…!

Tuesday, May 26, 2009

RENYAHNYA MENCARI FOTO

Foto: Jon Sullivan
Dari sehari ke sehari, dari seminggu ke seminggu dan melarat dari sebulan ke sebulan saya meneroka alam siber setiap hari semata-mata mencari imej-imej yang berstatus ‘royalty free’ atau ‘right reserved free’ atau ‘copy right free’ untuk penerbitan buku siri baru i.e Siri ‘MARI BERFIKIR’ tulisan Zulina Hassan.

Suatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ‘renyah’ dan menguji sabar. Bagi sesiapa yang tidak memahami kerja saya, barangkali akan menyangka saya menghabiskan waktu pejabat dengan ‘main Internet’.

Bukan mudah untuk mencari imej-imej yang diingini (yang percuma tetapi berkualiti). Mencabar lagi kerja-kerja mencari itu, saya perlu pula meneliti terma-terma hak ciptanya bagi setiap satu gambar tersebut. Ada pendek ada panjang, ada mudah ada susah difaham bahasanya, apatah lagi istilah-istilah perundangannya dalam bahasa Inggeris … dalam bahasa Melayu pun saya kurang arif laras bahasa perundangan yang digunakan, apatah lagi bahasa Inggeris! Ia benar-benar mencabar.

Barangkali siri MARI BERFIKIR inilah yang paling mencabar kerjaya saya setakat ini! Bergelut mencari gambar yang tiada, juga bergelut membaca dan cuba memahamkan diri maksud terma-terma itu—(a painstaking job).

Jika tidak bermoral, mahu saja etika penerbitan ditolak ke tepi dan muat turun saja mana-mana imej dari mana-mana laman web. Tetapi perlu diingat, walaupun kita hanya penerbit kecil, etika penerbitan perlu dijaga, tidak boleh mengambil imej/foto secara sembrono sesuka hati. Silap hari bulan, akan timbul masalah, mungkin pemilik asal akan tahu dan akan menuntut hak karya inteleknya! Apatah lagi kita orang Islam, maka adab-adab itu perlu sangat dijaga!

Sebaik tiba di pejabat, saya berpagi-pagian akan masuk ke dunia tanpa sempadan kerana waktu ini kerja-kerja ‘meneroka’ itu agak pantas. Namun, apabila menghampiri tengah hari ‘kembara’ saya itu menjadi perlahan dan perlahan dan perlahan, seterusnya amat perlahan dan amat lembap untuk perpindah dari satu laman web ke laman web. Barangkali pengguna Internet pada waktu ini berada di waktu puncak menyebabkan aliran menjadi sesak sebagaimana ‘traffic jam’ di jalan-jalan utama yang kita tempuh saban hari untuk ke pejabat dan pulang ke rumah.

Aduhai…keadaan inilah yang benar-benar menguji sabar saya apabila melangkah masuk ke dunia tanpa sempadan ini yang kerap membuatkan saya tersengguk-sengguk di hadapan PC menunggu ‘aliran trafik’ bergerak di lebuh siber.
Apa pun, saya kini semakin mahir mencari ‘key-word’ untuk mencari imej-imej yang diperlukan. Misalnya untuk mencari gambar Matahari kita tidak boleh mencari di bawah perkataan ‘Sun’ sahaja, sebaliknya perlu juga mencari di bawah perkataan ‘Solar’; untuk Bulan, bukan sahaja ‘Moon’ tetapi juga ‘Lunar’. Sama juga perkataan ‘picture’ boleh jadi gambar yang dicari itu di bawah ‘image’ atau ‘photos’. Inilah yang dinamakan berguru dengan pengalaman.

Terdapat beberapa ‘Public Domain’ telah saya temui setakat ini yang menawarkan imej-imej percuma pada resolusi tinggi dan saya kini sudah mempunyai beberapa koleksi imej percuma yang diperlukan. Saya juga telah mengenal pasti beberapa laman web yang imejnya boleh dibeli pada kadar yang berpatutan (jika perlu dibeli nanti). Tetapi misi mencari imej percuma ini perlu saya teruskan untuk beberapa lama lagi sebelum membuat keputusan ‘berhenti mencari’ dan sama ada perlu membelinya atau diberikan pada artis/ilustrator untuk dilukis!

Sepanjang pencarian saya itu, seharusnya saya perlu berterima kasih kepada seseorang yang bernama Jon Sullivan yang banyak menyumbangkan fotonya yang beresolusi tinggi dan indah untuk kegunaan awam yang diletakkan di bawah Public Domain. Alangkah mudahnya kerja kita jika ada banyak jurufoto berjiwa murni seperti ini. Andai beliau seorang Islam, alangkah besar pahalanya! Jurufoto-jurufoto di Malaysia, bagaimana pula? Saya tidak bertemu foto-foto mereka di ‘public domain’ (kedekut mungkin). Bukankah molek jika beberapa keping foto anda yang anda rasakan ‘tidak berapa mahu’ atau ‘kurang berkualiti’ pada pandangan anda itu disumbangkan untuk kegunaan awam!

Friday, May 22, 2009

MENCABUL BUMI DI KLIBF 2009

Baru sebulan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (KLIBF 2009) berlangsung. Kemeriahannya masih terasa biarpun ekonomi bagi kebanyakan manusia jagat berada dalam keadaan gawat.

Pengunjung yang datang membeli-belah buku seolah-olah tidak terkesan dengan kelembapan ekonomi dunia. Ada yang datang membawa bakul troli dan bagasi roda bagi mengisi buku-buku yang dibeli. Barangkali mahu mengurangkan cukai pendapatan yang dikenakan memandangkan majoriti pembeli meminta resit pembelian.

Ya, sekaliannya ghairah membeli buku! Ada yang menggunakan kad kredit dan kad debit. Pun demikian, kebanyakan mereka membeli secara tunai. Wang tebal dikeluarkan dari poket dan dompet. Ada yang setebal seinci yang setiap kepingannya terdiri daripada not 50. Memang seronok membeli buku bagi mereka yang berwang (walaupun belum tentu membacanya)!

Tentunya yang lebih seronok ialah penerbit! Pesta Buku sebegini memberi ruang kepada mereka untuk mendapat laba berganda. Namun bagi Galeri Ilmu, kami bukan sahaja mengharapkan keuntungan, yang lebih penting ialah misi tarbiah yang terkandung dalam setiap buku yang diterbitkan sampai kepada masyarakat!

Itu bagi penerbit secara umumnya! Tetapi lain pula bagi saya.

Sepanjang 10 hari KLIBF 2009 berlangsung itu saya bertugas sebagai ‘packer’ (pembantu juruwang) dan sehari daripadanya sebagai juruwang. Sepanjang bertugas itu ia mengundang resah di hati saya.

Resah saya itu berpunca daripada rasa bersalah yang tidak dapat dibendung. Sebelah malamnya apabila pulang dari pesta buku itu, sebelum terlena saya terkebil-kebil memikirkan ‘salah dan dosa’ saya.

“Ya Allah! Aku bersalah kepada Bumi-Mu. Aku mencabul Bumi-Mu yang Allah. Ampunkan aku,” hanya itu yang mampu saya munajatkan kepada Tuhan yang telah meminjamkan Bumi-Nya untuk saya tumpangi sepanjang hidup ini. Bumi yang banyak jasa baktinya kepada sekalian makhluk dari kuman hinggalah manusia … begitu mudah dicabul kehormatannya!

Pengajaran yang saya dapat dari KLIBF 2009 itu ialah ia langsung tidak ‘mesra alam’. Apa tidaknya, hampir setiap pengunjung membimbit beg plastik ... paling kurang pun tersangkut dua beg plastik di jari mereka.

Statistik yang dikeluarkan menunjukkan lebih sejuta pengunjung datang ke KLIBF 2009. Lalu saya terfikir berapa juta pula beg plastik yang mereka bawa pulang ... beg plastik yang saya yakin tidak mesra alam, yakni tidak akan terlupus dan terurai untuk beratus-ratus tahun. Tentunya perjalanan beg plastik ini akan berakhir di tempat pembuangan sampah! Dan tangan saya inilah bersama tangan-tangan lain yang tugasnya seperti saya, pantas memasukkan buku-buku yang dibeli pelanggan ke dalam beg plastik … ‘TANGAN-TANGAN YANG MENCABUL!’

Teringat saya pada sebuah cerita berjudul ‘WALL-E’, tidak mustahil wajah Bumi akan bertukar begitu jika kita tidak segera memberi ‘face-lift’ serta rawatan kecemasan kepada planet ini untuk memulihara ‘kesihatannya’ demi kelangsungan hidup sekalian makhluk!

Sebagai packer di KLIBF 2009, kepada pembeli saya bertanya, “Nak beg plastik ke?” Jika jawapannya “Nak,” maka mahu tak mahu belian mereka itu saya masukkan ke dalam beg plastik biarpun belian itu boleh dimasukkan ke dalam beg plastik yang tersedia ada di tangan mereka. Pertanyaan saya itu juga tidak menentu, kerana pada kebanyakan masa saya lupa bertanya lebih-lebih lagi pada waktu pelanggan yang ramai menunggu giliran untuk membayar! Aduh!

Sedar akan keadaan Bumi yang semakin tenat dengan pencemaran, maka akhir-akhir ini saya agak ambil berat tentang alam sekitar.
Bermula tahun lalu (sekitar Ogos 2008) apabila syarikat berpindah ke premis baru, saya mulakan azam baru. Jika membeli sarapan dan kekadang makan tengah hari, saya membawa bekas sendiri untuk mengisi makanan yang dibeli. Moga kuranglah penggunaan styrofoam yang mencemarkan Bumi kita ini (walaupun pada kebanyakan masa terpaksa menggunanya juga kerana terlupa membawa bekas sendiri)!

Usaha saya itu nampak kecil, dan sedikit pun tidak menampakkan kesan, namun apa yang saya harapkan ia setidak-tidaknya ada nilai di sisi Tuhan … sebagaimana usaha burung kecil yang cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s!

Di rumah juga, saya mengumpul setempat botol-botol plastik untuk dibuang dengan cara yang betul. Jika ke kedai, setakat membeli roti dan barang-barang kecil kata saya kepada juruwang, “Tak payah plastiklah Dik,” lalu saya sumbat barang-barang itu ke dalam beg sandang saya. Mungkin selepas ini saya akan beli ‘beg hijau’.

Kepada semua peniaga baik yang besar atau yang kecil, bertukarlah kepada beg plastik mesra alam. Biarpun harganya mungkin lebih mahal, saya yakin akan ada pulangannya nanti. What you give, you get back!

Kepada semua pengguna, belajar-belajarlah untuk tidak banyak menggunakan beg plastik. Setakat ini saya perhatikan IKEA, JUSCO, GREENWAY dan beberapa gedung lain sudah mula menggunakan beg plastik mesra alam. Tahniah untuk mereka. GALERI ILMU, bila lagi?

Monday, May 18, 2009

SUARA YANG MENYELAMATKAN!

1970-an
“ALLAHUMMA HAWAA ’ALAINAA WALAA ’ALAINA …”
Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”

Terkumat-kamit mulut ayah mengulangi bacaan itu tanpa henti hinggakan lafaz itu membekas di benak kepala saya hingga ke hari ini. Saya tidak ingat berapakah umur saya waktu itu. Yang pasti saya masih belum bersekolah, kalau bersekolah pun baru di tadika. Barangkali dalam usia lima atau enam tahun.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” masih terdengar mulut ayah menyebut ayat-ayat itu sehingga usia saya meningkat ke sekolah rendah.

Yang saya ingat, lafaz itu ayah ucapkan semasa memandu sama ada dari Kota Bharu hendak pulang ke kampung di Machang atau dalam perjalanan balik semula dari kampung ke rumah kami di Kota Bharu.

Ketika saya masih kecil, belum terlintas untuk bertanya ayah mengapa dia membaca kalimah itu dan untuk apa. Apabila di sekolah rendah barulah saya tergerak hati untuk bertanya kerana pada usia itu rasa ingin tahu terhadap sesuatu semakin meluap.

“Ayah baca apa?”
“Minta Tuhan jauhkan hujan …” jawab ayah.

Oh… barulah saya perasan, ayah menyebut kalimah itu pada setiap kali langit gelap hendak hujan semasa dalam perjalanan ke mana-mana.

Kemudian Ayah menyambung, “Minta Tuhan jauhkan hujan, biar turun di sekeliling kita, bukan timpa atas kita …baca sebelum hujan turun...”

Jawapan Ayah itu meresap terus ke hati dan kekal ingatan saya hingga kini (mujur waktu itu saya masih kecil akal fikiran masih suci/fresh maka mudahlah membekas ke jiwa. Jika sekarang otak sudah berkarat, hati pula sudah tidak suci lalu banyak perkara payah meresap ke sanubari).

Akhir tahun 2000
Kami (krew penggambaran dokumentari Salam Timur Tengah) sedang dalam perjalanan dari Makkah ke Abha di Wilayah Asir, sebuah kawasan pergunungan yang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi menjadi pusat peranginan. Duduknya 2,200 meter dari aras laut.

Abha, ibu negeri Asir ini merupakan pusat peranginan yang aktif beroperasi pada musim panas dan menjadi tumpuan para pelancong yang mahu lari dari panas mentari musim panas. Abha lazimnya menjadi tumpuan percutian warga Mediteranean yang mahukan bayu nyaman ketika tempat-tempat lain mengalami hawa yang kering lagi panas.

Ya, cukup indah dan nyaman kawasan ini, lebih indah daripada Cameron Highlands.

Namun, kembara kami berlangsung pada musim dingin. Suhu waktu itu mencecah 8oC, sejuknya sampai ke tulang. Jarak perjalanan dari kota Makkah ke Abha pula ialah 453.48km—satu perjalanan yang jauh dan memenatkan.

Saya leka merenung ke luar tingkap bas tajaan yang kami naiki—melayan perasaan sendiri! Rakan-rakan lain rancak berbual dan melawak sesama mereka, cuma Cikgu Abu (ketua krew @ MD Galeri Ilmu Sdn Bhd) yang kelihatan agak cemas.

Gunung-gunung batu mendindingi sepanjang perjalanan. Semakin lama semakin tinggi gunung-ganangnya. Gaung, lembah dan cerun curam pun ada.

Muhammad Mushtaq, warga Pakistan pemandu bas kami setia memandu mendaki perjalanan berliku ke tanah tinggi Asir itu. Tanpa kerenah, tanpa ada tanda-tanda penat. Terfikir juga saya jika berlaku apa-apa kepadanya siapa yang akan memandu kerana bas tajaan kami itu tiada ‘co-pilot’.

Saya masih melayan perasaan sendiri.

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…”
satu suara tiba-tiba terngiang-ngiang di gegendang telinga saya.

Semakin lama semakin kuat suara itu, semakin lama semakin jelas…suara yang cukup saya kenali.

“Eh, suara Ayah …” saya bermonolog sendiri. “Aku ni mimpi ke?”

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

“Ya…ya…suara Ayah. Tak mungkin. Ayah beribu batu nun jauh di tanah air!”

Saya memerhati teman-teman di dalam kenderaan kami, semua nampak normal. Tapi suara Ayah berlegar dalam kepala saya seolah-olah Ayah ada di sebelah, bersama saya …”

Saya merenung keluar tingkap, merenung langit … hitam!

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…” hati saya mula mengikut rentak suara Ayah yang masih berlegar dalam kepala.

Gerimis hujan mula menitik perlahan kemudiannya renyai …”

Kemudian bibir saya pula turut melafazkan kalimat itu tanpa henti hinggalah kami selamat sampai ke destinasi yang ditujui awal pagi (menghampiri jam satu pagi!)

Esoknya, Mushtaq memberitahu, bas yang kami naiki sebenarnya tidak sesuai untuk ke tanah tinggi seperti Asir, ia hanyalah bas pelancongan yang lazim digunakan di jalan rata biasa. Manakala pegawai dari Kementerian Penerangan Arab Saudi yang mengiringi perjalanan kami ke Abha memberitahu, selalunya orang ke Abha menaiki GMC atau pacuan empat roda lain.

Ya Tuhan, sepanjang perjalanan naik ke tanah tinggi Asir, kami rupa-rupanya menempuh (mungkin juga ‘menempah’) bahaya lebih-lebih lagi pada musim sejuk yang hujan lebatnya sentiasa turun, jalan licin di cerun dan curam!

Apakah ada telepathy antara saya dan Ayah waktu itu? Atau adakah ia satu ‘contact hati’ antara saya dan Ayah? Atau ia suatu amaran daripada Tuhan supaya saya memohon perlindungan-Nya pada saat getir, pada saat orang lain tidak menyedarinya? Atau adakah ia sekadar satu mainan perasaan?
Pada hari kami turun dari Wilayah Asir untuk kembali ke Makkah, entah dari mana ada beberapa kenderaan polis menahan bas kami. Mereka musykil ada pelancong mengunjungi Abha pada musim sejuk begini.
Pasport diperiksa. Setelah berbicara dengan pegawai dari Kementerian Penerangan dari Jeddah yang bersama kami sepanjang kembara ini, masalah dapat diselesaikan tanpa banyak soal. Sebaliknya perjalanan kami diiringi bagaikan VIP. Barangkali rezeki sebagai musafir dan tetamu Allah di bumi barakah ini! Apabila ditanya Syeikh Fawzi, pegawai Kementerian Penerangan katanya, "Saya memberitahu mereka, kamu ini tetamu penting Raja Fahd ..."
"Subhanallah..." itu saja yang mampu kami ucapkan sambil ketawa.


Hari ini …

“Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina … Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina…Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …” mulut saya secara automatik melafazkan doa itu tatkala melihat langit mula menghitam sewaktu memandu bersama anak… “Allahumma hawaa ’alainaa walaa ’alaina …”

Kini (berpuluh tahun kemudian) saya mengerti, doa itu bukan sahaja untuk elak hujan menimpa kita secara lahiriahnya, tetapi lebih kepada untuk mengelakkan ‘bahaya’ yang mungkin terbit daripada hujan itu sendiri!

TERIMA KASIH AYAH!
Dijamu nasi talam berlaukkan seekor kambing oleh pihak muzium sebaik tiba di Abha. Sehari suntuk mereka setia menunggu ketibaan kami biar pun melewati tengah malam.
Kami tiba hampir jam 1 pagi.
Inilah laluan naik ke Abha, tanah tinggi Asir, Arab Saudi. Lebih 400 km dari kota Makkah
(sumber imej: Travel-Images.com)

Friday, May 15, 2009

I LOVE U!

Selamat
Hari
Ibu

ibulah,
ibu ammar
dunia
dan
akhirat

I

U


Demikian ungkapan yang tertera pada kad yang dibawa pulang dari sekolah oleh anak saya minggu lalu.

Sungguh bermakna kad itu. Terima kasih kepada guru-guru Tadika Hasanah yang memberi tunjuk ajar kepada anak-anak didik mereka membuat kad ‘Hari Ibu’.

Pada hari membuat kad tersebut anak-anak ditarbiahkan tentang kasih sayang ibu. Barangkali kerana itulah keesokan paginya sebaik selepas mandi sebelum ke sekolah dan belum pun sempat memakai seragam sekolah, Ammar tiba-tiba memberi sebuah dakapan dan kucupan (penuh air liur) di pipi saya dengan ucapan, “Ammar, sayang Mak.”

Dan saya membalas ucapan itu dengan meminjam judul buku Haji Bad, “I LOVE YOU TOO!” dengan iringan doa dakapan dan kucupan jua untuknya, "Moga Ammar sentiasa dalam peliharaan Allah sepanjang hayat walau Mak sudah tiada nanti untuk mendoakan Ammar."

Kad berwarna kuning bentuk rama-rama dengan sesungut berwarna emas hasil seni tangan anakanda AMMAR HADI BIN MOHD MAKHTAR akan saya simpan sampai bila-bila, kerana itulah kad HARI IBU pertama daripada anakanda tersayang (biarpun amat ketara nakalnya!)







Dan saya sedar penulisan di blog ini sebenarnya adalah salah satu pusaka saya untuknya agar dewasa nanti ada kenangan kasih seorang emak untuk seorang anak!

Saturday, May 9, 2009

Alahai BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (Gotong-royonglah pula)

"Macam mana Su, boleh ?" soal bos saya En. Wan Azmin mengajak kami semua gotong-royong membaiki halaman 61 buku BERCINTA SAMPAI KE SYURGA.

"Boleh je ..." jawab saya. Masakan saya menolak memandangkan 'error' yang tidak disengajakan itu sebahagian besarnya berpunca daripada saya. Nak kata silap kerana cuai, tidak juga, tetapi yang menjadi faktor utamanya ialah 'waktu yang menghimpit'!

Maka pada petang Jumaat lalu kami (En. Wan, En. Zakaria, En. Zuraimi dan saya dengan bantuan Puan Hasmah dan Cik Suriati) sama-sama duduk bersila dalam timbunan bundle baki BERCINTA SAMPAI KE SYURGA untuk membetulkan kesilapan di halaman tersebut.

Ooooo boleh tahan mengasyikkan juga kerjanya, hendaknya pula apabila terbit jenaka dari mulut masing-masing ... !


Tuesday, May 5, 2009

Alahai BERCINTA SAMPAI KE SYURGA!


Dalam banyak-banyak manuskrip yang paling saya bimbang tiba ke meja saya untuk disemak ialah manuskrip BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (ATN 2).
Bimbang saya itu kerana kesuntukan masa yang amat sangat untuk menyemaknya. Almaklum, manuskrip lengkap hanya tiba kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya KLIBF 2009. Manuskrip mentah itu tiba dalam keadaan semua editor di Jabatan Buku sedang giat bergelut dengan deadline pesta buku. Banyak buku perlu diselenggara dalam satu masa.

Bukan sahaja editor yang lintang-pukang, malah bahagian grafik juga. Masing-masing membawa pulang kerja dan berjaga malam kerana menyiap reka letak buku. Dari raut wajah, jelas nampak, ‘lesu’, ‘stres’ dan ‘mata merah’. (TERIMA KASIH SEKALIANNYA!)

Berbalik kepada buku BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (ATN 2), dalam progres memprosesnya, saya tidak henti berdoa agar tidak berlaku kesilapan ketara kerana tidak sempat menyemaknya berulang kali dan secara mendalam memandangkan deadline Pesta Buku 2009 semakin hampir dan kritikal. Jika ada pun, biarlah kesilapan itu pada tahap yang minimum! Apatah lagi ia tulisan penulis bereputasi ‘best-seller’!

Apa pun, langit tidak selalu cerah. Tiba hari Pesta Buku, di PWTC, saudara Nasri datang berbisik, “Akak perasan tak buku Ustaz Hasrizal ada salah?”
“Hah … ATN 2 ke, ke Pohon Tin?”
“ATN 2 Bercinta Sampai Ke Syurga laa,” ujarnya, “muka surat 61, tergantung …”

Aduh! Apa yang saya khuatirkan selama ini menjadi kenyataan. Mata yang sudah sedia berpinau beberapa malam tak tidur kerana menyemak galei buku, bertambah berpinau jadinya. Apa boleh buat, benda dah nak jadi! (I can't forgive myself for what had happened!)

Sepanjang kerjaya saya menyemak manuskrip, rasanya inilah khilaf yang paling tidak menyenangkan hati. Rasa bersalah kepada penulis dan juga pembeli! Moga saya diampunkan mereka!

Sebaik Pesta Buku 2009 berakhir, saya terus menyelak rekod galei BERCINTA SAMPAI KE SYURGA. Ya, pembetulannya sudah saya lakukan pada muka surat 61. Arahan pembetulan bertulisan merah ada di situ. Barangkali apa yang berlaku, kertas kuning ‘stick on note’ penanda pada halaman 61 itu telah tercicir tanpa disedari. Maka artis grafik tidak menyedari halaman yang perlu diperbetulkan itu.

Apabila mendapat arahan supaya buku itu di‘PDF’kan untuk segera dihantar ke kilang cetak, maka tiada lagi ruang waktu untuk menyemak untuk kesekian kalinya.

Khabarnya juga, berlaku juga kesalahan mencetak semasa di kilang. Ada beberapa naskhah itu kosong halamannya. Alahai, bukan ayat sahaja yang hilang di muka surat 61, rupanya ada halaman-halaman kosong yang tidak bercetak.

Aduhai, dugaan sungguh! Kerana mengejar waktu, pencetak juga menjadi kelam-kabut, lantaran banyak judul buku perlu dicetak serentak!

Kepada Ustaz Hasrizal, andai membaca entry ini, saya mohon jutaan maaf bagi pihak warga kerja Galeri Ilmu (kali ini saya pula berhutang dengan Ustaz!). Saya pikul dan bertanggungjawab sepenuhnya akan kesalahan itu!

Ampun maaf juga kepada para pembeli yang terbeli naskhah halaman kosong! Barangkali boleh dipulangkan kepada penerbit untuk ditukar (cuma yang sudah bertanda autograf penulis ‘tak dapeklah nak nolong’!)

Apa pun, every cloud has a silver lining. Setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Pengajarannya:
Jika anda pembeli, semak dulu sekali lalu helaian buku yang dibeli sebelum meninggalkan kedai! Boleh segera tukar jika buku tersebut ada cacat-cela (imperfect).
Jika anda penulis, hantar manuskrip awal (sekurang-kurangnya tiga bulan awal) agar dapat disemak dalam keadaan tenang.
Jika anda editor (sayalah itu), anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap buku yang dikendalikan. Jika mendapat arahan daripada superior anda supaya segera hantar bahan ke kilang cetak, bincang dan mohon daripadanya sedikit waktu agar dapat menyemak bahan itu untuk kali terakhir.

Hmmm…macam mana semua, agak-agak bolehkah kita sinergikan tindakan di atas?